Sunday, 25 March 2012

Puisi Indah Untuk Guru - Obor Hemah & A. Samad Said

(Sumber-http://www.facebook.com/asamadsaid)


OBOR HEMAH – A. SAMAD SAID
Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah,
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara insan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru...atap ganti ketika pondok bocor,
kitab sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia...sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara darma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutub khanah,
menyediakan kutub khanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya
atas lambungan laut, merangsang
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru...minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih,
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan
walau diambilnya kembali semua buku,
sempat ditinggalkannya asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang taqwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

SEDIKIT INFO MENGENAI SASTERAWAN NEGARA A. SAMAD SAID:
A. SAMAD SAID, pengarang yang terkenal dengan novelnya Salina juga terkenal sebagai pengarang cerpen, drama, puisi dan esei sastera.  beliau dilahirkan pada 09 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.  Tanah kelahiran tidak membesarkannya kerana sewaktu berusia enam bulan, kedua-dua orang tuanya telah membawa beliau ke Singapura, belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946).  Kemudian beliau meneruskan pengajian kelas petangnya di Victoria Institution dan belajar sendiri hingga lulus Senior Cambridge pada tahun 1956.
          Kerjaya beliau bermula sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Jawatan itu disandangnya selama enam bulan sahaja.  Beliau kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur, bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestaman.  Enam bulan kemudian, beliau kembali ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman di bawah Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur - Usman Awang dan Said Zahari yang menjadi pengarang ketika itu turut berpindah - maka beliau juga berpindah ke Kuala Lumpur.  Atas pujukan A. Samad ismail yang menjadi pengarang Berita Harian ketika itu, beliau bekerja di Berita Harian.  Kemudian beliau menjadi pengarang Berita Harian kerana A. Samad Ismail diberikan tugas yang lebih besar dalam Straits Times.  Apabila A. Samad Ismail ditahan, beliau dilantik sebagai penolong khas kepada pengarang Kumpulan Straits Times, di samping menjalankan tugasnya sebagai pengarang.  Kerana minat mengarangnya begitu mendalam, maka beliau meminta dibebaskan daripada jawatan pengarang Berita Harian.
          Maka, mulai Mac 1978, beliau menjadi salah seorang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu, seperti menulis rencana pengarang dan artikel.  Sejak akhir 1981, beliau ditugaskan sebagai ketua pengarang akhbar Warta Teberau dan kemudiannya bertugas sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur.  Beliau kemudiannya melepaskan jawatannya dalam kumpulan akhbar tersebut untuk memberikan tumpuan sepenuh masa sebagai pengarang karya sastera.  Dan, karya-karya beliau sering diakui oleh pengkaji sastera sebagai karya yang memperlihatkan ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang - baik sewaktu beliau menulis tentang watak-watak mehupun sewaktu beliau memerikan alam yang menjadi latar ceritanya.  
          Sumbangan beliau dalam perkembangan kesusasteraan tanah air mendapat perhatian daripada pemerintah.  Justeru, pada tahun 1976, beliau telah diiktiraf sebagai pejuang sastera.  Pada tahun 1979 pula, beliau telah dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera Negara.  Tahun yang sama juga beliau telah terpilih sebagai penerima SEA Write Award.  Kemuncak penghargaan kepada beliau dalam dunia kesusasteraan ialah pada tahun 1985 apabila beliau telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara.  kini, Sasterawan Negara A. Samad Said masih meneruskan kehidupannya sebagai pengarang karya sastera sepenuh masa.
(Sumber - Dosa Pejuang, A. Samad Said, Siri Kumpulan Cerpen Pilihan Abad Ke - 20)

(Sumber-http://www.facebook.com/asamadsaid)
(Sumber-http://www.facebook.com/asamadsaid)

No comments:

Post a Comment