Thursday, 29 March 2012

HBML4403 Kompetensi Dalam Bahasa Melayu

 Assignmentku - Semester September 2011 (OUM). Merangkumi:
1.  Elemen-elemen dalam membuat persediaan pengucapan awam.
2.  Persediaan awal dalam pengucapan awam.


1.1  pengenalan
Pengucapan awam adalah satu interaksi penghantaran mesej antara seorang pengucap dan sekumpulan pendengar.  Ia merupakan satu proses komunikasi yang bertujuan untuk memindahkan mesej dari satu pihak kepada pihak yang lain. Verdeber (1996) menggariskan beberapa prinsip penting pengucapan awam.  Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu penerangan dan pemujukan. Dalam konteks ini, memindahkan dan menyampaikan mesej dengan berkesan menjadi cabaran kepada pengucap.  Ia merupakan satu proses interaksi antara pihak yang bercakap dengan pihak yang mendengar dengan tujuan untuk menyampaikan maklumat, idea, maklum balas, meningkatkan hubungan, memberi pendapat, mendapatkan kepastian, mengetahui sesuatu yang baru, membuat keputusan secara bersama dan seumpamanya.

Pengucapan awam dikenali juga sebagai proses ’Sains Minda’ yang dikaitkan dengan tatacara dan teknik penyampaian yang bertujuan untuk menterjemahkan perasaaan yang jitu dan ikhlas dengan taakulan kuasa kendiri dizahirkan dalam ucapan yang bersahaja.  Menurut Hildebrant dan Stevens (dalam Supyan dan Azhar, 2004), menyatakan bahawa jenis ucapan bukanlah faktor yang menentukan kejayaan sesuatu ucapan tetapi keupayaan penceramah itu sendiri merupakan faktor yang lebih penting.    Teknik penyampaian merupakan salah satu aspek yang penting dalam pengucapan awam kerana kesilapan menggunakan teknik berucap yang betul akan menyebabkan mesej yang cuba disampaikan gagal menemui matlamatnya.  Kejayaan penyampaian yang sebenarnya dapat dilihat dari pemilihan kata-kata atau perkataan yang dengan sendirinya memperlihatkan kaliber seseorang pengucap.
Pengucapan awam adalah satu kemahiran yang diperolehi melalui pembelajaran, latihan, pengalaman dan kombinasi kesemuanya termasuk kekerapan perlakuan.  Semakin banyak pengucapan awam yang dilakukan semakin bertambah khazanah pengalaman yang diperolehi dan ianya merupakan satu proses perkembangan pembangunan diri yang efektif.  Kata-kata yang berbunyi ’Latihan Meningkatkan Kecekapan’ sesuai dengan usaha memperolehi kemahiran pengucapan awam ini kerana walaupun ada yang mengatakan seseorang itu sebagai ’dilahirkan sebegitu’ namun pakar-pakar dalam pengucapan awam masih percaya bahawa latihan dan persiapan yang sempurna adalah kunci kepada kejayaan dalam pengucapan awam.
  
1.2  Elemen-elemen Dalam Membuat Persediaan Pengucapan Awam
Terdapat beberapa elemen penting yang saling mempengaruhi dalam menentukan kejayaan sesuatu pengucapan awam.  Elemen-elemen tersebut mesti diberi perhatian semasa membuat persediaan dan menyampaikan pengucapan awam.  Kegagalan memberi perhatian kepada elemen-elemen tersebut akan menghasilkan pengucapan awam yang tidak berkesan.  Elemen-elemen tersebut ialah:

1.2.1  Speaker
Speaker ialah pengucap yang mempunyai mesej untuk disampaikan kepada pendengar dengan tujuan tertentu sama ada untuk memaklumkan, mempengaruhi, memberi inspirasi dan sebagainya.  Pengucap akan berusaha untuk menyampaikan mesejnya dengan cara yang baik supaya mesejnya diterima dengan jelas, tepat dan dapat membawa perubahan jika perlu.  Rubin dan Henzl (dalam Supyan dan Azhar, 2004) menggariskan empat aspek penting yang menunjukkan sama ada seseorang speaker itu mampu atau sebaliknya berkomunikasi dengan baik dan berkesan.  Aspek-aspek tersebut ialah mempunyai pengetahuan tentang komunikasi, mengenal pasti objektif ucapan, mempunyai kemahiran-kemahiran asas yang dapat membantunya mencapai objektif pengucapan awam dan peka dengan budaya dan sistem nilai yang pelbagai di kalangan hadirin.  Seseorang speaker perlu membuat perancangan, penyelidikan, persediaan dan latihan yang sewajarnya untuk mencapai objektif pengucapan awam.  Aspek-aspek yang mempengaruhi kejayaan seseorang speaker ialah minat dan motivasi dalam diri, kredibiliti, perancangan dan membuat persembahan yang terbaik pada hari persembahan.  

