Sunday, 25 March 2012

Assignment HBML4203 (Kesusasteraan Melayu)

(sumber-http://www.snusmanawang.com/buku/)

1.1  pengenalan
Ilmu kesusasteraan merupakan suatu bentuk ilmu yang menggambarkan keagungan tamadun dan keintelektualan sesebuah bangsa. Disiplin ilmu kesusasteraan menitik beratkan pengajian tentang pemikiran budaya, moral dan keperibadian sesebuah bangsa.  Dalam era globalisasi yang melanda negara kita pada hari ini, ilmu kesusasteraan diyakini dapat memberikan keseimbangan yang sewajarnya bagi kesejahteraan hidup manusia.  Ilmu kesusasteraan, di samping ajaran agama, merupakan suatu wadah kepada manusia untuk mengenali asal usul mereka, memahami hakikat kewujudan manusia, malah mendalami keesaan Tuhan.  Perkara-perkara ini adalah suatu bentuk pengetahuan asas dalam sejarah kehidupan manusia dan perlu kekal sepanjang masa.

Di negara kita, kesusasteraan adalah salah satu wahana pembentuk sebuah kehidupan yang harmonis dan bahagia.  Karya-karya yang berkualiti mampu berperanan sebagai penghubung antara pelbagai kelompok bangsa dan budaya melalui penonjolan nilai-nilai yang dikongsi bersama.  Kesusasteraan juga boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan yang kreatif dan kritis dalam berfikir dan bertindak, suatu kualiti peribadi yang sangat diperlukan dalam industri pembuatan di seluruh dunia dan juga dalam semua aspek kehidupan manusia.  Membaca dan menganalisis perwatakan dan pengalaman hidup masyarakat dalam karya-karya unggul memberi pelbagai pengetahuan dan input berguna kepada setiap pembaca, yang akan dapat melahirkan insan-insan yang penuh dengan nilai, semangat dan sensitiviti dalam mengharungi arus globalisasi. 
          Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada kesusasteraan, sama ada dalam amalan kehidupan harian ataupun dalam aktiviti-aktiviti yang lebih khusus seperti hubungan manusia dengan kehidupan kerohanian.  Kesusasteraan melahirkan peribadi yang kaya dengan imbangan nilai, emosi dan roh kehidupan.  Mengenali dan mencintai kesusasteraan akan memberi pulangan berharga dalam pelbagai bentuk kehidupan manusia: jasmani, rohaniah dan rabbaniah.  Pembangunan negara yang mengabaikan nilai-nilai kemurniaan agama dan budaya bangsa akan menjurus kepada pembangunan yang tidak seimbang, menafikan nilai-nilai kemanusiaan, keharmonian dan kesejahteraan hidup yang telah diwarisi zaman-berzaman.  

1.2  Biografi Ringkas Usman Awang
Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant merupakan tokoh sasterawan yang terpilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1983.  Sasterawan negara ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Johor.  Usman Awang merupakan seorang penulis yang serba boleh.  Beliau seorang penyair, penulis drama, penulis novel, penulis cerpen dan penulis esei.  Usman Awang cukup terkenal dalam bidang persajakan.  Sajak-sajaknya sentiasa segar, indah serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan.
           Usman juga menulis cerpen terutama pada tahun 1950-an dan 1980-an dengan mengungkapkan konsep ”Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50.  Cerpen-cerpennya berupa rakaman pengalaman, pemerhatian dan pemikiran untuk mendedahkan kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya.  Degup Jantung (1963) adalah satu-satunya kumpulan cerpen beliau.  Manakala cerpennya dalam kumpulan bersama ialah Cerita-cerita Pendek DBP (1958), Mekar dan Segar (Oxford University Press, 1960), Dua Zaman (Pustaka Antara, 1963), Menunggu Ratu Adil (Penerbitan Adabi, 1984) dan Dongeng Merdeka (Penerbit Fajar Bakti, 1985). 
Tema-tema karya Usman Awang digarap dari alam sekitar yang terdekat dengannya, daripada soal-soal penderitaan hidup yang dialami oleh golongan marhain seperti kaum petani, nelayan, penjual pisang goreng dan penjual air batu di tanah air sehinggalah kepada persoalan manusia sejagat seperti penindasan, penjajahan, perbezaan taraf, warna dan kulit.  Usman Awang mahukan manusia hidup dengan bebas dan aman, serta dapat bermesra antara semua kaum tanpa sempadan.  Dalam karyanya, Usman Awang menyampaikan erti kemanusiaan, erti kasih dan sayang, erti benci dan dendam yang tiada penghujung dan sebagainya melalui lenggok rasa seorang anak Melayu dalam bahasa Melayu.  Terlalu banyak yang disuarakan oleh Usman Awang, dan terlalu banyak pula yang diperkatakan oleh orang lain tentang Usman Awang dan karyanya.  Pada 29 Mei 1976, beliau dianugerahkan gelaran ”Pejuang Sastera”, tahun 1982 menerima SEA Write Award,  11 Ogos 1983 dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya dan pada tahun itu juga beliau menerima Anugerah Sastera Negara dengan gelaran Sasterawan Negara.  Belaiu meninggal dunia pada 29 November 2001.

