Wednesday, 9 May 2012

Assignment ODL / OUMH1103



1.1  pengenalan
Dalam era globalisasi sekarang, dunia menjadi semakin kecil. Maklumat berada di hujung jari, sempadan geo-politik sesebuah negara hanya wujud di atas kertas dan di dalam minda. Individu bergerak bebas dari sebuah kawasan jajahan ke sebuah kawasan jajahan lain tanpa sebarang sekatan, selagi memenuhi syarat undang-undang imigrasi sebuah negara berdaulat.  Perkara yang sama turut berlaku di dalam sektor pembekalan tenaga kerja. Seseorang pekerja berpeluang untuk menabur bakti di mana sahaja tempat di dunia ini, selagi tenaga atau kepakarannya diperlukan dan diiktiraf oleh majikan.
Di Malaysia, kita masih lagi tercari-cari kaedah terbaik untuk mengatasi masalah graduan menganggur.  Jika kita perhatikan, institusi-institusi pengajian yang ada di Malaysia, sama ada instutusi pengajian tinggi, baik IPTA mahupun IPTS, semuanya boleh dikategorikan sebagai pembekal tenaga kerja, sama ada dikategorikan sebagai tenaga mahir, pakar, mahupun separa profesional.  Institusi-institusi ini akan mengeluarkan tenaga kerja yang diperlukan oleh pelbagai sektor, sebagai contoh, perindustrian, komputer, perkhidmatan dan pelayanan, yang kita kategorikan sebagai sektor awam dan sektor swasta.  Di dalam dunia global, persoalan lebihan atau lambakan tenaga kerja tidak lagi relevan, atau mungkin tidak sepatutnya wujud. Ini kerana, sepatutnya tenaga kerja atau individu pencari kerja boleh menawarkan khidmat mereka di mana sahaja di dunia ini.  Ada pendapat yang mengatakan bahawa semakin tinggi atau luas pendidikan yang diterima oleh rakyat sesebuah negara, kadar pengangguran akibat memilih kerja akan semakin meningkat.
Keadaan ini berlaku akibat keterdesakan pihak institusi pengajian untuk membekalkan mereka dengan kemahiran teknikal (technical skills) semata-mata sehingga mengabaikan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran bersosial atau kemanusiaan (social atau soft skills) dan juga kemahiran keilmuan (knowledge skills). Banyak pendapat yang mengatakan bahawa faktor yang akan menentukan kejayaan seseorang dalam pekerjaan sangat dipengaruhi oleh faktor non-teknikal, iaitu kemahiran keilmuan dan kemahiran kemanusiaan itu tadi. 

1.2  Kemahiran Yang Perlu Dimiliki Oleh Graduan Dalam Sektor Pekerjaan
Menurut ahli panel yang menyediakan report untuk jawatankuasa Sains dan Teknologi mendefinisikan ‘kemahiran’ sebagai kebolehan untuk mendapatkan pengetahuan dalam peringkat menyempurnakan tugas (Expert Panel on Skills 2000).  Gallagher (1999), pula merumuskan kemahiran sebagai set kemahiran yang merangkumi asas, teknikal, pengurusan dan kemimpinan. Keperluan set ini adalah paling kritikal untuk membangunkan pengetahuan.
Kajian oleh MTEN pada tahun 2005 (Marlina Ali & Shaharom Noordin 2006) mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan siswazah gagal mendapat pekerjaan. Satu daripada tiga kriteria teratas yang disenaraikan oleh pihak majikan ialah kemahiran komunikasi yang baik manakala pencapaian akademik pula berada di tempat yang kelapan. Sebenarnya kemahiran komunikasi mempunyai kaitan yang rapat dengan kemahiran berfikiran kritis (Pusat Perkembangan Kurikulum 2001). Komunikasi yang baik datangnya dari kuasa bahasa, manakala kuasa bahasa datangnya dari pemikiran yang kritis semasa melakukan pemikiran dan meneliti maklumat-maklumat terhadap sesuatu perkara yang ingin disampaikan (Abd Rahim Abd Rashid 1999). Kajian yang telah dijalankan terdahulu mengesahkan bahawa PNGK yang tinggi bukan merupakan kriteria keutamaan.
Secara ringkasnya, kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang graduan yang dikehendaki oleh seorang majikan dalam sektor pekerjaan ialah kemahiran insaniah atau soft skills.  Menurut Hussey (dalam Haslinda, Muhammad Nubli dan Zarina, 2005) soft skills dianggap kemahiran yang sangat diperlukan dalam bidang industri, maka program-program latihan amat dititikberatkan oleh pihak majikan. Oleh itu industri amat mengharapkan agar peranan dan tanggungjawab memberi pendedahan asas ini diambil alih oleh institusi pendidikan.  Kemahiran insaniah merangkumi aspek-aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik seperti nilai posifif, kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan. Kemahiran insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi.  Berikut adalah 5 elemen atau kemahiran yang terkandung dalam kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh graduan sebelum menceburi bidang pekerjaan:

