Sunday, 11 March 2012

HBML4103 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu

Assignment / kertas kerja yang mengupas faktor-faktor yang menyebabkan bahasa Melayu tidak berupaya untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Hmmm...kalau assignment ni, bermanfaat anda dibenarkan menceduk isi-isinya dan jika sebaliknya sila tinggalkan komen. Terima kasih.

ABSTRAK
Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang gilang-gemilang dalam sejarah. Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan bahasa perundangan, bahasa sastera dan bahasa perhubungan. Kini, segala-galanya telah berubah disebabkan oleh arus globalisasi. Bahasa Melayu kini terpinggir dari sudut fungsinya sebagai media penyampai ilmu dan informasi. Kemajuan dan perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang teknologi dan maklumat seolah-olah menghimpit perkembangan bahasa Melayu. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengupas dan merungkaikan persoalan yang menyebabkan bahasa Melayu kehilangan upaya untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia, terutamanya bahasa Inggeris. Dalam kertas kerja ini juga akan membincangkan secara ringkas peranan golongan intelektual untuk memperkasa bangsa Malaysia melalui bahasa Melayu. Berdasarkan kertas kerja ini, bahasa Melayu adalah setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia dari segi keupayaannya sebagai bahasa ilmu kerana kesediaannya menerima maklumat mengikut siuasi dan keperluan semasa.



1.1 PENGENALAN 
Bahasa, menurut Kamus Besar Bahasa Melayu bermaksud bicara, unjuran, tatatertib, sopan-santun, tingkah laku yang baik, pertuturan atau percakapan yang baik (Zainal Abidin Safarwan 1996:128). Era globalisasi mencetuskan perkembangan ilmu yang begitu pesat dan pantas, serta memberikan impak secara langsung dan tidak langsung terhadap bahasa Melayu. Di Malaysia, akibat daripada persepsi negatif terhadap keupayaan bahasa Melayu oleh beberapa pihak, menyebabkan bahasa ini hampir terpinggir daripada fungsi asalnya yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu digunakan secara rasmi dalam segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Awam. Pada tahun 2003 bahasa Melayu dan pendukung setianya telah menerima satu tamparan hebat apabila bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada peringkat rendah dan menengah. Bahasa Melayu dipinggirkan sebagai bahasa ilmu kerana bahasa Inggeris dianggap lebih mantap dan sesuai sebagai bahasa ilmu tinggi. 
            Anggapan tersebut adalah kurang tepat kerana negara-negara perindustrian seperti Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya tetap membangun dengan pesat sekalipun rakyat di negara-negara tersebut menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Mereka tetap yakin dengan keupayaan bahasa masing-masing dengan menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan digunakan secara meluas dalam bidang sains dan teknologi. Kenyataan ini sepatutnya membuka mata dan minda kita, bahawa bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa ilmu tinggi dan mengharungi arus globalisasi. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep yang berkaitan dengan sains dan teknologi serta berupaya menjadi media mentransformasikan pemikiran dan tindakan bangsa Malaysia secara menyeluruh. Sekiranya semua pihak bekerjasama dan menggembeling usaha ke arah memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu, tidak mustahil zaman kegemilangan bahasa Melayu seperti ketika digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran, diplomatik, ekonomi, kesenian, sosial dan budaya sejak beratus tahun dahulu akan berulang kembali. 

1.2 Faktor-faktor Yang Menyebabkan Bahasa Melayu Hilang Upaya Untuk Bersaing Dengan Bahasa-bahasa Lain Di Dunia
Bahasa Melayu sejak awal perkembangannya sudah tumbuh sebagai bahasa ilmu, perdagangan, perundangan dan ketatanegaraan, persuratan mahupun keagamaan. Dalam bidang perdagangan dan ekonomi, ia menjadi bahasa komunikasi antara Raja-raja Melayu dengan Syarikat Hindia Timur British dan Belanda. Kini bahasa Melayu seolah-olah dipinggirkan oleh sesetengah pihak, dengan menjadikan era globalisasi dan perkembangan sains dan teknologi sebagai alasan untuk menafikan keupayaan bahasa ini sebagai media penyampai ilmu. Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang terhadap ketidakupayaan bahasa Melayu untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia, khususnya di Malaysia. Faktor-faktor tersebut akan dibincangkan di bawah. 