1.3  Novel Tulang-tulang Berserakan”.
Novel ini merupakan novel tunggal Usman Awang.  ”Tulang-tulang Beserakan” merupakan sebuah karya sastera moden dan diterbitkan pada tahun 1966 oleh syarikat penerbitan Pustaka Melayu Baru (Kuala Lumpur).  Novel ini telah dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (Kuala Lumpur) pada tahun 1992.  Menurut seorang bekas penulis kreatif dan penulis rencana, M. Noor Azam, ketika mengulas novel ini mengatakan bahawa Usman Awang bukan mahu menyemarakkan semangat kemerdekaan dan anti penjajah, bukan juga mahu menceritakan kisah darurat atau memperlihatkan keberanian dan keperwiraan pasukan polis,  tetapi lebih kepada memperlihatkan nilai kemanusiaan.  Novel ini memaparkan kehidupan anggota polis semasa zaman darurat.  Rasa perikemanusiaan, keinginan dan impian-impian hidup sebagai seorang manusia merupakan aspek yang ingin ditonjolkan  oleh Usman Awang dalam karyanya ini.
          Hasni Abas, seorang sarjana dan penyelidik sastera daripada Dewan Bahasa dan Pustaka melihat citra masyarakat dalam novel ini.  Baginya, Usman Awang telah mengetengahkan citra masyarakat yang berbilang kaum di Tanah Melayu pada zaman darurat melalui watak-watak seperti Leman, Wak Stop, anak-anak Tionghua, gadis joget, Inspektor Ramasamy, Tuan Smith, ahli-ahli Parti Komunis, ahli-ahli parti politik seperti API dan AWAS serta penggiat dan pelakon bangsawan Star Opera.  Usman Awang telah mencipta watak-watak yang mewakili pelbagai golongan, dan digambarkan sebagai citra masyarakat yang menderita dari segi fizikal dan mental dalam novel ini.

