Saturday, 14 April 2012

Republik P-A-G-E

Cerpen ini ditulis oleh Aidil Khalid dan dimuat turun dari ruangan sastera Berita Harian Online 
(15 April 2012).

PROFIL PENULIS:
AIDIL Khalid menulis dalam genre cerpen, sajak, novel dan skrip drama radio adalah peserta Minggu Penulis Remaja 2007. Lulusan undang-undang dari Universiti Teknologi MARA dan kini bertugas di Tetuan Ong Partnership. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@gmail.com atau layari http://aidilkhalid.blogspot.com



AKHIRNYA dia selamat melahirkan bayi itu setelah sekian lama mengandungkannya.

Mengatakan lama, sebetulnya adalah suatu peremehan yang maha tak adil ke atas apa-apa yang sebenarnya ditanggung oleh sang ibu. Tujuh tahun – ya tujuh tahun lamanya – sang ibu mengandungkan bayi yang akhirnya selamat diteran keluar pada tanggal 30 Februari, tepat jam 25-00 di sebuah hospital kerajaan di pinggir kota. 

Justeru, tidak perlulah diperikan tentang perasaannya saat itu, bagaimanakah leganya kerana segala penderitaannya selama ini berakhir jua. Khabarnya dalam ikhtiar merungkaikan permasalahan kandungannya yang tidak mahu beranak-beranak sekian lama, dia telah menemui lebih seratus doktor pakar – kesemuanya dari luar negara – tapi tak seorang pun berjaya menjawab fenomena tersebut. Sedangkan imbasan sonogram jelas menunjukkan bahawa bayi di dalam rahimnya sihat, berada dalam keadaan yang afiat, hanyasanya tidak mahu keluar-keluar.

Hari ini, setelah begitu lama buntu fikiran, tengah malam tadi air ketubannya pecah. Dia digegaskan ke hospital dan di situ bayinya lahir secara normal. Maka, saat ini, dengan dahi yang merenik peluh, juga tengkuk yang merembes keringat, senyuman longlai, tetapi penuh sinar bahagia menghiasi wajahnya yang dilakari kerut-kerut rengsa.

Anak yang baru saja lahir itu, setelah dipisahkan dari tali pusat – yang dipotong oleh sang suami sendiri atas kebenaran tuan doktor – berpindah tangan. Jantinanya dikenal pasti. Daripada tangan doktor ke tangan jururawat ia bersilih. Jururawat menjalankan tugasannya seperti biasa. Membersihkan bayi itu, sebelum kemudiannya menepuk punggungnya perlahan, bagi membiarkan manusia baharu itu memulakan esak tangis yang pertama. Selepas ini, ia akan ditimbang beratnya sebelum diserahkan pula kepada ibunya untuk dikendong. Begitulah lazimnya kelahiran disambut.

Pun, ketika jururawat menepuk punggung kecil bayi itu, ia ternyata tidak menangis. Bahkan matanya tetap saja terkatup. Hanya geliat tubuhnya yang mungil memperlihatkan bahawa ia sebetulnya masih bernafas.  Lantas jururawat pun menepuk lagi punggungnya, kali ini sedikit lebih keras, tetapi masih juga tetap tak menangis.  Ia sekadar mengeluarkan sedikit bunyi – “ouch!”.  Apabila jururawat menambahkan kekerasan tepukannya, bayi itu malah merungut pula: “Hey, lady! What are you doing spanking me like that! Can’t you see, I’m sleeping!”

Jururawat itu tentu saja hampir-hampir menghempaskan bayi dalam dukungannya, nyaris-nyaris jatuh ke lantai. Alangkah tak tersangka dia. Jururawat itu memandang ke kiri dan ke kanan, kalau-kalau tuan doktor, kalau-kalau sang ibu atau kalau-kalau juga suaminya sang bapa, turut mendengar apa yang didengarnya dari corong mulut bayi yang baru saja lahir itu.

