Friday, 30 March 2012

Guru / Dr Maza

Kata-kata ini dipetik daripada artikel terbaru Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Minda Tajdid -
http://drmaza.com).

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

…Demikian dalam hayat kita, ramai guru yang berjasa menyumbang ilmu dan pembentukan fikiran kita. Seseorang guru kita sayangi, walaupun tidak semestinya kita bersetuju dengan setiap bilah perkataannya. Guru yang jujur memberikan kesan yang dalam kepada jiwa kita. Jika ada yang kita tidak bersetuju dengan tindakan atau pendapatnya pun, tidaklah bererti kita melupai jasanya.

Sayang dan cinta, mempunyai ruang yang berbeza dari ‘ikut semua yang guru kata’. Tidak bersetuju, bukan bererti tidak sayang. Bersetuju pula, tidak bererti sayang. Namun, mengasihi guru adalah faktor yang amat penting dalam pembentukan ilmu. Setiap orang akan sedar, ilmu yang paling mudah dipelajari, ialah apabila murid menyayangi gurunya.

            Justeru itu, guru yang disayangi sering membawa pelajar cemerlang. Mudah masuk, mudah faham. Melihat wajah pun sudah mengembirakan perasaan. Kehadirannya dinanti, maka ilmunya mudah dinikmati. Jika guru dibenci, segala ilmunya menjadi pahit. Maka, murid hanya menunggu masa berhenti untuk guru meninggalkan ucapannya. Ilmu juga sukar dapat, tidak berkat.

            Sebab itu, Islam menyuruh kita menyayangi guru yang paling agung, Rasulullah s.a.w. Cinta Rasul adalah asas agama ini. Ini kerana baginda sumber ilmu dan kebenaran. Ilmu dan kebenaran itu diambil dari baginda dengan penuh rasa cinta. Sesiapa yang membenci atau tidak menyayangi Rasulullah s.a.w maka segala ambilan ilmunya tidak bermakna dan berfungsi secara sepatutnya.

            Apabila kita mencintai guru, kita mencintai ilmu. Apabila kita mencintai ilmu, kita wajar mencintai guru. Keikhlasan guru dilihat pada jihad ilmunya. Memang, keikhlasan itu dalam pengetahuan Allah, namun sering tandanya hadir dalam kehidupan insan. Ilmu bukan semata untuk wang. Ilmu yang dicurah kerana wang semata akan lesu ruhnya.

No comments:

Post a Comment