1.3.1  Tema Kemanusiaan
Novel ini seolah-olah menayang semula rakaman dan pengalaman Usman Awang ketika bertugas sebagai polis hutan.  Sebagai seorang yang berperasaan halus, mudah terusik oleh keadaan yang tidak menyenangkan, kekerasan, peperangan, ketidakadilan, kepincangan, penipuan dan penindasan, maka Usman Awang menterjemahkan seluruh perasaannya itu dalam novel ini.  Sebahagian daripada kehidupan suka dan duka pasukan polis hutan diceritakan semula berdasarkan pengalaman beliau sendiri.  Situasi dan latar belakang peristiwa yang diceritakan dalam novel ini ialah negeri Melaka.  Novel ini mengisahkan pengalaman salah satu pasukan polis hutan pada zaman darurat, iaitu zaman yang penuh dengan kekacauan, tangkap-menangkap, tembak-menembak dan berbagai lagi peristiwa hitam yang mencengkam kehidupan rakyat semenanjung Tanah Melayu pada masa itu. 
          Tema utama novel ”Tulang-tulang Berserakan” ini ialah kemanusiaan.  Tema novel ini ditonjolkan pada watak utamanya iaitu Leman, salah seorang daripada anggota polis hutan yang berkhidmat pada zaman darurat.  Leman digambarkan sebagai seorang lelaki yang mempunyai rasa dan nilai kemanusiaan yang tinggi, dan sentiasa ingin menegakkan nilai-nilai kemanusiaan.  Sifat ini bertentangan dengan kerjayanya yang berjuang memburu dan membunuh musuh negara iaitu komunis.  Nilai-nilai kemanusiaan seperti cintakan kedamaian, kebahagiaan dan kasih sayang ditonjolkan pada watak Leman.  Menerusi watak Leman, Usman Awang menyatakan perasaan simpatinya yang amat besar kepada beberapa golongan manusia yang ditimpa malapetaka hidup yang diakibatkan oleh manusia sendiri.  Golongan manusia yang digambarkan sebagai ditimpa malapetaka hidup dalam novel ini ialah individu-individu yang ditangkap polis, pekebun sayur yang terpaksa dipindahkan, anggota polis yang cedera dan terkorban, keluarga polis yang kehilangan suami dan anak, anggota komunis yang terbunuh atau ditangkap dan juga perihal keluarga anggota komunis itu sendiri.   Kadang-kadang, berlaku seolah-olah perasaan simpati Leman itu kepada anggota komunis lebih besar daripada simpatinya kepada teman-teman seperjuangannya sendiri, iaitu Mamat, Wak Stop dan Majid.  Faktor seperti inilah yang membuktikan bahawa tema kemanusiaan merupakan tema utama novel ini.  Pertentangan antara pihak polis hutan dengan komunis dan peristiwa yang dialami oleh anggota-anggota pasukan polis mahupun anggota-anggota komunis serta keluarga kedua-dua pihak itu, hanyalah dijadikan alat sahaja untuk Usman membentuk dan menegakkan temanya. Rasa kemanusiaan iaitu cintakan keamanan, kedamaian, kebahagiaan dan kasih sayang antara manusia inilah yang menjadi mesejnya.
          Novel ”Tulang-tulang Berserakan” memperlihatkan kepada kita bahawa Usman Awang bukan sahaja seorang sasterawan tetapi turut berperanan sebagai seorang pejuang. Beliau memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan kemanusiaan tanpa mengira bangsa, agama, darjat keturunan dan ideologi politik.  Perkara ini pernah disentuh oleh Hadrami A.R. ketika mengulas novel ini dalam Dewan Bahasa pada Julai 1966.  Menurut beliau, sesiapa yang mengenali Usman Awang dari dekat atau mengikuti perkembangan setiap karyanya akan menyedari bahawa watak Leman dalam novel ini ialah Usman Awang sendiri.  Leman seorang yang sensitif, perasa, prihatin, pemalu dan lembut serta bencikan pembunuhan dan pencabulan terhadap hak-hak kemanusiaan.  Bagi Hadrami A.R, Usman Awang menerusi karyanya ini ingin membawa kita ke arah satu persoalan yang besar iaitu soal perikemanusiaan yang universal.  Beliau cuba menggambarkan bagaimana rasa kemanusiaan yang melimpah-limpah dimiliki oleh Leman.  Tragedi-tragedi dan peristiwa-peristiwa yang dialami dan dilihat oleh Leman, umumnya berlaku terhadap teman-teman sekerjanya merupakan satu perkara yang menyayat hati.
Gaya bahasa dan teknik penulisannya yang berkesan dalam novel ini telah membawa kita melihat kedaifan berek bujang dan berek Wak Stop yang jelas memperlihatkan ketidak adilan kerajaan Inggeris kepada anggota polis.  Terdapat juga babak dalam novel ini yang menggambarkan tentang betapa beratnya tugas dan tanggungjawab anggota polis.  Ini jelas kelihatan ketika Mahmud dan kawan-kawannya diarahkan untuk meronda jalan.  Mereka tidak dibenarkan duduk, minum dan menghisap rokok selagi tugas meronda jalan belum selesai.  Leman juga pernah dimarahi oleh Tuan OCPD kerana tidak sanggup untuk menangkap Wak Siraj yang dikatakan sengaja menutup kaki lima kedai dengan tong-tong satenya. Leman juga sanggup dimarahi oleh ketuanya itu kerana tidak menangkap seorang penjual air batu berbangsa Cina yang berniaga tanpa lesen berhampiran Capitol.  Setiap peristiwa dan watak yang dipapar dan ditonjolkan  dalam novel ini, termasuk Ainon seorang penari joget di City Park, semuanya dilihat sebagai manusia yang sama tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa dan agama, tugas dan fahaman politik, pangkat dan pekerjaan.  Usman Awang seolah-olah menuntut keadilan untuk semua watak yang diceritakannya dalam karyanya ini.
              Melalui novel ini juga dapat mengungkapkan pendirian dan sikap Usman Awang terhadap hal darurat.  Dalam kisah ini beliau menulis dengan penuh keharuan dan simpati, seolah-olah tidah pernah terlibat dalam tugas memburu dan membunuh komunis. Bagi Usman Awang, semua yang terlibat dalam keganasan darurat merupakan individu-individu  yang mempunyai rasa kasih sayang dan cita-cita hidup yang murni dan sederhana di dalam minda mereka.  Baginya, pertentangan bersenjata antara pasukan polis dan komunis bukanlah di atas keinginan dan kehendak mereka.  Pasukan polis berkorban nyawa menentang komunis kerana memperoleh gaji untuk menyara hidup, manakala pihak komunis pula berjuang menentang kerajaan semata-mata kerana keyakinan terhadap ideologi yang mereka dukung.  Manusia baginya hanya akan melakukan kejahatan kerana paksaan dan keadaan yang tidak dapat dielakkan.  Huru-hara dan kekacauan yang berlaku pada zaman darurat bagi Usman adalah akibat daripada keinginan Inggeris hendak mempertahankan kekuasaan penjajahannya di semenanjung Malaysia.  