1.2.2  Audien
Audien ialah orang yang datang untuk mendengar ceramah atau ucapan daripada seseorang speaker.  Audien adalah pelanggan kepada speaker.  Sebagai pelanggan, pendapat mereka terhadap persembahan speaker amatlah penting.  Mereka adalah peringkat akhir dalam proses penyampaian mesej.  Speaker berfungsi menyampaikan mesej kepada audien dan memastikan mereka mendapat mesej yang tepat.  Bagi memastikan keadaan ini berlaku, analisis seharusnya dibuat ke atas audien bagi mendapatkan ciri-ciri audien dan mengenal pasti pendekatan dan kaedah yang sesuai bagi sesebuah persembahan.  Memahami siapakah hadirin dan latar belakang mereka adalah penting bagi seseorang penceramah dalam merancang persembahan dan kandungan ucapannya.  Menurut Marzano (dalam Supyan dan Azhar, 2004), terdapat dua kelompok audien iaitu audien sukarela dan hadirin ”terpaksa”. Bilangan audien, pendidikan dan jenis kerjaya audien adalah antara yang terpenting perlu diketahui oleh seseorang speaker dalam menentukan kejayaan persembahannya.

1.2.3  Mesej
Mesej ialah maklumat yang hendak disampaikan.  Speaker yang baik tetapi tidak dapat menyampaikan mesejnya dengan berkesan akan menghasilkan persembahan pengucapan awam yang tidak berkesan.  Mesej di sini bermaksud mesej lisan yang disampaikan melalui pemilihan kata-kata, ayat, bahasa atau simbol-simbol yang dipilih oleh speaker bagi memastikan mesej dan objektif pengucapan awamnya tercapai.  Kejayaan dalam menyampaikan mesej kepada audien bergantung kepada kesesuaian tajuk ucapan, penggunaan perkataan dan bahasa yang tepat, contoh, gaya persembahan dan susunan mesej yang jelas dan saling berkaitan.

1.2.4  Saluran
Mesej yang telah diterjemahkan dalam kata-kata dan bahasa perlu pula disampaikan kepada audien melalui saluran lisan atau bukan lisan.  Saluran lisan adalah percakapan yang menggunakan suara sementara bukan lisan adalah meliputi gerak-geri dan lain-lain yang terserlah semasa seseorang speaker sedang membuat persembahan.  Nada suara, imej diri, pakaian, hubungan atau pertembungan mata dengan audien, mimik muka, pergerakan tangan dan badan serta grafik merupakan beberapa saluran yang boleh dimanipulasi oleh speaker dalam menjayakan persembahannya.  Mehribian (1971) dari University of Los Angeles mendapati bahawa dalam komunikasi biasa, elemen non-verbal atau ”bahasa bukan lisan” memberi makna sebanyak 93% berbanding dengan verbal atau perkataan yang diucapkan.  Sebagaimana kata pepatah Inggeris ”Actions speak louder than words” atau ”perbuatan memberi makna yang lebih besar daripada perkataan”.
 