1.2.1  Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi merupakan elemen yang penting dalam proses kehidupan manusia terutama dalam bidang pekerjaan. Menurut Abdul Aziz Yusof (2003), komunikasi melibatkan penyampaian idea dan perasaan kepada pihak lain. Tanpa berkomunikasi, maklumat tidak dapat disampaikan daripada satu pihak kepada pihak yang lain.  Para majikan pada masa kini pula telah meletakkan kemahiran berkomunikasi sebagi salah satu kemahiran bukan teknikal yang perlu dikuasai oleh para pekerja. Terdapat beberapa elemen yang terkandung dalam aspek kemahiran berkomunikasi.  Salah satu daripada elemen tersebut ialah kemahiran berkomunikasi melibatkan komunikasi yang berkesan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam konteks yang berlainan dan dengan peserta komunikasi yang berlainan. 
Dapatan yang diperoleh daripada Kajian Masalah Pengangguran di Kalangan Siswazah (Morshidi et al., 2004a) yang berfokus kepada siswazah daripada bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan mempunyai kaitan dengan tempat kerja (workplace). Hampir semua majikan yang ditemu bual menyatakan bahawa mereka memerlukan kakitangan yang mahir berbahasa Inggeris. Kemahiran bahasa Inggeris yang diperlukan tertumpu kepada kemahiran menulis dan bertutur. Kelemahan ini dapat dikesan dalam penulisan siswazah sewaktu mereka memohon pekerjaan secara bertulis.  Hampir semua majikan dalam kajian yang lepas menimbulkan keupayaan berbahasa Inggeris sebagai keperluan dalam pekerjaan. Bahasa Inggeris mempunyai kelebihan kerana banyak bahan rujukan dan maklumat terkini ditulis dalam bahasa ini berbanding dengan yang terdapat dalam bahasa Malaysia. Dalam era globalisasi, banyak maklumat terkini dan dinamik disalurkan melalui bahasa InggerisKajian Pencapaian Akademik dan Kebolehgunaan Tenaga Siswazah di Institusi Pengajian Tinggi (Morshidi et al., 2004b) mendapati kemahiran berbahasa Inggeris mempunyai kesan yang signifikan terhadap kebarangkalian bekerja. Oleh hal yang demikian, penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi seseorang siswazah untuk membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan, terutama di sektor swasta. 
Berkeyakinan dan berkeupayaan untuk bergaul merupakan ciri peribadi siswazah yang diutamakan, di samping sikap dan minat mereka terhadap kerjaya. Peningkatan kemahiran berbahasa tentunya boleh meningkatkan keyakinan diri dan seterusnya melahirkan sikap-sikap yang baik terhadap kerja. Kemahiran berbahasa secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi kemahiran berkomunikasi. Sekiranya perlu disimpulkan satu kemahiran yang perlu ada pada seseorang lepasan universiti yang dapat menjadi landasan untuk peningkatan dirinya dalam alam pekerjaan, kemahiran tersebut ialah kemahiran berbahasa dan berkomunikasi (Quek, 2005).