1.3.2  Citra Masyarakat Zaman Daruruat
Usaman Awang merupakan salah seorang tokoh utama dalam Asas 50.  Beliau berpegang dan memperjuangkan konsep ”Seni untuk Masyarakat”.  Usman Awang menekankan bahawa setiap seniman haruslah memperjuangkan ideanya dalam bentuk yang seindah mungkin untuk membentuk manusia yang berbudi tinggi, yang seterusnya menjamin masyarakat yang adil dan aman.  Bersesuaian dengan konsep ”Seni untuk Masyarakat” yang didukung oleh Usman Awang, maka lahirlah novel ”Tulang-tulang Berserakan” yang sarat dengan persoalan-persoalan kemasyarakatan.  Dalam novel ini, beliau dengan jelas memaparkan citra atau gambaran masyarakat zaman darurat.  Kehidupan dan gaya hidup serta pengalaman segolongan manusia atau masyarakat yang hidup dalam zaman darurat ditonjolkan dalam novel ini. 
            Citra masyarakat yang berbilang kaum di Tanah Melayu pada zaman darurat telah diketengahkan oleh Usman Awang melalui novel ”Tulang-tulang Berserakan”.  Watak Leman, Majid, Rubiah, anak-anak Tionghua dan lelaki Tionghua mewakili citra masyarakat berbilang kaum.  Beberapa watak seperti watak gadis joget, Halimah, Lebai Dolah, Inspektor Ramasamy, Tuan Smith, Wak Siraj, ahli-ahli politik daripada API, AWAS dan GERAM turut dimuatkan dalam novel ini.  Watak-watak lain ialah seperti Wak Stop, Wak Sakun, Cikgu Alimin, Anuar, ahli –ahli Parti Komunis dan para pelakon bangsawan ”Star Opera”.  Watak-watak ini membawa peranan yang mewakili pelbagai golongan dan kepentingan yang wujud pada zaman tersebut.  Leman, Majid, Wak Stop, Tuan Smith dan Inspektor Ramasamy mewakili kelompok masyarakat yang berjuang mempertahankan penjajah Inggeris atas nama keamanan di Tanah Melayu.  Manakala watak-watak seperti Ahmad Boestamam, anggota API, AWAS, GERAM dan Anuar mewakili golongan yang menentang penjajah Inggeris melalui kegiatan politik.  Anggota-anggota Parti Komunis pula mewakili golongan yang menentang penjajah Inggeris dengan cara mengangkat senjata.
          Gadis joget dan pelakon bangsawan ”Star Opera” merupakan watak-watak yang mewakili golongan penghibur atau artis.  Mereka menjadi penyeri dan penghibur kepada anggota-anggota masyarakat lain yang menjalani satu kehidupan yang serba menghimpit, susah dan tidak harmoni pada waktu itu.  Wak Siraj dan penanam sayur Tionghua pula mewakili golongan marhain yang hidup dalam kemiskinan, serba kekurangan dan sentiasa tersepit dalam situasi huru-hara.  Kaki lima yang menjadi tempat larangan untuk berniaga, merupakan tempat Wak Siraj untuk mencari rezeki.  Dia sering dihalau oleh pihak polis kerana berniaga di kawasan larangan tersebut.  Watak penanam sayur Tionghua pula terpaksa berpindah dari kebun sayur yang telah diusahakannya, kerana tempat tersebut didakwa menjadi tempat pergerakan anggota-anggota komunis.  Watak Cikgu Alimin dalam novel ini pula mewakili golongan intelektual dalam masyarakatn pada waktu itu.  Dia menentang penjajah Inggeris dengan caranya sendiri iaitu melalui bidang penulisan.  Cikgu Alimin memberikan kesedaran kepada masyarakat melalui tulisan-tulisannya yang tersiar dalam akhbar-akhbar yang membawakan tema patriotisme dan juga nasionalisme.
          Novel ”Tulang-tulang Berserakan” juga turut memaparkan beberapa konflik antara anggota atau golongan dalam masyarakat kerana adanya kepentingan yang bertentangan antara anggota atau golongan tersebut.  Konflik atau pertentangan parti politik seperti API, AWAS dan GERAM terhadap penjajah Inggeris menyebabkan beberapa anggota parti ditangkap oleh Inggeris seperti yang telah berlaku kepada Anuar.  Konflik antara golongan ini juga telah menyebabkan pertempuran bersenjata antara pasukan Polis Hutan dengan anggota-anggota komunis.  Ini telah menyebabkan beberapa orang anggota polis hutan terkorban seperti yang terjadi pada Wak Stop dan Majid.  Hal ini juga turut terjadi kepada anggota Parti Komunis yang bertempur dengan pasukan polis hutan yang mewakili kepentingan penjajah Inggeris.  Usman Awang telah menggunakan daya kreativitinya untuk memaparkan citra atau gambaran masyarakat yang terjadi pada zaman darurat.  Citra masyarakat yang kelihatan melalui novel ini ialah citra masyarakat yang tidak harmoni, tidak damai dan tidak mementingkan rasa kemanusiaan.