1.2.5        Gangguan
Tumpuan hadirin kepada ceramah atau syarahan yang diberikan boleh terjejas apabila berlaku gangguan.  Shannon dan Weaver (1971) memperkenalkan perkataan noise atau ”gangguan” yang berlaku dalam komunikasi.  Menurut Grice dan Skinner (dalam Supyan dan Azhar, 2004), ia bukan sahaja ”suara bising” tetapi merangkumi aspek fizikal, fisiologi dan psikologi yang boleh mengalihkan perhatian hadirin atau penonton daripada penceramah atau apa yang sedang diucapkan. Terdapat dua jenis gangguan yang sering berlaku ketika speaker membuat persembahan, iaitu gangguan dalaman dan gangguan luaran. 
Gangguan dalaman ialah segala bentuk halangan yang timbul dari dalam speaker itu sendiri iaitu dari segi fizikal, psikologi atau fisiologi yang boleh menjejaskan keberkesanan penyampaian mesej, penerimaan mesej dan objektif sesi pengucapan awam tidak tercapai sepenuhnya.  Contoh-contoh gangguan dalaman ialah peaker yang kurang sihat, speaker tidak membuat persediaan yang secukupnya dari segi penyelidikan, maklumat atau latihan, speaker kurang mahir dalam perkara yang disampaikan dan sebagainya.  Gangguan luaran pula ialah halangan atau keadaan selain dari diri speaker itu sendiri.  Ia boleh terdiri daripada fizikal, psikologi audien atau halangan-halangan semantik seperti bahasa dan kata-kata yang digunakan oleh speaker semasa pengucapan awam.  Gangguan-gangguan luaran  boleh terdiri daripada penerimaan dan persepsi audien terhadap mesej yang berbeza-beza kerana latar belakang yang berbeza-beza, kefahaman ke atas perkataan-perkataan atau bahasa tertentu, audien yang kurang berminat dengan perkara yang disampaikan, prasangka dari segi psikologi pada pihak audien terhadap penyampai atau perkara yang disampaikan dan sebagainya.

1.2.6  Maklum Balas
Maklum balas dalam pengucapan awam ialah proses di mana speaker menerima maklumat mengenai bagaimana mesej yang cuba disampaikannya diterima oleh audien dan speaker bertindak balas kepada maklumat tersebut.  Maklum balas yang diperolehi oleh speaker seharusnya digunakan untuk bertindak balas dengan mengambil tindakan susulan bagi memperbaiki keberkesanan persembahan. Bagi menggunakan maklum balas sebaiknya, speaker seharusnya peka kepada maklum balas, meminta maklum balas, bertindakbalas dengan maklum balas dan mengulang penerangan bagi mendapat maklum balas.

1.2.7  Setting
Setting bilik ialah keadaan bilik dari segi fizikal.  Seseorang speaker sepatutnya bertanggungjawab tentang setting bilik di mana dia akan membuat persembahan.  Keadaan bilik tersebut perlu diketahui terlebih dahulu bagi menyesuaikan keadaan.  Sekiranya keadaan mengizinkan, seseorang speaker boleh mendapatkan maklumat-maklumat seperti keluasan bilik, kemudahan, suhu bilik, sistem pengudaraan, lampu, kedudukan lokasi speaker semasa persembahan dan susunan tempat duduk.  Speaker perlu menyesuaikan setting bilik dengan persembahannya. 

1.3  Persediaan Awal  Dalam Pengucapan Awam
Salah satu peringkat penting dalam pengucapan awam ialah proses persediaan.  Pada peringkat ini tugas-tugas yang berkaitan dengan mencari, mengumpul bahan, mengolah, merangka dan menulis ucapan bermula.  Kerja-kerja di bahagian ini amat banyak terutama kerja-kerja penyelidikan bagi mendapatkan bahan-bahan yang hendak digunakan dalam persembahan yang akan dibuat. Kerja-kerja tersebut boleh dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu perancangan, proses awal, proses pertengahan dan proses akhir.

1.3.1  Perancangan
Ketika merangka perancangan, pemilihan topik atau tajuk adalah menjadi keutamaan kerana topik yang dipilih akan menentukan perjalanan persembahan. Terdapat tiga pilihan dalam pemilihan topik, iaitu:
  1. Topik khusus yang diberikan
  2. Topik pilihan sendiri, dan
  3. Topik khusus atau tertentu yang menyentuh sesuatu subjek.
1.3.1.1  Topik Khusus yang Diberikan
Pada kebiasaanya, apabila seseorang speaker dijemput untuk menyampaikan pengucapan awam, pihak penganjur telah menetapkan tajuknya terlebih dahulu. Apabila speaker diminta untuk menyampaikan ucapan dan tajuk telah diberikan, adalah mudah baginya untuk membuat persediaan kerana tajuk ucapan telah disediakan.  Walau bagaimanapun, speaker masih boleh berbincang dengan penganjur tentang ketepatan dan kesesuaian tajuk yang dipilih.  Tajuk sebaik-baiknya ialah tajuk yang sesuai dengan kepakaran, pengetahuan, minat dan pengalaman speaker.  Tajuk juga perlu sesuai dengan audien supaya mereka tidak menjadi bosan. Sekiranya perlu, seseorang speaker boleh mendapatkan maklumat berkenaan fokus yang diperlukan.  Cara ini boleh membantu seseorang speaker untuk mengetahui arah mana perbincangan seharusnya dibawa dan aspek yang perlu ditekankan.