1.2.2  Kemahiran Kritis dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah
Kemahiran pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah merupakan kemahiran yang sangat penting dalam semua profesion.  Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun perlu bersaing dalam era global untuk mencapai tahap negara maju menjelang Wawasan 2020. K-pekerja atau pekerja berpengetahuan menjadi keutamaan dalam kalangan majikan untuk menggerakkan perniagaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi (Mohd. Yusof dan Ramlee, 2009). Pekerja yang diperlukan untuk memenuhi kehendak majikan dan sektor perindustrian bukan sahaja berkelayakan akademik dan teknikal tetapi merangkumi penguasaan kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penggunaan teknologi dan kemahiran komunikasi. Ini turut disokong oleh kajian yang dilakukan oleh AC Nielsen (AC Nielsen Report on Employer Satisfaction with Graduate Skills, 2000) mendapati majikan lebih mengutamakan kemahiran kreativiti, kebolehan semula jadi, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerjasama berkumpulan dalam mencari calon pekerja (Mohd. Yusof dan Ramlee, 2009).
            Perkembangan teknologi yang canggih serta cabaran dunia yang semakin hebat memerlukan modal insan yang mempunyai daya fikir yang kritis, berkemahiran dalam menyelesaikan masalah dan berintegriti. Dalam alam pekerjaan, kualiti dan kuantiti kerja sangat dikehendaki oleh mana-mana majikan. Kemampuan dan kebolehan dalam melakukan pelbagai kerja, berfikir dan bertindak sangat diperlukan serta tugasan yang dikehendaki perlu diselesaikan dalam masa yang singkat.  Para geraduan tidak boleh lagi menganggap bahawa kemahiran berfikir merupakan satu kelebihan, sebaliknya keperluan yang mesti ada terutamanya dalam mencari pekerjaan. Kelulusan akademik dan pengetahuan teknikal sahaja tidak mencukupi kerana kemahiran dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, menilai sesuatu tindakan, menjana idea-idea baru dan lain-lain lagi sangat menjadi kepentingan.  Satu kajian kemahiran pemikiran mendapati bahawa antara kriteria yang diperlukan oleh majikan ialah:
i.                   Membaca dan menganalisis laporan.
ii.                  Mempersembahkan idea-idea kepada pekerja-pekerja lain.
iii.                 Menyelesaikan masalah dengan sendiri atau dalam kumpulan.

1.2.3  Kemahiran Kerja Berpasukan
Kemahiran kerja berpasukan merupakan salah satu kemahiran yang perlu ada pada seseorang graduan yang dicari oleh majikan dalam sektor pekerjaan.  Kerja berpasukan kini menjadi satu cara bekerja yang popular dalam kebanyakan organisasi.  Perubahan struktur, budaya dan proses kerja dalam organisasi yang pantas berubah semakin mendesak organisasi supaya mementingkan kerja berpasukan.  Lebih-lebih lagi terdapat banyak faktor luaran yang boleh menjejaskan prestasi organisasi (Owen, 1996).  Pasukan terdiri daripada daripada sekumpulan orang, sekurang-kurangnya dua orang ahli, yang komited untuk mencapai matlamat yang sama dan bekerja bersama untuk menghasilkan kerja yang berkualiti (Francis dan Young, 1992).
            Kerja berpasukan telah menjadi satu budaya kerja yang diamalkan dalam hampir semua organisasi pada hari ini.  Rees (1994) menegaskan bahawa kebanyakan pengurus adalah sukar untuk membuat perancangan dan keputusan yang efektif dan efisyen tanpa penglibatan pekerja-pekerja lain.  Pengaruh kerja berpasukan terhadap kejayaan  organisasi terbukti melalui kecemerlangan yang dicapai oleh beberapa syarikat terkemuka di dunia yang mempraktikkannya.  General Electric’s Plant, North Carolina berjaya meningkatkan produktiviti sehingga 250%.  Syarikat Hotel Ritz-Carlton (RCHC) berjaya mengurangkan kadar pusing ganti pekerja dalam organisasi (Cheryl, 1995), manakala Motorola’s Land Mobile Products Sector ILO2 Facility pula meraih pelbagai anugerah hasil daripada kerja berpasukan.
            Di Malaysia program kerja berpasukan telah mula diberi perhatian oleh kebanyakan organisasi bagi mewujudkan semangat kerjasama dalam kalangan pekerja, terutama dalam menangani tekanan kerja.  Ini diperakukan oleh kajian Hisyam (1998) yang mendapati sebahagian besar organisasi di Malaysia memperuntukkan kos yang banyak untuk melaksanakan program kerja berpasukan kerana yakin dapat meningkatkan prestasi dan memperbaiki sikap pekerja terhadap pekerjaan.  Di samping itu, menurut Hisyam (1998) lagi kaedah kerja berpasukan boleh membantu organisasi menyelesaikan pelbagai masalah.  Kemahiran kerja berpasukan digalakkan supaya sesuatu kerja yang berat akan menjadi ringan.  Terdapat beberapa elemen di dalam kemahiran kerja berpasukan iaitu komunikasi dalam kumpulan, membuat keputusan beramai-ramai, mengendalikan konflik, membina kreativiti, kepimpinan, memotivasikan, membuat penilaian, memberi ganjaran, dan sebagainya.