1.2.1 Kurangnya Penekanan Dan Penguatkuasaan Terhadap Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. 
Bahasa kebangsaan bukan sahaja wajar digunakan dalam situasi rasmi malah dalam pelbagai situasi sosial. Itu adalah salah satu daripada intipati dan maksud mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya perkara tersebut ditekankan dan dikuatkuasakan, ia akan dapat membantu mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi, bahasa pengantara dan bahasa pergaulan dalam sektor pentadbiran, pendidikan dan sebagainya.
            Bahasa Inggeris masih lagi disanjung dan diutamakan melebihi bahasa Melayu terutama dalam bidang pendidikan, penamaan, pengiklanan perniagaan dan sebagainya. Contohnya, pada tahun 2003 kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun program tersebut bercanggah dengan dasar yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996. Selain daripada bercanggah dengan perlembagaaan dan dasar pendidikan negara, perkara tersebut juga menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu tidak mampu untuk menjadi bahasa ilmu dan pemangkin terhadap pembangunan negara. Dalam bidang penamaan pula, kita masih lagi dapat melihat nama-nama asing seperti The Sky, The Hotel Palace, Lot Ten, Sunway Lagoon, Langkawi University For Tomorrow, Seremban Two, Green Street Homes dan sebagainya digunakan di Malaysia.
            Pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) telah memainkan peranannya dengan menyediakan antara lain buku dan risalah panduan tentang sistem penamaan bangunan syarikat, taman perumahan dan sebagainya, disamping mengadakan seminar, bengkel dan khidmat nasihat. Malangnya, peranan DBP dalam bidang penamaan ini dipandang sepi oleh semua pihak termasuklah beberapa pihak berkuasa tempatan. Kita semua berharap agar semua pihak yang terlibat sedar tentang tanggungjawab masing-masing memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam sistem pendidikan, penamaan, pengiklanan dan sebagainya agar bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain. Kerajaan perlu bertegas dalam hal-hal yang melibatkan bahasa dengan menguatkuasakan penggunaannya dalam pelbagai situasi dan menggunakan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan untuk mengenakan tindakan undang-undang seperti amaran dan dendaan kepada pihak-pihak yang mengabaikan bahasa Melayu. Tiada bukti yang menunjukkan ketegasan kerajaan dalam isu bahasa rasmi negara boleh mendatangkan impak negatif dan kemunduran kepada negara. 

1.2.2 Sikap Tidak Yakin Terhadap Keupayaan Bahasa Melayu Sebagai Media Penyampai Ilmu
Bahasa dan bangsa tidak boleh dipisahkan sehingga wujudnya ungkapan ’Bahasa Jiwa Bangsa’. Maju atau mundurnya sesuatu bahasa itu bergantung kepada kekuatan bangsa itu untuk mendaulatkannya. Perkara yang menyukarkan bahasa Melayu untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris ialah sikap segelintir individu yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu. Sikap ini wujud disebabkan oleh ketaksuban terhadap bahasa Inggeris yang menjadi lambang prestij sesetengah pihak. Memang tidak dapat dinafikan tentang kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing dalam menghadapi arus modenisasi dan globalisasi. 
            Rakyat perlu digalakkan untuk mempelajari bahasa Inggeris, Perancis, Arab, Cina, Rusia, Jepun, Korea, Sepanyol dan sebagainya. Ilmu-ilmu yang diperoleh melalui bahasa asing perlu disebarkan semula dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Penggunaan bahasa asing sebagai bahasa utama sesebuah negara bukanlah pemangkin utama kepada kemajuannya. Negara jiran yang boleh menjadi contoh dan pengajaran terdekat kepada negara kita ialah negara Filipina yang telah lebih 60 tahun menggunakan bahasa Inggeris. Keadaan ekonomi dan taraf hidup rakyatnya masih lagi tidak membanggakan walaupun menggunakan bahasa Inggeris. Melihat negara kita sendiri iaitu Malaysia, dalam masa kira-kira 30 tahun ke belakang iaitu dari 1970 hingga 2000, kemajuan negara agak membanggakan. Tidak dapat dinafikan antara pemangkin kepada kejayaan tersebut ialah hasil daripada pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan sejak dari peringkat sekolah rendah, menengah sehingga di universiti. 
            Bahasa Melayu juga mampu untuk menjadi bahasa ilmu dan menjadi pemangkin terhadap kemajuan negara. Sifat dan ciri bahasa Melayu yang ’fleksibel’, iaitu mudah untuk menerima perubahan merupakan satu ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman. Sifat ’fleksibel’ itu merupakan salah satu kekuatan bahasa Melayu dan membantunya berkembang seiring dengan bahasa-bahasa lain di dunia dalam mengharungi zaman. Sesuatu yang perlu disedari oleh orang-orang yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah, selama lebih 50 tahun mulai 1951, suatu proses perancangan bahasa Melayu yang hebat telah dilancarkan. Hasil daripada perancangan tersebut, beratus ribu istilah dalam lebih 400 bidang dan sub-bidang ilmu telah digubal dan dimantapkan dalam lebih 5000 buah buku ilmu dan umum yang diterbitkan dalam bahasa Melayu. Lebih lima juta pelajar telah mempelajari bahasa ini di sekolah dan di IPTA. Ratusan ribu pelajar memperoleh ijazah dalam pelbagai bidang ilmu sains, matematik, perubatan, dan teknologi dalam bahasa Melayu. Beribu sarjana, golongan intelektual dan profesional telah terdidik dalam bahasa Melayu sejak sekolah rendah kebangsaan, dan ramai daripada mereka yang setanding dengan sarjana dan pakar ilmu bertaraf dunia di luar negara. 