1.3.1.2 Topik Pilihan Sendiri
Apabila pilihan diberikan dalam membuat persembahan ucapan, ianya adalah yang terbaik kerana speaker berpeluang memilih perkara yang hendak disampaikan.  Topik yang dipilih biasanya ialah perkara yang speaker berpengetahuan luas tentangnya.  Dengan pilihan terebut, kerja-kerja penyediaan menjadi lebih mudah kerana bahan-bahan asas sememangnya ada dalam fikiran speaker dan tugas-tugas seterusnya hanyalah mengurus bahan-bahan dan mengatur fakta yang hendak disampaikan. 

1.3.1.3  Topik Khusus
Topik khusuis biasanya berpandukan kepada kehendak pihak penganjur yang menjemput speaker untuk membuat ucapan.  Berpandukan kepada matlamat itu maka kerja-kerja penyelidikan awal perlu dibuat supaya bahan-bahan dan fakta yang akan dipersembahkan menjurus ke arah matlamat yang hendak dicapai.  Topik bentuk ini biasanya berbentuk ceramah motivasi atau penerangan yang bermatlamat untuk memberikan pengetahuan atau menyampaikan sesuatu maklumat tertentu.  Tugas-tugas penyelidikan dan penyediaan bahan lebih mudah kerana tumpuan terhad kepada subjek yang hendak disampaikan sahaja.

1.3.2  Proses Awal
Terdapat tiga bahagian utama di dalam proses awal merangka sebuah pengucapan awam.  Bahagian-bahagian tersebut ialah membuat penyelidikan, menyediakan draf awal dan mencari bahan tambahan. 

1.3.2.1  Membuat Penyelidikan
Tugas-tugas awal selepas pemilihan topik ialah membuat penyelidikan bagi mendapatkan informasi, maklumat dan data mengenai subjek yang telah ditentukan. Tugas penyelidikan ini boleh berpandukan kepada mendapatkan data-data primer dan sekunder.  Ianya boleh dikumpulkan daripada hasil kajian sendiri, pengamatan dan pemerhatian yang dibuat, bacaan daripada semua sumber yang berkaitan dan semakan dari bahan-bahan tersedia di perpustakaan atau lain-lain sumber.  Kaji selidik juga boleh dibuat melalui temuduga dan perbualan dalam perbincangan yang diadakan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.  Data-data yang diperolehi perlu dikumpul sama ada dalam bentuk bertulis, bercetak atau gambar-gambar.  Pada peringkat ini data tidak perlu disusun lagi.

1.3.2.2  Menyediakan Draf Awal
Speaker perlu membahagi-bahagikan maklumat yang dikumpul mengikut struktur yang telah ditetapkan dalam proses menyediakan draf awal. Maklumat-maklumat tersebut dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu bahagian pendahuluan, isi kandungan dan penutup.  Tugas seterusnya ialah memulakan kerja-kerja mengumpul maklumat yang perlu di bahagian isi kandungan ucapan.  Kerja merangka draf perlu dimulakan di bahagian isi kandungan kerana ia merupakan 80% daripada keseluruhan bahagian ucapan yang bakal dipersembahkan.  Apabila semua maklumat telah dikumpul dalam bahagian isi kandungan, speaker perlu menyusun semula maklumat-maklumat tersebut mengikut susunan atau tertib perkara yang hendak disampaikan.  Pada peringkat inilah tugas-tugas menganalisis susunan kandungan ucapan perlu dibuat.  Dalam menyusun dan menganalisis ini, speaker boleh menambah idea berpandukan kepada fakta atau bahan sokongan yang akan dimuatkan dalam kandungan ucapan tersebut.  Tugas menulis ucapan sebenar hanya bermula selepas semua kerja di bahagian ini selesai dibuat.
            Setelah selesai bahagian isi kandungan, barulah speaker merangka dan menyusun data untuk bahagian pendahuluan.  Fakta-fakta yang dikumpul di bahagian isi kandungan ucapan boleh dipetik dan diulas sebagai pemula ucapan untuk menarik perhatian audien.  Walaupun bahagian pendahuluan ini hanya 10% dari keseluruhan ucapan tetapi speaker boleh mengolah data dan fakta untuk menjadikannya lebih menarik untuk didengar.  Penggunaan pantun, seloka, puisi atau apa sahaja kaedah boleh digunakan asalkan ianya boleh menarik perhatian audien.
            Merangka bahagian penutup merupakan tugas yang mudah kerana bahagian ini merumuskan isi kandungan ucapan.  Kandungannya boleh dikutip dari bahagian isi kandungan yang penting, diulas semula dengan penekanan  yang tertentu kepada fakta dan contoh-contoh yang telah disampaikan.  Walaupun bahagian penutup merupakan 10% dari keseluruhan ucapan, tetapi bahagian ini merupakan bahagian yang kritikal kerana kegagalan membuat penutupan yang baik dan sempurna menjadikan ucapan tergantung dan tidak mencapai matlamat.  Rumusan yang tepat akan memberikan impak yang efektif.

