Friday, 13 April 2012

Nota P&P Pendidikan Khas


Pengenalan
Berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, semua kanak – kanak di Malaysia berhak mendapat pendidikan yang sama rata berdasarkan kepada keupayaan masing – masing. Maka bagi kanak – kanak berkeperluan khas, mereka juga tidak dinafikan untuk memperoleh peluang pendidikan melalaui dasar – dasar pendidikan yang di salurkan melalui pendidikan khas, bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Khas.
“Pendidikan Khas di Malaysia adalah usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan mengurus kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.”
Setiap kanak-kanak yang mempunyai apa juga jenis atau tahap kecacatan, kelemahan atau kekurangan harus menerima pendidikan percuma dalam suasana yang bersesuaian sehingga umur lapan belas tahun. Pendidikan bagi orang kurang upaya harus termasuk ke dalam perancangan pendidikan kebangsaan, perkembangan kurikulum serta organisasi sekolah. Pihak berkenaan harus berusaha mengalakkan mengintegrasikan pelajar kurang upaya ke dalam sekolah biasa. Untuk memasukkan kemudahan pendidikan bagi pelajar kurang upaya ke dalam sekolah biasa, pihak berkenaan haruslah :

- mengadakan polisi yang jelas, dihayati dan diterima di peringkat sekolah dan        
  masyarakat umum;
- membenarkan kelonggaran kurikulum, serta tambahan dan adaptasi;
- menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti dan mudah didapati, latihan perguruan
  yang berterusan dan guru penyokong.

          Persediaan untuk 'mainstreaming' harus diuruskan pada tahap awal persekolahan di peringkat sekolah rendah untuk memastikan kanak-kanak cacat penglihatan seperti kanak-kanak kurang upaya yang lain, kecuali mungkin mereka yang terencat akal, diberi pendidikan bersama rakan sebaya yang tidak cacat ke tahap yang setinggi-tingginya. Di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, mereka akan diintegrasikan bersama pelajar lain dan mengikuti kurikulum yang sama. Pelajar yang cacat penglihatan di peringkat ini akan diberi perkhidmatan sokongan seperti bahan bacaan dalam bentuk braill atau audio, kelengkapan braile, alat pembaca, komputer yang dilengkapkan dengan kemudahan khas, alat kelengkapan bagi mereka yang kurang penglihatan, orientasi dan pergerakan, kaunseling, dan guru sumber.

Bagi mereka yang cacat pendengaran, kurikulum yang diubahsuai akan menitikberatkan kepada perkembangan komunikasi dan bahasa yang sesuai dengan keperluan pelajar. Kurikulum akan merangkumi cara khas untuk mengajar pertuturan, memahami pertuturan, latihan pendengaran dan rentak menggunakan komunikasi keseluruhan, pelbagai sensori serta pendekatan yang lain. Mereka akan diirujukan kepada staf sokongan seperti jurubahasa isyarat, otologist, audiologist, pakar pemulihan pertuturan, jurulatih auditori dan yang lain seperti diperlukan. Berdasarkan keperluan khas bagi mereka yang pekak atau pekak-buta, pendidikan bersesuaian boleh dikendalikan di sekolah khas atau pun di kelas atau unit khas di sekolah biasa.

Bagi mereka yang mengalami kecacatan otopedik, pendidikan berkualiti akan diberi sama seperti untuk mereka di sekolah biasa, dan mereka akan dibenarkan menghadiri kelas di tingkat bawah bangunan sekolah di mana boleh. Penjadualan kelas serta pertimbangan lain akan dibuat bersesuaian dengan keperluan pendidikan mereka.

Mereka yang terencat akal, kurikulum yang diubahsuai akan menitikberatkan latihan mengurus diri, sosialisasi, kemahiran hidup seharian yang berdasarkan pergerakan, pra-vokesional dan vokesional. Bagi mereka yang terencat akal yang teruk, tumpuan akan diberi kepada peningkatan kemahiran penjagaan diri.

Sementara bagi mereka yang mempunyai masalah perlakuan seperti autisma, mereka yang bermasalah pembelajaran dan mereka yang mempunyai kecacatan pelbagai, kurikulum yang diubahsuai akan merangkumi aktiviti serta teknik penyampaian bagi menormalisasikan perlakuan dan juga kemahiran berdasarkan fungsi serta akademik untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat.

Pihak berkuasa berkenaan akan memulakan atau menyebabkan bermulanya penyelidikan yang bertujuan mereka bentuk dan menyediakan alat bantuan, alat bantuan pengajaran, kelengkapan khas pengajaran atau apa sahaja peralatan yang diperlukan untuk memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada kanak-kanak kurang upaya. Pihak berkuasa berkenaan akan menubuhkan insitusi latihan perguruan yang secukupnya di samping memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan untuk mengadakan rancangan pendidikan perguruan dengan pengkhususan dalam bidang mengajar pelajar kurang upaya supaya tenaga pengajar yang terlatih dapat disalurkan ke sekolah khas dan sekolah berintergrasi bagi kanak-kanak kurang upaya.

Tanpa sikap prejudis kepada peruntukan di atas, pihak berkuasa berkenaan akan menyediakan skim pendidikan yang komprehensif yang merangkumi:  
-  Pelaksanaan rancangan pendidikan individu bagi setiap kanak-kanak kurang upaya di  
   sekolah;
-  Kemudahan pengangkutan bagi kanak-kanak kurang upaya atau bantuan kewangan 
   kepada ibu bapa atau penjaga untuk membolehkan anak kurang upaya mereka 
   menghadiri sekolah; 
Memberikan secara percuma buku serta alat kelengkapan khas yang doperlukan bagi 
   pendidikan kanak-kanak kurang upaya;
-  Biasiswa bagi pelajar kurang upaya;
- Mengadakan saluran untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dalam 
  menempatkan anak-anak mereka dalam sekolah.

No comments:

Post a Comment