KESIMPULAN
Usman Awang menerusi novel ”Tulang-tulang Berserakan” telah melontarkan kritikan sosialnya dan menyerlahkan rasa keinsanan yang tinggi tanpa mengira status seseorang itu.  Karyanya ini memperlihatkan secara tegas dan jelas tentang sikap dan pendirian Usman Awang yang memang tidak senang dengan perlakuan ganas, kejam dan dendam.  Emosi kemanusiaan begitu jelas dalam novel ini, tanpa batas malah merentasi etnik, kepercayaan ideologi, agama dan profesion.  Ia semacam tiada pemberatan sama sekali, dan yang ketara ialah rasa kemanusiaan yang universal.  Novel ”Tulang-tulang Berserakan” merupakan satu-satunya genre novel Usman Awang di samping ratusan puisi, cerpen dan puluhan karya dramanya.  
          Sekiranya karya-karyanya dikaji dan diperhalusi, kita akan dapat menelusuri keyakinannya dalam memperjuangkan hak dan rasa kemanusiaan tanpa segan silu.  Novel”Tulang-tulang Berserakan” ini juga merupakan sebuah himpunan nostalgia yang boleh mengimbau kembali pelbagai peristiwa suka, sedih, geram, lucu yang membawa pelbagai makna, tafsiran dan sekali gus sebagai suatu iktibar.  Novel ”Tulang-tulang Berserakan” kini merupakan sebahagian daripada dokumentasi sejarah yang ditampilkan dalam genre kreatif, namun ia bukanlah sebuah cereka tanpa makna sama sekali.  Novel ini merupakan salah satu aset dan warisan penting untuk sebuah bangsa, iaitu bangsa Malaysia. Ini adalah kerana bahasa dan kesusasteraan adalah alat untuk memajukan fikiran rakyat, sesuai dengan cita-cita keadilan masyarakat, kemakmuran, keamanan dan perdamaian hidup.
Bagi Usman Awang, tugas sasterawan adalah untuk memperdalamkan dan memperluaskan lagi kesedaran dan keinsafan orang-orang lain tentang diri mereka sendiri dan tentang masyarakat yang mereka diami, mendidik dan membimbing orang-orang lain ke arah kemajuan dan kemerdekaan, membela keadilan dan kesucian, membentuk budi pekerti yang luhur dan mempertinggikan peradaban bangsa.  Menurut beliau lagi, seorang seniman bukan sahaja perlu memperjuangkan kemerdekaan bangsa dan tanah airnya sahaja, tetapi perlu memperjuangkan persaudaraan antara manusia dengan manusia, antara bangsa dengan bangsa tanpa mengira fahaman dan ideologi politik, kepercayaan, bangsanya dan warna kulit.  Kesenian harus membawa manusia ke arah yang lebih baik.  Keburukan dalam jiwa manusia dan keburukan di dalam masyarakat perlu dilenyapkan.  Suara seorang penulis ialah suara kemanusiaan dan penulis ialah pejuang kemanusiaan.  Perjuangan menuntut kemerdekaan, membebaskan rakyat daripada pelbagai rupa belenggu dan penindasan, serta memajukan fikiran bangsa Malaysia ialah sebahagian daripada perjuangan kemanusiaan.  Kehidupan rakyat harus bebas daripada tekanan oleh golongan yang berkuasa.  Manusia harus bersaudara sesama manusia tanpa mengira batas politik, kepercayaan, bangsa dan warna kulit.