1.2.4  Pembelajaran Berterusan dan Pengurusan Maklumat
Seseorang majikan juga memerlukan seorang bakal pekerja yang mengamalkan budaya pembelajaran berterusan dan memiliki kemahiran dalam pengurusan maklumat.  Kepentingan pekerja berilmu (k-workers) semakin bertambah akibat globalisasi pasaran, kemajuan teknologi dan perubahan kerja dalam organisasi. Untuk terus kekal dalam pasaran tempatan dan global, firma perlu menyaring dan mengambil pekerja berilmu yang bersesuaian.  Bersandarkan teori modal manusia (Becker 1994) individu yang memiliki pendidikan dan latihan lebih produktif berbanding tenaga kerja yang tidak berpendidikan dan menerima latihan. Justeru itu, dengan pendidikan dan latihan kompetensi tenaga kerja boleh ditingkatkan.
            Pembelajaran berterusan merupakan amalan yang diharapkan oleh majikan kepada para pekerjanya kerana ini bukan sahaja untuk menyesuaikan diri dengan tugas yang lebih spesifik dalam organisasi malah akan sentiasa dapat mengikuti perkembangan dasar, proses dan keluaran organisasi. Pembelajaran di tempat kerja sama ada pembelajaran kendiri atau belajar daripada pihak lain juga menjadi amalan dan polisi setiap syarikat.  Majikan juga menghendaki para pekerja memiliki kemahiran belajar yang dapat menyumbang kepada pembaikan dan peningkatan diri serta operasi syarikat secara berterusan termasuklah penggunaan teknologi baru. Perubahan teknologi terutama yang diimport daripada luar negara menuntut para pekerja untuk mengamalkan pembelajaran berterusan terutama dalam sektor pembuatan. 
            Pengurusan maklumat boleh didefinisikan sebagai proses mengenalpasti, mengklasifikasi, pemeliharaan, dan pemansuhan maklumat.  Definisi bagi maklumat adalah data, bahan dan pengetahuan di mana maklumat tersebut mestilah relevan, boleh dipercayai, boleh difahami dan membantu mengurangkan ketidakpastian.  Seseorang graduan yang bakal menceburi bidang pekerjaan perlu memiliki kemahiran mengurus maklumat.  Seseorang yang celik maklumat atau mempunyai kemahiran mengurus maklumat adalah individu yang tahu bagaimana pengetahuan dicari, disusun dan digunakan agar sesuatu masalah dapat diselesaikan, dan orang lain di sekelilingnya dapat memahaminya.  Pengurusan maklumat merupakan satu proses membangun, memanfaat dan menggunakan pengetahuan.  Proses ini dapat meningkatkan daya saing sesebuah organisasi kerana pengetahuan yang dikongsi akan dapat menjana idea yang kreatif.  Ini kerana sesuatu pengetahuan itu hanya akan bertambah nilai apabila dikongsi bersama individu lain. Dalam konteks organisasi, pekerja yang memiliki kemahiran pegurusan maklumat akan dapat membantu ahli mencari, memilih dan menyebarkan pengetahuan untuk menyelesaikan sesuatu masalah selain dapat mengawal penciptaan, penyebaran dan penyuntingan pengetahuan.