1.3.2.3  Mencari Bahan Tambahan
Setelah tugas-tugas penulisan selesai dibuat, speaker perlu membaca semula tulisannya.  Semakan terhadap isi kandungan, permulaan dan bahagian penutup adalah perlu dibuat untuk mempastikan kesesuaian maklumat, pendekatan dan rumusan yang telah dipilih.  Speaker dicadangkan agar merujuk data-data yang telah disusun  tadi kepada mereka yang berpengetahuan dalam bidang yang hendak disampaikan dalam ucapan.  Rujukan ini akan membantu memperbaiki persembahan ucapan yang bakal disampaikan.

1.3.3  Proses Pertengahan
Tugas-tugas penulisan ucapan dibuat dalam bahagian ini.  Speaker perlu mengikut disiplin yang telah diaturkan dalam draf awal mengikut susunan penyampaian yang akan dibuat.  Bagi speaker yang pertama kali melakukannya dicadangkan agar membuat penulisan bahagian permulaan, isi kandungan dan penutup secara berasingan.  Ini memudahkan tugas-tugas membuat rujukan semula kepada pakar, tambahan idea dan fakta, membuat semakan, dan yang utama ialah tumpuan dapat diberikan kepada setiap bahagian.
            Selepas proses semakan, tugas-tugas penulisan semula perlu dilakukan dan penulisan ini dibuat mengikut susunan sebenar.  Pendekatan penulisan ini perlu dipatuhi untuk mempastikan kesinambungan fakta yang hendak disampaikan.  Bahasa yang digunakan dalam penulisan ialah bahasa percakapan yang akan disampaikan.  Bahasa pertuturan ditulis dalam skrip yang dibuat dan ini akan memudahkan speaker menghafal data dan fakta.
            Semasa menulis kandungan ucapan, terdapat tanda-tanda tertentu yang digunakan bagi memudahkan speaker menyusun bahan visual yang akan digunakan.  Bahan-bahan visual yang digunakan ditandakan mengikut susunan nombor untuk memudahkan speaker mendapatkannya semasa diperlukan.  Tanda-tanda yang dibuat haruslah besar dan jelas dilihat.  Contohnya, tanda yang dibuat di atas transparensi, tanda atau nombor susunan sebaiknya dibuat data rangka transparensi tersebut dan disusun mengikut urutan.  Sekiranya ada bahan lain digunakan, seperti keratan akhbar, keratan itu boleh dibesarkan cetakannya agar mudah dilihat oleh audien. 
            Draf ucapan yang telah dibuat perlu dibaca beberapa kali.  Setelah dibaca barulah latihan awal dilakukan.  Latihan ini dilakukan sendiri dengan bercakap sambil membaca skrip yang dibuat.  Adalah lebih baik jika latihan ini diperhatikan oleh seseorang yang berpengalaman, kerana beliau boleh memberikan komen tertentu. Penggunaan masa juga dapat dikesan dari latihan awal ini dan hasilnya nanti speaker akan dapat membuat penyesuaian masa di mana perlu.