 2,528 patah perkataan
RUJUKAN

Dr Harun Jaafar.  (2011).  Kesusasteraan Melayu.  Open University Malaysia:  Selangor Darul Ehsan.

Halilah Haji Khalid.  (2004).  Usman Awang Dalam Esei Dan Kritikan.  Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala Lumpur.

Jelani Harun.  (2004).  Isu Kesusasteraan Abad Ke-21.  Universiti Sains Malaysia:  Pulau Pinang.

Keris Mas.  (1988).  Perbincangan Gaya Bahasa Sastera.  Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Mana Sikana.  (1988).  Kritikan Sastera Masalah Dan Peningkatan.  Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala Lumpur.

Muhammad Haji Salleh.  (2006).  Puitika Sastera Melayu.  Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala Lumpur.

Nik Safiah Karim et. al. (2009).  Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.  Dewan Bahasa dan Pustaka:   Kuala Lumpur.

Othman Putih.  (1995).  Pengisian Dunia Sastera.  Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala
Lumpur.

Rahman Shaari.  (1987).  Penilaian Dan Penghayatan Sastera.  Marwilis Publisher: 
Selangor.

Usman Awang. (1992).  Tulang-tulang Berserakan. Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala Lumpur.

Usman Awang.  (2005).  Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke-20:  Kami Yang Terlibat.  Dewan Bahasa dan Pustaka:  Kuala Lumpur.


No comments:

Post a Comment