“Apa ya mahu kita namakan bayi ini?” begitu jururawat mendengar sang suami bersuara kepada isteri dengan penuh kasih bersemi. Seolah-olah mereka tidak mendengar apa yang baru saja keluar dari mulut mungil bayi itu. Lantas, jururawat itu pun sekali lagi menepuk keras punggungnya, sekadar mencuba-cuba mahu melihat apakah reaksinya akan masih tetap sama.


Ketepak!


“Hey, hey, hey, lady! Don’t you dare do that again!”

Suaranya jelas, suaranya terang; malah pengucapan setiap patah bicaranya begitu lancar dalam sebutan mat saleh yang fasih. Semua dalam kamar bersalin itu telah mendengarnya. Tuan doktor yang sedang membasuh tangannya di sinki, sang ibu yang masih longlai di atas katil dan bahkan juga suaminya yang gembira sebagai bapa baru – semuanya berpaling ke arah jururawat yang sedang mendukung bayi itu. Sekali lagi jururawat itu menghempuk punggungnya, kali ini seolah-olah sengaja mempamerkannya.

Pek!

“Hey, what the hack!” kata bayi itu.

Ketepek!

“Hey, watch your hands!” Bibir yang masih pucat begitu petah menggumam mengomel.
Pek!

“Hey, hey, hey!”

Justeru begitulah kisah ini bermula. Dan ia tidak mengambil masa lama untuk tersebar. Kerana ia malah kemudiannya dilaporkan dalam berita akhbar dan televisyen arus perdana.

Bayi genius dilahirkan!
Misteri bayi berbicara!
Bagai mukjizat Nabi Isa!

Begitu kira-kira antara tajuk utama yang disiarkan – bergantung kepada jenis akhbar yang menyiarkannya. Sekalian jelata yang membaca tentunya melongo menganga ketakjuban penuh tak percaya.

Buat seketika, keluarga sang ibu dan sang ayah tiba-tiba saja menjadi semacam selebriti. Segala tumpuan difokuskan kepada mereka – dan mereka saja – sedang berita-berita semasa lainnya, baik itu soal politik atau itu tentang ekonomi, atau itu mengenai gempa bumi, atau itu berhubung jenayah berbahaya, atau itu berkenaan skandal rasuah bahkan juga seks pemimpin parti, semuanya dikesampingkan dan tak lagi dilaporkan.
Hanya mereka yang dicari – suami isteri dengan bayi petah berbahasa mat saleh itu – dan mereka bahkan diburu untuk ditemuramah: bagaimanakah bayi yang baru saja dilahirkan sampai sedemikian berkebolehan?
Tentunya mereka tak punya sebarang jawapan yang pasti.

Keajaiban, ya bagaimanakah untuk menerangkan tentang keajaiban? – kerana andai saja dapat diterangkan, maka tentulah tidak lagi layak digelar keajaiban.

Tetapi kerana persoalan yang sama sering saja diajukan berulang kali, bahkan semakin rancak bertubi-tubi oleh para wartawan, maka secara berdikit-dikit mereka pun cuba merangka jawapan yang pada akal fikiran mereka barangkali dapat diterima oleh rakyat jelata yang menatap berita. Lalu akhirnya apabila ditanyakan lagi, mereka pun memberikan jawapan begini:

“Rahsianya mudah,” terang sang bapa ketika dikerumuni wartawan sewaktu ulang tahun ke seminggu bayi tersebut dilahirkan, “Saya dan isteri memanggilnya P-A-G-E. Singkatan untuk Pemikiran, Angan-Angan, Gaya hidup, yang mana kesemuanya hendaklah dan haruslah menjurus dan menuju dan menghala dan berkiblatkan satu tujuan saja, iaitu English. Kesemuanya harus English. Sepanjang-panjang tempoh mengandung, inilah falsafah dan pandangan dan kepercayaan bahkan boleh diistilahkan sebagai agama yang menjadi anutan isteri saya: P-A-G-E.”