1.2.3 Sikap Kurang Prihatin Segelintir Pemimpin Terhadap Penggunaan Bahasa Melayu 
Barisan kepimpinan negara juga memainkkan peranan penting untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Sikap, kesedaran serta kuasa yang dimiliki oleh mereka boleh menentukan kedudukan bahasa Melayu. Keupayaan barisan kepimpinan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan lancar boleh menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Hal ini kerana pengucapan ahli politik sering kali menjadi tontonan masyarakat. Golongan marhain atau rakyat biasa tidak akan dapat mencontohi tabiat berbahasa mereka sekiranya golongan pemimpin tidak megah dan kurang prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu. Sesuai dengan kedudukannya yang dipandang tinggi oleh masyarakat, ahli politik seharusnya menjadi contoh teladan dalam penggunaan bahasa. Seseorang pemimpin yang berkesan bukan sahaja dapat mengeluarkan idea yang bernas dalam pengucapannya tetapi dapat menuturkan bahasa Melayu dengan betul. 
            Sering didapati apabila diwawancara, ahli-ahli politik menggunakan bahasa yang bercampur baur dengan bahasa kedaerahan, kenegerian, bahasa pasar dan yang lebih menyedihkan menggunakan istilah-istilah bahasa Inggeris dalam pengucapannya. Penggunaan bahasa yang bercampur baur antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan satu bentuk pencemaran bahasa. Bahasa ’Mel-Inggeris’ adalah bahasa tahap rendah yang tidak sepatutnya dibiarkan menjadi contoh, apatah lagi dipupuk di kaca televisyen yang besar pengaruhnya. Sekiranya pencemaran bahasa terus diamalkan, ramai orang akan memilih bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu dalam iklan, di televisyen, di pejabat kerajaan, di papan tanda, nama kedai dan syarikat. Ahli politik yang lemah dalam daya pengungkapan dan daya penggunaan bahasa, tidak mungkin dapat memainkan peranan sebagai pemimpin yang bernas dalam memberikan pendapat dan menjadi contoh teladan dalam penggunaan bahasa Melayu. 