1.2.5 Kemahiran Kepimpinan
Kemahiran kepimpinan ialah kunci pengurusan, dan ini merupakan salah satu daripada kemahiran yang dicari oleh majikan dalam diri graduan.  Kepimpinan adalah suatu proses menggerakkan sekumpulan manusia menuju kepada sesuatu yang telah ditetapkan melalui dorongan yang tidak memaksa. Kepimpinan melibatkan kebolehan mempengaruhi dan meyakinkan manusia di dalam dan luar organisasi untuk bekerja dan membantu ke arah pencapaian matlamat.  Ciri-ciri kepimpinan yang baik ialah pantas bertindak, cergas dan proaktif.  Pemimpin yang mempunyai kemahiran kepimpinan juga sentiasa berfikiran untuk mendidik, mendorong, sedia membantu dan bertimbang rasa. 
Secara ringkasnya, kemahiran kepimpinan merupakan satu kemahiran yang perlu untuk menjayakan sesebuah organisasi mengikut matlamat yang telah dirancang dengan mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan.  Kecemerlangan sesebuah organisasi adalah terletak kepada keberkesanan kemahiran kepimpinan.  Organisasi yang cemerlang di seluruh dunia mempunyai pekerja yang komited, kreatif, bekerja kuat, fokus dan
sedia menerima tanggungjawab.  Pemimpin yang memberi tunjuk ajar kepada yang lain adalah mereka yang sanggup memberi kuasa (empower), mengajar di samping memberi tauladan yang baik.  Mereka memahami bahawa kepimpinan itu bukan sekadar pangkat tetapi tanggungjawab.  Di peringkat jabatan, pemimpin mewujudkan satu suasana yang boleh menerima idea baru, mendengar dan menyambutnya dengan wajar.  Di samping memberitahu kakitangannya mengenai objektif, dasar dan strategi organisasi, mereka juga menjadi saluran untuk memaklumkan kepada pihak atasan apa yang berlaku di peringkat bawahan.  Seorang pemimpin pada zaman moden ini, tidak lagi boleh mengutamakan pangkat atau protokol.  Perubahan yang berlaku di sekeliling mereka dan suasana yang bergerak cepat membuatkan mereka mudah ketinggalan oleh masa. Oleh yang demikian, pemimpin patut sentiasa cergas, tahu mengubah suai diri dan sentiasa ingin tahu atau belajar perkara baru.