1.3.4  Proses Akhir
Setelah draf ucapan telah dibaca berkali-kali, speaker pasti akan dapat mengingat banyak fakta di dalam ucapan yang hendak disampaikan.  Tugas seterusnya ialah mendapatkan kad bergaris dan kemudian memindahkan maklumat-maklumat yang mengandungi idea-idea penting ke dalam kad-kad peringatan tersebut.  Speaker hanya perlu menggunakan perkataan-perkataan yang penting sahaja untuk mengukuhkan ingatan. Setelah kad-kad peringatan telah disediakan, speaker perlu menjalankan latihan penyampaian sekali lagi untuk membantu kelancaran berucap semasa persembahan.  Tahap kepekaan harus ditingkatkan pada saat-saat akhir kerana ia membantu speaker kelihatan lebih prihatin dan yakin dalam persembahan ucapan yang akan disampaikan.  Maklumat terkini yang diperoleh membantu speaker menambah bahan dan fakta ucapan.  Kebolehan speaker menggunakan maklumat terkini dan menggabungkannya dengan ucapan yang disampaikan adalah satu kemahiran yang baik dan praktikal. 
            Setelah semua persiapan awal telah dilakukan, speaker harus memberikan perhatian kepada pakaian dan penampilan diri ketika persembahan sebenar nanti.  Pakaian dan penampilan diri yang baik menggambarkan keperibadian speaker dan akan dapat meningkatkan tahap penerimaan di kalangan audien.  Pepatah Inggeris ada mengatakan bahawa ”If you could dress properly for the presentation, you have done 40% of the job”.  Kenyataan ini dengan jelas menggambarkan betapa pentingnya pakaian dan penampilan diri dalam pengucapan awam.  Pakaian yang sesuai yang dimaksudkan di sini ialah pakaian yang bertepatan dengan majlis yang dihadiri.

KESIMPULAN
berucap dengan baik di hadapan audien bukanlah satu warisan yang boleh diwarisi melalui baka dan keturunan.  Ia adalah satu kemahiran yang boleh diperoleh melalui kesungguhan latihan dan pengalaman.  Walaupun begitu, bukan semua orang yang tidak bisu boleh berucap dengan efektif, terutama di hadapan audien yang bermacam ragam.
            Manander, seorang cendekiawan zaman silam mengatakan, ”Sifat seseorang digambarkan menerusi ucapannya” dan kata Plato ”Orang-orang yang bijak bercakap kerana ada sesuatu untuk diperkatakan, manakala yang bodoh kerana terpaksa memperkatakan sesuatu”.  Maksudnya isi atau pokok perbualanlah merupakan tunjang ucapan.  Proses mencari isi atau bahan ucapan serta proses mendapatkan kemahiran berucap adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat.  Setiap peristiwa yang berlaku pada setiap saat dalam dunia ini merupakan modal untuk berucap.  Justeru itu, kita diminta untuk tidak menyisihkan diri daripada dunia ini.  Kita perlu sentiasa prihatin tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kita.  Ini semua dapat kita jadikan sebagai isi-isi ucapan yang menarik.
            Pengucapan awam yang telah dirangka dengan rapi dan baik sahaja yang akan didengar dengan sepenuh perhatian oleh audien.  Oleh itu, seseorang speaker perlu merancang ucapan dengan sebaik mungkin berdasarkan panduan-panduan yang telah dibincangkan dalam penulisan ini.
2,680 patah perkataan

RUJUKAN
Abdullah Hassan & Ainon Mohd.  (2001).  Teori dan Teknik Ucapan Berpengaruh.  Kuala Lumpur:  Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad.  (2003).  Panduan Pengucapan Awam.  Selangor Darul Ehsan:  Dawana. 
Arshad Md.  Ghaus.  (2003).  Teknik Pengucapan Berkesan. Kuala Lumpur:  Utusan  Publications & Distributors Sdn Bhd.
Dr Ardenan Ayob.  (2011).  Kompetensi dalam Bahasa Melayu.  Selangor Darul Ehsan:  OUM.
Maimunah Osman.  (2000).  Pengucapan Awam Yang Berkesan.  Kuala Lumpur:  INTAN.
Mehribian, Albert.  (1991).  Silent Messages. Belmont California:  Wadsworth Publishing Co.
Mohd. Sofian Omar Fauzee.  (2007).  Psikologi Dalam Pengucapan Awam.  Kuala Lumpur:  Utusan  Publications & Distributors Sdn Bhd
Nik Safiah Karim et. al. (2009).  Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.
Salehuddin bin Hj. Mohd. Noor et. al. (2003). Pengucapan Awam.  Singapura:  Thompson Learning.
Shannon, C.E & Weaver, W. (1971).  The Mathematical of Theory of Communication.  Illinois:  University of Illinois.
Supyan Hussin & Azhar Jaludin.  (2004).  Kecemerlangan Dalam Pengucapan Awam.  Kuala Lumpur:  Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Verderber, Rudolph F.  (1996).  Communicate.  Wadsworth Publishing Company: 


No comments:

Post a Comment