1.2.4 Kelembapan Aktiviti Penterjemahan Buku-buku Ilmiah Ke Dalam Bahasa Melayu
Salah satu alasan yang digunakan oleh pihak yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris ialah, masa yang diambil untuk menterjemahkan buku ke dalam bahasa Melayu. Pihak berkenaan merasakan adalah lebih praktikal untuk mendapatkan terus ilmu daripada bahasa asing tanpa perlu menterjemahkannya terlebih dahulu, kerana penterjemahan mengambil masa yang panjang. Malaysia sentiasa ketinggalan dari segi penterjemahan buku daripada bahasa asing. Di Malaysia buku-buku ilmiah, penting dan popular di peringkat dunia, belum pasti dapat menemui pembaca lima atau sepuluh tahun selepas itu. Apabila diterbitkan, maklumatnya sudah ketinggalan atau peminat buku berkenaan telah beralih kepada buku lain yang lebih menarik. Ini jelas dilihat pada buku-buku ilmiah termasuk buku-buku rujukan di universiti yang cepat menjadi tidak kemas kini setelah berada di pasaran untuk beberapa tahun. Malaysia hanya mampu menerbitkan kira-kira 6500 judul buku setahun dan memerlukan usaha yang lebih dalam industri terjemahan buku. 
            Selain penulisan karya asli, penterjemah memainkan peranan untuk memperbanyak bahan bacaan dalam bahasa Melayu bagi memperkaya khazanah ilmu dan wahana pemikiran budaya, sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan, selain untuk membina pemikiran dan budaya dalam bahasa Melayu. Hanya dengan itu barulah dapat menyuburkan dan memperkasa industri penerbitan yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion setahun. Sekiranya kerajaan boleh membelanjakan wang berbilion ringgit untuk memperkasakan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan, kerajaan juga boleh membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan penterjemahan buku-buku ilmiah dalam bahasa asing. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) yang ditubuhkan pada tahun 1993 hanya berhasil menerbitkan kira-kira 50 judul buku setahun dalam bidang pendidikan, teknologi maklumat, sains dan sebagainya. Dana yang mencukupi perlu disuntik ke dalam tabung institut itu demi membolehkan Malaysia mengukuhkan industri terjemahan bagi memenuhi agenda negara. Terjemahan dapat membantu meletakkan Malaysia sebagai negara yang agung dari segi budaya ilmu, tanpa mengira sumber atau bahasa asal ilmu itu. Perkara terpenting ialah, ilmu berkenaan berguna dan dapat membantu melonjakkan bangsa ke hadapan supaya bangsa Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan bangsa lain. Kegiatan terjemahan dapat membantu memartabatkan bahasa Melayu seiring dengan bahasa-bahasa lain di dunia selaras dengan fungsinya sebagai bahasa ilmu dan kegiatan ini menjadi semakin penting ketika negara berhadapan dengan ledakan ilmu dan asakan globalisasi yang hebat. 

1.2.5 Bahasa Melayu Dianggap Bernilai Rendah Daripada Sudut Ekonomi  
Bahasa merupakan salah satu komoditi yang mempunyai nilai daripada sudut ekonomi bagi sesebuah negara. Nilai bermaksud taksiran yang berharga, atau dihargai bagi sesuatu yang dianggap mempunyai nilai ekonomi atau harga tertentu seperti barangan atau komoditi khususnya dalam perniagaan atau pasaran. Komunikasi perniagaan, pengiklanan, pembungkusan barangan dan sebagainya memerlukan bahasa. Kekerapan penggunaan sesuatu bahasa dalam urusan perniagaan menjadi petunjuk atau indikator sama ada bahasa yang digunakan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi ataupun sebaliknya. Sektor perniagaan di Malaysia menggambarkan seolah-olah bahasa Melayu mempunyai nilai yang rendah daripada sudut ekonomi. Ini jelas tergambar melalui iklan, brosur, risalah, majalah dan sebagainya yang digunakan oleh syarikat-syarikat perniagaaan yang bertujuan untuk memasar dan mempromosikan barangan dan perkhidmatan masing-masing. 
               Jika lebih daripada satu bahasa digunakan dalam iklan dan keterangan perniagaan, maka bahasa Melayu diletak pada muka belakang atau kedudukannya pada bahagian bawah ataupun dengan warna yang kurang terang. Situasi yang lain ialah, bahasa Melayu digunakan dalam iklan barangan murah sahaja seperti sebuk pencuci, manakala bahasa Inggeris digunakan dalam iklan kosmetik yang mahal, kereta mewah, promosi hotel ternama atau pelancongan, perbankan dan sebagainya. Ini memberikan satu gambaran negatif seolah-olah bahasa Melayu rendah nilai ekonominya dan hanya layak mempromosikan barangan murahan. Bahasa Melayu juga akan dianggap sebagai tidak layak atau tidak bernilai ekonomi untuk mengiklankan barangan yang mahal atau yang tinggi nilai ekonominya. Perkara seperti inilah yang menjadi salah satu faktor mengapa bahasa Melayu tidak dapat bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Sebenarnya, bukan bahasa Melayu itu yang rendah nilai ekonominya, tetapi kitalah yang meletak dan melabel atau memberi nilai ekonomi yang rendah pada bahasa ini. Gambaran atau tanggapan seperti ini perlu dikikis daripada minda kita dan semua pihak yang terlibat dalam bidang perniagaan. Keprihatinan dan kesungguhan pihak yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan, pengiklanan, bank perdagangan dan pelaburan, syarikat tempatan dan multinasional amat diperlukan bagi memberi nilai ekonomi terhadap bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. 