1.3  Langkah-langkah Untuk Meningkatkan Kemahiran Insaniah (Soft Skills) Dalam Kalangan Graduan
Dalam usaha memastikan semua graduan mendapat kerja sama ada makan gaji atau menjadi usahawan, pelbagai faktor diperlukan dan perlu disediakan oleh graduan terbabit.
Kementerian Pengajian Tinggi melihat perkara ini sebagai aspek yang perlu diberi perhatian dan pihak kementerian mengambil berat soal kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja untuk graduan. Pembangunan dunia globalisasi menuntut supaya institusi pengajian tinggi tempatan mengeluarkan pelajar yang benar-benar berkualiti, mempunyai kemahiran, kepakaran dan menguasai ilmu kerana ia adalah kunci kepada persaingan untuk mendapatkan pekerjaan pada zaman yang semakin mencabar ini.       
Bagi melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi kehendak pasaran dan membantu graduan mendapat pekerjaan, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Antaranya ialah membangunkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah dan Modul Asas Pembudayaan Keusahawanan yang diajar di semua IPTA. Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa berusaha untuk meningkatkan kebolehdapatan perkerjaan graduan yang dikeluarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi awam tempatan. Graduan sekarang bukan sahaja dikehendaki mempunyai pengetahuan akademik (graduate skills) tetapi perlu juga mempunyai kemahiran insaniah (soft skills) dan ‘enterprise’ atau ‘business skills’ bagi meningkatakan kopetensi mereka. Kesemua ini merupakan asset bagi kebolehpasaran untuk seseorang graduan.
Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberi penekanan kepada beberapa langkah bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dengan memperhebatkan lagi program-program seperti Latihan Industri,Apprenticeship’, ‘Finishing School’ dan Latihan Keusahawanan. Program-program ini adalah bertujuan bagi melengkapkan siswazah dengan nilai tambah agar lebih ‘marketable’ dan ‘employable’ di dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa, sekaligus mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan graduan lepasan universiti.  Hubungan Industri (Perkongsian Pintar) iaitu hubungan dua hala yang menguntungkan kedua-dua pihak iaitu institusi pengajian tinggi dan industri perlu diwujudkan. Pihak industri bertindak menyediakan peluang dan ruang kepada pelajar menjalani latihan industri untuk menyediakan kemahiran insaniah dan kepada pensyarah untuk memperbaharui pengetahuan dan perkembangan teknologi semasa disamping mendapatkan kompetensi bagi bidang yang diajar dari industri. Manakala, pihak institusi pengajian tinggi pula boleh mendapatkan pengalaman dan penyebaran teknolgi terkini dan semasa melalui penglibatan personal dari industri sebagai pensyarah sambilan bagi kursus-kursus kritikal dan yang memerlukan input terkini dari pengalaman industri.
Program seperti ‘finishing school' perlu diwujudkan dengan bertujuan memupuk nilai insaniah dan kerohanian, menyediakan skil keusahawanan dan daya kepemimpinan kepada graduan. Pihak industri yang mempunyai kelayakan persijilan profesional hendaklah membuka peluang dengan menawarkan graduan mengikuti program ‘finishing school’ untuk memperolehi sijil yang diiktiraf badan-badan profesional. Graduan yang memiliki sijil professional mempunyai nilai tambah untuk kebolehpasaran.  Program itu perlu dilakukan secara berterusan untuk memastikan universiti mampu menjadi ejen pengeluar graduan yang hebat, lengkap, seimbang, berilmu, berkeperibadian kukuh dan berketerampilan dalam pelbagai bidang.
Program Keusahawanan perlu diwujudkan untuk menerapkan nilai keusahawanan kepada pelajar supaya tidak terlalu terikat dengan kerja makan gaji. Pihak industri boleh terlibat dalam program keusahawanan dengan menyediakan platfom khidmat rundingcara dan nasihat untuk membantu pelajar memulakan projek keusahawanan. Melalui pengalaman industri, pelajar boleh diberikan panduan dalam proses-proses memulakan aktiviti keusahawanan seperti menulis kertas kerja cadangan, membuat kajian pasaran, menguruskan permohonan pinjaman dari institusi perbankan atau dari agensi-agensi kerajaan dan sebagainya. Proses ini dapat menyediakan pelajar kemahiran keusahawan dan pilihan untuk memulakan perniagaan sendiri setelah menamatkan pengajian.

KESIMPULAN
Dalam situasi ekonomi yang mencabar pada hari ini, adalah tidak mencukupi bagi graduan yang berjaya menamatkan pengajian hanya mempunyai pengetahuan di dalam perkara akademik semata-mata. Perubahan lanskap dan struktur ekonomi mungkin menjadi faktor penyebab kepada pengangguran graduan.  Sejak beberapa tahun lalu sektor pembuatan yang merupakan sektor terbesar negara telah beransur-ansur digantikan oleh sector perkhidmatan. Sektor perkhidmatan memerlukan mereka yang tidak hanya memiliki pengetahuan teknikal yang sesuai tetapi juga mereka yang memiliki kemahiran insaniah yang kuat seperti kemahiran interpersonal, komunikasi, pintar, matang dan berorientasikan bisnes.
Penglibatan pihak industri amat penting bagi memastikan kejayaan strategi dan program yang diatur untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Pihak industri seharusnya memainkan peranan lebih aktif dalam menunaikan tanggungjawab sosial melatih graduan memperolehi kemahiran insaniah (soft skills) dan kemahiran akademik (academic skills) yang sesuai untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Dengan peranan yang dimainkan bersama oleh pihak industri dan institusi pengajian tinggi, masalah kebolehpasaran graduan yang dihadapi pada masa kini boleh dikurangkan dan strategi untuk menyediakan modal insan kelas pertama bagi mencapai Wawasan 2020.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak, dikatakan kejayaan seseorang itu bergantung hanya sebanyak 25% kepada kemahiran teknikal yang dipelajari semasa di intitusi pengajian, manakala 75% kejayaan seseorang itu sangat bergantung kepada kemahiran soft skills yang dimiliki oleh pegawai tersebut. Dapatlah dikatakan bahawa, seseorang graduan yang akan memasuki pasaran kerja perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran seperti bahasa, komunikasi, adaptasi, sosial, insaniah dan cakna budaya agar mendapat tempat dalam pasaran kerja yang kian sengit ini.  Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah mengemblengkan tenaga, idea dan tindakan, terutamanya pihak-pihak yang terbabit dengan penghasilan graduan ini supaya berlapang hati dan jernih fikiran untuk membina satu generasi graduan yang sempurna ilmunya.

2,886 patah perkataan
RUJUKAN
Ab Aziz Yusuf.  (2003). Komunikasi Untuk Pengurus.  Kuala Lumpur:  Utusan
Publication & Distributor Sdn. Bhd.

Abd Rahim Abd Rashid.  (1999).  Kemahiran Berfikir Kritis Merentasi Kurikulum: 
Pendekatan Pedagogi dan Wawasan Pendidikan Bestari.  Shah Alam:  Penerbit Fajar Bakti.

Becker, G.S. (1994). Investment in Human Capital: A Theoretical Analysis. Dalam
Training and Development in Public and Private Polic, ed. P. Cappelli. Aldershot: Dartmouth Publishing Company Limited.

Cheryl Rosen.  (1995). Ritz Staff Gets Authority:  Work Teams to Start Making Line
Decisions.  Business Travel News.  July 30: 1-2.

Expert Panel on Skills. (2000). Stepping Up-Skills And Opportunities In The
Knowledge Economy, Report of the Expert Panel on Skills to the Advisory
Council on Science and Technology. Ottawa. Industry Canada. At < http://
acst-ccst.gc.ca/skills>.

Francis, Young. (1992). Improving Work Groups: A Practical Manual for Team
Building.  California:  Pfeiffer & Company.

Gallagher, P. 1999. Critical Skills: Hitting a Moving Target. Background paper for
The Expert Panel of Skills. Ottawa: Industry Canada. At < http://acst
ccst.gc.ca/skills >. Dlm. Canadian Public Policy-Analyse De Politiques, Vol. XXVIII, No.2 2002.

Haslinda @ Robita Hashim, Muhammad Nubli Abdul Wahab dan Zarina Mohd Ali
(2005). Pembangunan Sahsiah Mahasiswa Bersepadu: Konsep Dan
Pelaksanaannya Di Kolej Universiti Kejuruteraan. Kertas kerja yang
dibentang di Seminar Kebangsaan Kursus Sokongan Kejuruteraan, Di
Hotel Aseania, Langkawi 17-18 Disember 2005.

Hisyam Che Mat.  (1998).  Participants Evaluation of the effectiveness of Team building
Programs.  Malaysia:  Universiti Putra Malaysia.

Marlina Ali & Shaharom Noordin. (2006). Tahap Penguasaan Kemahiran Berfikir
Kritis Di Kalangan Pelajar Pendidikan Fizik Merentas Jantina. Buletin
Persatuan Pendidikan Sains & Matematik Johor. Jilid 15 bil.1

Mohd Yusof bin Husain dan Ramlee Mustapha.  (2009). Penilaian Kemahiran
Employability Dalam Kalangan Pelajar Kejuruteraan Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.  Seminar Kebangsaan Pembangunan Keusahawan 2009.

Morshidi Sirat, Rosni Bakar, Lim Hock Eam dan Mohamed Nasser Katib. (2004b).
Kajian Pencapaian Akademik dan Kebolehgunaan Tenaga Siswazah di Institusi
Pengajian Tinggi. Universiti Sains Malaysia: Institusi Penyelidikan Pendidikan
Tinggi Negara.

Owen, Hilarie.  (1996). Creating Top Flights Teams.  London:  Kogan Page Ltd.

Rees.  (1994). How to Lead Work Team:  Facilitations Skills.  California:  Pfeiffer &  
Company.



No comments:

Post a Comment