Melihatkan para wartawan semakin mengerutkan dahi, maka sang bapa meneruskan lagi:
“Kamu semua harus faham bahawa menurut kajian, bayi yang berada dalam kandungan sebenarnya memiliki pertalian khusus yang amat erat dengan ibunya, sungguhpun ibu berada di dunia luar dan bayi berada di dalam kantung rahim. Ia semacam hubungan yang mistikal. Justeru segala apa yang dijalani dalam kehidupan ibu akan pasti mengesan kepada bayi melalui suatu pertalian yang amat akrab.

“Untuk kami sekeluarga,” begitu sambung sang bapa lagi, “kerana kami mahukan anak yang pandai Inggeris, makanya kami memutuskan bahawa sepanjang tempoh mengandung, isteri saya hendaklah mengamalkan P-A-G-E.
Kesemuanya haruslah dan mestilah yang English-English saja agar tidak bersifat tempatan atau kebangsaan atau ketimuran. Dari segala apa yang dipakai, yang diucapkan, yang ditonton, yang dimakan, yang dibaca, yang dipelajari, yang dipersembahkan, bahkan juga yang difikirkan, semuanya mestilah menjurus kepada barat supaya hubungan mistikal antara ibu dengan bayi dapat benar-benar berkesan memberi impak ke-Inggerisan.”
Para wartawan mengerut dahi, entahkan kagum entahkan canggung.

Pun, keghairahan ini berterusan buat beberapa ketika. Mereka dijemput untuk menjadi tamu dalam pelbagai bual bicara. Mereka diraikan dalam majlis keramaian. Mereka bahkan, di kemuncaknya, dijemput menghadap tuan tertinggi republik.

“Apakah yang dibicarakan dan dibincangkan dengan tuan tertinggi tadi?” tanya salah seorang wartawan, sebaik kedua-dua pasangan itu keluar dari pintu gerbang mahligai yang alangkah gah dan indah.

Ketika itu sang isteri sedang mendukung bayinya dalam dakapan dan mereka berjalan menuju ke arah kereta limosin yang disediakan tuan tertinggi khusus untuk mereka menghadiri majlis ini. Bayi itu kelihatannya sedang lena keletihan, barangkali setelah berceloteh panjang dalam bahasa Inggeris yang fasih dengan tuan tertinggi republik tadi. Dan para wartawan menyesak-nyesak mengerumuni untuk mendapatkan jawapan. Tangan-tangan mereka saling silang-bersilang mengajukan alat perakam suara. 

“Kami membincangkan kebarangkalian untuk P-A-G-E dijadikan amalan wajib kepada semua ibu-ibu mengandung di republik ini agar lebih banyak bayi yang yang lahir memiliki kebolehan seperti bayi kami ini,” begitu terang sang bapa dengan teratur. Wartawan terus saja berebut-rebut menanyakan soalan dan sang suami menjawab setiap satunya dengan berbangga kerana mempunyai seorang anak yang berkebolehan luar biasa. Isterinya di sebelah sesekali mengangguk, sambil mengendong bayi yang sedang pulas tidur itu.

Dalam ghairah para wartawan mengaju soalan dengan tangan saling berebut mengacukan perakam, ternyata salah seorang daripada gerombolan wartawan sekonyong-konyong tanpa sengaja telah melanggar bayi yang sedang nyenyak itu.
“Hey you jerk, what the hack are you doing poking me like that. Can’t you see I’m having my nap here? Who the hell do you think you are to touch me like that? Are you blind you f------ reporters?”
Lampu kamera bertubi memancar bertalu menembak. Para wartawan semakin ghairah bertambah merakamkan. Sudah barang tentu ini akan disiarkan dalam televisyen malam nanti. Rakaman pertama yang sedemikian mencolok tidak mungkin dilepaskan. Ini berita sensasi yang dicari-cari. Sudah barang pasti juga akan jadi tajuk utama akhbar esoknya. Dan sudah barang nyata sekalian rakyat jelata akan menonton membacanya.

Menyedari ini, sang ibu cekatan melindungi bayi yang menjadi santapan lensa rakus puluhan kamera itu.
Dengan segera juga ditutupnya mulut cilik anaknya yang masih saja terus berbicara dan berbicara dan berbicara dalam nada menjerit kalap dalam telor mat salih penuh fasih kepada para wartawan, yang isinya dipenuhi dengan maki dan hamun. 

Sang bapa menolak para wartawan ke tepi untuk menembusi dan berjalan mara masuk ke dalam kereta. Mereka harus pulang; harus pulang dengan segera. Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah keadaannya apabila seantero republik nanti menonton anak mereka yang baru berusia seminggu itu menyumpah seranah para wartawan. Ia tidak akan kelihatan baik. Ia tidak akan kelihatan cantik.

Malam itu, panggilan telefon pertama yang mereka terima berhubung perkara tersebut adalah kira-kira kurang empat saat saja sebaik laporannya pecah dalam berita utama jam lapan. Dan bermula dari panggilan pertama itu, telefon kedua-dua suami isteri tidak berhenti-hentinya berbunyi – sama ada panggilan untuk dijawab atau pesanan ringkas untuk dibaca. Tidak cukup dengan telefon genggam kedua-duanya, telefon rumah juga bahkan tidak habis-habisnya berdering. Sebahagiannya dari wartawan yang mahukan reaksi, sebahagian yang lain daripada ahli keluarga yang mahukan penceritaan rinci, manakala sebahagian lagi daripada rakan taulan yang sekadar mahu mentashihkan cerita. Bahkan tak kurang juga daripada individu yang tidak pernah dikenali – entah dari mana mereka mendapatkan nombornya – juga daripada beberapa tokoh pemimpin politik yang tidak semena-mena menjadi begitu cakna.

Sungguhpun beratus-ratus panggilan dan pesanan yang mereka terima dari segenap lapisan masyarakat, tetapi kesemuanya sebenarnya menyampaikan perkara yang sama, hampir-hampir sebulat suara: yakni melampiaskan kecanggungan atas anak kecil yang begitu tidak tahu adab yang begitu biadap dan yang begitu kurang ajar sehingga menyumpah seranah sedemikian sekali – sungguhpun kegeniusannya berbicara mat salih tidak pernah dipertikai.

Kedua-dua suami isteri hanya dapat tidur-tidur ayam malam itu, kerana setiap saja mahu terlena, pasti akan terjaga kembali oleh deringan telefon, lagi dan lagi dan lagi tanpa henti. Hanya kira-kira melepasi jam tiga pagi, barulah keadaannya beransur reda, sebelum akhirnya berhenti terus dan mereka pun dapat tertidur. Pun, menjelang dinihari, kedua-dua telefon suami dan isteri kembali berbunyi lagi, secara serentak.

Di hujung talian, suara daripada individu yang tidak dikenali. Dan individu itu ternyata – entah bagaimana ini terjadi – adalah individu yang sama di hujung kedua-dua telefon suami dan isteri.

“Anak itu,” begitulah kata suaranya, “tidak akan menjadi manusia dengan sekadar pintar bicara. Kukuhkanlah dulu akar dan jatinya; ajarkan tentang makna dan diri; kenalkan adat dan budaya; mesrakan dengan pandang dan alam. Jadikanlah dia manusia yang manusia.

“Dodoikan,” tambah suara itu lagi, “dodoikanlah kepada anakmu itu dan dendangkan kepadanya syair Melayu yang indah penuh makna.” Sayup-sayup sebelum taliannya diputuskan dan sebelum azan Subuh berkumandang dari surau di hujung jalan, kedengaran suara penuh asyik sungguh syahdu terlalu merdu dalam alunan menusuk mendayu mendendangkan bait-bait syair:

... Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan ...
Kedua-dua suami isteri – masing-masing masih memegang telefon di telinga – saling berpandangan antara sesamanya.


No comments:

Post a Comment