1.3 Peranan Golongan Intelektual Untuk Memperkasa Bangsa Malaysia Melalui Bahasa Melayu 
Golongan intelektual mempunyai peranan besar untuk memperkasa bangsa Malaysia melalui bahasa Melayu. Kita di Malaysia adalah satu bangsa yang mendiami satu negara. Bangsa yang besar akan menghasilkan karya yang besar dan agung hanya melalui bahasa tamadun tersebut. Golongan intelektual boleh menyumbang buah fikiran mereka ke arah membangunkan bangsa Malaysia melalui pelbagai cara terutamanya dalam bidang penulisan. Bahasa Melayu berupaya menggambarkan jiwa dan roh bangsa melalui hasil penulisan, sama ada karya kreatif seperti puisi, pantun, fiksyen, dan novel, ataupun karya ilmiah yang meliputi pelbagai disiplin ilmu. 
            Sejak tertubuhnya Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1957, semakin banyak karya ilmiah yang dihasilkan oleh golongan intelektual, khususnya ilmu moden, ditulis dan diterbitkan teksnya atau glosari istilah dalam bahasa Melayu di samping karya yang berupa terjemahan. Karya-karya yang dihasilkan meliputi bidang sains dan teknologi iaitu mengenai kejuruteraan elektrik, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan aeroangkasa, kejuruteraan pesawat, komputer, teknologi maklumat, perubatan, farmasi, dan bioteknologi, di samping penulisan dalam bidang kesusateraan dan sains sosial, seperti pengurusan sumber manusia ekonomi, dan perdagangan. Penghasilan karya penulisan tersebut dalam bahasa Melayu oleh golongan intelektual membuktikan bahawa bahasa ini mampu untuk menyumbang ke arah meningkatkan nilai jati bangsa Malaysia. Ternyata bahasa Melayu berupaya untuk berbicara tentang ilmu dan menjadikan seseorang individu celik akal tentang pemikiran baru dalam pengembangan ilmu tersebut. 
            Bahasa Melayu mampu mengembangkan dan menjana sesuatu yang baharu, termasuk dari segi daya kreativiti. Contohnya, jika bangsa Cina dapat mencipta kaedah pengiraan pantas melalui ’arimatik mental’, terdapat juga bangsa Malaysia yang kreatif dengan mencipta cara kiraan pantas berasaskan sistem fonemik bahasa Melayu yang diformula dan dirumus semula yang dikenali sebagai kaedah Mokhdar. Pengasas kepada kaedah ini ialah Mokhtar Hj Mansor, seorang graduan dari Universiti Malaya. Pemikiran dan kajian mendalamnya tentang beberapa isu akhirnya telah melahirkan kaedah ini yang terbukti mampu untuk membantu ramai pelajar dan individu untuk menguasai bidang Matematik dan Sains. Seorang pereka kreatif tempatan, Zulkifli Haron yang berupaya mereka cipta pelbagai peralatan elektronik, hanya memerlukan ketrampilan dalam bidangnya sekalipun tanpa ketrampilan bahasa asing yang tinggi atau ijazah khusus yang berkaitan. Perkara seumpama ini menjadi bukti bahawa bahasa Melayu mampu dan berpotensi menjana minda dan pemikiran kreatif serta melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang perkasa, moden, berilmu, maju daipada segi minda dan pemikiran serta pembangunan fizikalnya. 

KESIMPULAN 
Kekuatan sesuatu bangsa dan sesebuah tamadun bergantung kepada bahasa. Bahasa Melayu merupakan salah satu sumber kekuatan kesatuan bangsa Malaysia. Perkembangannya bukan lagi setakat sebagai alat komunikasi semata-mata tetapi berkembang seiring dengan meluasnya penggunaan bahasa ini dalam pelbagai arena ilmu, baik yang berasaskan sains dan teknologi mahupun yang berteraskan manusia dan kemanusiaan. 
            Kesimpulannya, bahasa Melayu akan sentiasa relevan dengan peredaran zaman dan seiring dengan perkembangan kemajuan teknologi dalam tamadun dan peradaban manusia, setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Semua ini bergantung kepada kemahuan dan usaha penutur bahasa Melayu, para penggiat bahasa, pemimpin, rakyat biasa, syarikat-syarikat swasta dan kerajaan, ahli-ahli korporat, guru-guru dan sebagainya dalam memartabat dan menentukan halatuju bahasa Melayu. Krisis dan isu yang berkaitan dengan bahasa ini seperti penyisihan, peminggiran, pengabaian dan segala yang negatif dan menyumbang ke arah kemundurannya tidak akan selesai sekiranya faktor-faktor yang mengekangnya tidak diatasi dengan bersungguh-sungguh dan penuh iltizam.
            Sikap megah bahasa setiap warganegara ini terhadap bahasa Melayu perlu dipupuk dan diberi keutamaan khususnya dalam amalan. Perbincangan dalam kertas kerja ini menumpukan kepada jati diri penutur bahasa Melayu dan rakyat di negara ini dalam menunaikan tanggungjawab untuk memperkasakan penggunaan bahasa ini dalam setiap urusan dan kegiatan harian masing-masing. Sikap tidak yakin terhadap keupayaan bahasa ini sebagai bahasa ilmu merupakan salah satu cabaran atau tembok halangan utama yang perlu diatasi. Pada tahun 1980-an dahulu, dianggarkan hanya 50% rakyat Malaysia dapat bertutur dan memahami bahasa Melayu (Awang Sariyan, 1996), tetapi kini melalui Dasar Pelajaran Kebangsaan pasti jumlahnya sudah meningkat. Penguasaan bahasa Melayu bererti juga penguasaan ilmu-ilmu lain kerana pelajaran bahasa menurut kurikulum dan pendekatan bersepadu bukan hanya menitikberatkan penguasaan kemahiran berbahasa, bahkan memasukkan unsur-unsur ilmu daripada semua cabang ilmu. Bahasa Melayu sedang menuju ke tahap pembinaan kebudayaan tinggi yang akan mencipta peradaban bangsa. Cita-cita itu perlu dibina serentak dalam kestabilan politik yang ada, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial. 

2,889 patah perkataan 

RUJUKAN 
Asmah Hj Omar. (2006). Bahasa Melayu Di Samudera Benih Yang Baik Menjadi Pulau. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur. 
Awang Sariyan. (1996). Warna Dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu Di Malaysia. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur. 
Darwis Harahap & Abdul Jalil Hj. Anuar. (2000). Kumpulan Kertas Kerja Kolokium Bahasa Dan Pemikiran Melayu/Indonesia 1. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur. 
Dr Puteri Roslina Abdul Wahid. (2011). Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu. Open University Malaysia: Selangor Darul Ehsan. 
Jeniri Amir. (2009). Bahasa Negara Dan Bangsa. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur. 
Kamal Shukri Abdullah Sani. (2007). Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi? PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. : Kuala Lumpur. 
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2003). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM. Bab 1: Sukatan pelajaran bahasa Melayu KBSM dan KBSR. 
Kementerian pelajaran Malaysia. (2003). Huraian Sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSM. Bab 1: Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM dan KBSR. 
Muhammad Aliatan. (2010). Perkembangan Bahasa Melayu. Penerbit Sinar Cemerlang: Kuala Lumpur. 
Nik Safiah Karim et. al. (2009). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. 
Zainal Abidin Safarwan. (1996). Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. : Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment