Tuesday, 21 August 2012

HBEF1503 Masyarakat & Tamadun

Dasar Pendidikan Negara

1.1  pengenalan
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci 2010) menunjukkan jumlah penduduk Malaysia adalah seramai 28.3 juta.  Jumlah tersebut merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara.  Warganegara Malaysia terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera (67.4 %), Cina (24 %), India (7.3 %) dan Lain-lain (0.7 %).  Dalam kalangan warganegara Malaysia, Melayu merupakan kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus.  Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan warganegara di Sarawak, manakala Kadazan/Dusun merekodkan sebanyak 24.5 peratus di Sabah.  Islam merupakan agama yang dianuti oleh sebilangan besar rakyat Malaysia dengan perkadaran 61.3 peratus.  Sebagai negara berbilang kaum, antara agama lain yang dianuti ialah Buddha (19.8 %), Kristian (9.2 %) dan Hindu (6.3 %).  

 
Hasil daripada Banci 2010 menunjukkan bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara majmuk, iaitu mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik, agama dan budaya.  Oleh sebab kepelbagaian budaya, agama dan bahasa wujud dalam kalangan rakyat di negara ini, maka beberapa kemungkinan yang akan menimpa negara ini sering diandaikan.  Kebanyakan andaian tentang perhubungan etnik yang dibuat semenjak negara ini belum mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 hingga ke hari ini lebih bersifat negatif.  Salah satu daripada andaian tersebut ialah perpaduan sukar dicapai kerana wujudnya sikap perkauman yang akan sentiasa menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai kaum.  Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa pembangunan negara dan persaingan dalam bidang ekonomi untuk mendapatkan kedudukan dalam masyarakat akan sentiasa dipengaruhi oleh batas kaum. Persaingan antara kaum ini boleh melahirkan perhubungan kaum yang tegang dan membawa kepada konflik perkauman.
Perpaduan merupakan satu proses menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama dalam kalangan mereka.  Salah satu mekanisme utama untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah pendidikan. Dasar pendidikan negara sebelum merdeka mewujudkan 5 jenis sistem persekolahan yang terasing antara satu sama lain iaitu sekolah Inggeris, Melayu, Cina, India dan sekolah agama.  Ini merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada polarisasi kaum di Malaysia.  Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari.  Kesedaran itu telah mewujudkan dasar-dasar pendidikan negara yang menitik beratkan soal perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.  Beberapa sistem dalam dasar pendidikan kebangsaan telah diwujudkan untuk tujuan perpaduan.  Sistem-sistem tersebut ialah, semua sekolah menggunakan sistem persekolahan yang sama, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama, penggunaan kurikulum yang sama, sukatan pelajaran yang seragam dan sistem peperiksaan yang seragam.  

1.2  Kekuatan Dasar Pendidikan Negara
Kementerian Pelajaran Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa perubahan pendidikan di Malaysia.  Matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia ialah untuk melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia, bersatu padu, beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketrampilan, sejahtera, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara dan memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara.  Dasar-dasar pendidikan negara yang diperkenalkan oleh kerajaan mempunyai kekuatan yang menyumbang ke arah perpaduan kaum di Malaysia. 
Perpaduan menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), membawa maksud ”sesuatu perihalan atau proses penggabungan dan kesepakatan untuk menjadi satu”.  Integrasi pula bermakna ”penggabungan atau pergabungan dua atau lebih beberapa kaum menjadi kesatuan”. Integrasi Nasional pula membawa maksud ”satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat melalui pengenalan atau pengwujudan satu identiti yang sama”. Di dalam kehidupan masyarakat Malaysia pada hari ini, pihak kerajaan amat menitikberatkan tentang soal perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.  Berikut merupakan beberapa dasar pendidikan negara yang telah membantu untuk meningkatkan tahap perpaduan nasional di Malaysia:

1.2.1  Dasar Pendidikan Kebangsaan
Di Malaysia, dasar pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara yang mana dasar ini dikenali sebagai Dasar Pendidikan Kebangsaan.  Dasar Pendidikan Kebangsaan mula dilaksanakan di negara ini dalam tahun 1957.  Laporan Razak 1956 yang dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 dan Laporan Rahman Talib 1960 menjadi perintis ke arah pengukuhan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.  Selepas merdeka pada tahun 1957, Malaysia merupakan sebuah negara baru dan memulakan era kemerdekaannya dengan mengukuhkan semula sistem pendidikan negara supaya selari dengan matlamat perpaduan nasional.  Akta Pelajaran 1961 menjadi bukti kepada usaha murni kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat agar mereka memahami dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk kepentingan masyarakat Malaysia yang majmuk.  Laporan Razak 1956 telah dijadikan sebagai batu asas ke atas dasar dan sistem pendidikan kebangsaan yang mempunyai perubahan yang positif, terutama membentuk dan memupuk perpaduan negara (Abu Bakar Nordin, 1994).  Kerajaan Malaysia telah memberikan perhatian yang utama terhadap perpaduan antara masyarakat majmuk ketika menggubal dasar pendidikan negara selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Hal demikian menjadikan dasar-dasar penting yang terkandung di dalam Laporan Razak 1956 dan laporan Rahman Talib 1960 dikuatkuasakan oleh kerajaan melalui Akta Pendidikan 1961.
            Pihak kerajaan telah mewujudkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969.  DEB bermatlamat untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional.  Peristiwa 13 Mei ini turut memberi impak kepada sistem pendidikan negara.  Semasa rancangan Malaysia kedua (1971-1975), rancangan pendidikan negara ditumpukan kepada tiga bidang iaitu, menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan perpaduan kaum, memperluaskan rancangan pelajaran bagi mencapai keperluan negara mengenai tenaga rakyat dan memperbaiki mutu pelajaran ke arah mencapai masyarakat yang maju berasaskan sains dan teknologi moden.  Salah satu daripada strategi untuk mencapai rancangan tersebut ialah melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua sekolah secara berperingkat, mengurangkan jurang perbezaan dalam memberikan peluang pelajaran di antara kawasan dan antara kaum melalui pembinaan sekolah dan kemudahan sekolah di luar bandar dan seterusnya meningkatkan mutu pendidikan. 
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) di semua sekolah rendah pada tahun 1983  dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di sekolah menengah pada tahun 1989.  KBSR dan KBSM yang digubal dan diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai objektif yang sama, iaitu sebagai medium perpaduan kaum dan negara.  Pelaksanaan KBSR dan KBSM adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kabinet mengenai Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979.  Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan perakuan yang terkandung dalam laporan tersebut.  Oleh yang demikian, kurikulum di peringkat rendah dan menengah telah dikaji dan digubal semula dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan negara.  Oleh yang demikian, segala perubahan dalam kurikulum, cita-cita Falsafah Pendidikan Negara dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat agar hasrat murni yang ingin dicapai melalui pendidikan dapat dijayakan dengan berkesan dan sempurna.
 
1.2.2  Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
Pada tahun 2007, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.  Terdapat 6 teras strategik yang telah digariskan iaitu, membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesyen perguruan dan seterusnya melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. 
Pembinaan negara bangsa sangat ditekankan oleh kerajaan untuk dilaksanakan kerana melaluinya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dapat diperkukuhkan.  Pelan rancangan ini seiring dan dapat merealisasikan matlamat utama pendidikan kebangsaan negara sejak merdeka, iaitu matlamat pendidikan untuk perpaduan bangsa Malaysia.  Melalui sistem persekolahan, mereka yang berbilang bangsa dapat saling kenal-mengenal dan berinteraksi dengan baik. Proses ini mewujudkan hubungan antara kaum dan seterusnya membina perpaduan nasional yang kukuh.  Selain daripada membina negara bangsa, teras strategik yang boleh membantu ke arah  perpaduan kaum ialah memperkasakan sekolah kebangsaan.  Ini merupakan langkah yang bertepatan dengan keperluan semasa kerana melaluinya masyarakat mempunyai kepercayaan serta keyakinan yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. 
Sekolah Wawasan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membawa perubahan dalam sistem pendidikan negara.  Sekolah Wawasan bermaksud sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama.  Di bawah konsep ini, tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.  Tujuan utama penubuhan Sekolah Wawasan ialah mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbagai bangsa dan latar belakang, memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran, melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, dan menggalakkan interaksi maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti lain di sekolah.
Sekolah Bestari dan Kluster diwujudkan sebagai perintis kepada perubahan sistem pendidikan di Malaysia.  Sekolah Bestari merupakan sekolah yang dilengkapkan dengan teknologi canggih dan sistem kurikulum yang telah diubahsuai agar relevan dengan perkembangan pesat bidang sains dan teknologi.  Objektif utama Sekolah Bestari ialah untuk melatih pelajar-pelajar supaya cerdas dan berkemahiran menggunakan teknologi terkini dalam aktiviti pembelajaran mereka. Sekolah Kluster pula ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada segi pengurusan sekolah dan kemenjadian murid.  Kewujudan Sekolah Kluster bertujuan untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama (KPM, 2010a).

1.2.3 Konsep 1 Malaysia
Konsep 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang, Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi penggerak utama ke arah mencapai perpaduan dan integrasi kaum yang bertemakan ”rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.  Konsep 1 Malaysia merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.  Dalam menjayakan hasrat ini, sektor pendidikan terutamanya melalui sistem persekolah diharap dapat memainkan peranan utama dengan menerapkan nilai-nilai murni dan perpaduan nasional (Atan Long, 1984:181-184).  Konsep ini bukan sesuatu yang baru untuk dilaksanakan di sekolah tetapi ia boleh menjadi perintis bermulanya perubahan masyarakat Malaysia supaya mencapai perpaduan nasional.
            Konsep 1 Malaysia tetap mempengaruhi dasar pendidikan negara kerana gagasan ini telah menetapkan 8 nilai untuk dihayati oleh rakyat Malaysia.  Salah satu daripada nilai tersebut ialah nilai pendidikan.  Intipati nilai tersebut ialah, sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.  Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.  Nilai pendidikan juga menggalakkan agar kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran tersebut menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk 1 Malaysia.  Ini bererti walaupun sekolah-sekolah ini terpisah secara fizikal, semangat perpaduan masih boleh dikecapi  melalui penggunaan sistem kurikulum persekolahan yang sama dengan menekankan kepada nilai-nilai bersama.  Sekiranya minda pelajar-pelajar dipenuhi dengan sistem nilai yang serupa, maka apabila mereka bertemu dengan pelajar-pelajar daripada sekolah aliran yang berbeza secara fizikal, mereka akan mampu untuk saling menghargai antara satu sama lain dengan lebih baik lagi.
 
1.3  Kelemahann Dasar Pendidikan Negara
Sistem pendidikan di Malaysia bergerak seiring dengan keperluan semasa kerana masyarakat juga turut berubah mengikut arus pemodenan dan globalisasi.  Walaupun beberapa alternatif telah digunakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia, namun tahap perpaduan di negara ini masih belum memuaskan.  Salah satu daripada faktor tersebut mungkin berpunca daripada beberapa kelemahan yang terdapat dalam dasar pendidikan negara.

1.3.1  Sekolah Pelbagai Aliran
Malaysia masih meneruskan kesinambungan sistem persekolahan lama dengan mengekalkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.  Kewujudan sekolah pelbagai aliran seperti itu boleh menjejaskan perpaduan kaum di Malaysia.  Pada masa ini, kewujudan sekolah pelbagai aliran sudah tidak relevan lagi kerana ia boleh mengekang usaha untuk mewujudkan perpaduan kaum.  Sekolah merupakan tempat bermulanya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum bertemu untuk saling mengenali.  Idea menubuhkan satu aliran sistem persekolahan perlu dilaksanakan kerana melalui sekolah seperti itu semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dipupuk.  Pelaksanaan sekolah satu aliran tidak akan menyebabkan kehilangan identiti  kaum tertentu, malah ia akan terus menyemai  semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia.  Masyarakat Cina, India dan semua kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka walaupun belajar di sekolah yang sama aliran.
            Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara yang paling unik di dunia kerana mempunyai pelbagai aliran sistem pendidikan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai sekolah masing-masing, bermula daripada peringkat rendah sehinggalah peringkat menengah. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendidikan perlu dilihat sebagai lebih daripada mendidik anak-anak.  Ia perlu dilihat sebagai kuasa yang mampu mewujudkan integrasi, khususnya perpaduan kaum.  Dewasa ini, golongan muda didapati tidak minat untuk bergaul dengan individu-individu daripada kelompok etnik yang lain.  Salah satu penyebab kepada perkara ini ialah, ibu bapa menyekolahkan mereka di sekolah yang pelajarnya terdiri daripada hanya satu kelompok etnik sahaja.  Gejala tidak bergaul dengan kaum-kaum lain berlarutan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan seterusnya di tempat kerja. 

1.3.2  Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (ppsmi)
pada tahun 2003, suatu dasar baru pendidikan telah diperkenalkan iaitu Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa inggeris (PPSMI).  Tujuan pelaksanaannya ialah untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia dan melahirkan pelajar bertaraf dunia..  Isu PPSMI merupakan isu besar dalam pendidikan Malaysia kerana ia mendapat tentangan daripada masyarakat, terutamanya Melayu.  Program PPSMI adalah bercanggah dengan dasar yang terkandung dalam Perlembagaan Perkara 152, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.  PPSMI juga ditentang kerana ramai pelajar terutamanya Melayu dan golongan bumiputera lain merosot dalam subjek Sains dan Matematik terutama kepada pelajar-pelajar di luar bandar.  Program PPSMI turut menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan kaum di Malaysia.  Bahasa Melayu memainkan peranan penting membentuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang betunggakkan persefahaman dan persaudaraan senegara dan membantu membentuk satu bangsa Malaysia yang moden.

1.3.3  Pengisian Kurikulum dan Ko-Kurikulm
Masalah lain yang turut timbul ialah berkenaan pengisian dalam kurikulum dan aktiviti ko-kurikulum yang menjadi penentu kepada perkembangan murid-murid dan pelajar-pelajar (Awang Had Salleh, 1980).  Ini penting kerana ia memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada masyarakat dalam membentuk jati diri dan disiplin.  Sekiranya pengisian dalam aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum mengikut keperluan rakyat, maka masalah tidak akan timbul.  Oleh kerana wujudnya kelemahan dalam pengisian untuk dua bidang tersebut maka reaksi yang negatif akan kelihatan dalam hubungan masyarakat. Misalnya, sekolah kebangsaan tidak menjadikan bahasa ibunda kaum Cina dan Tamil sebagai subjek wajib telah menyebabkan ibu bapa daripada kaum Cina dan India tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.  Bagi mereka, bahasa ibunda ialah identiti yang harus dipelihara. 
            Masyarakat perlu memahami bahawa objektif penggubalan dasar dan sistem pendidikan adalah berlandaskan keperluan pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan agama.  Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) merupakan kurikulum yang diwujudkan bagi meningkatkan tahap pendidikan dan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.  Walau bagaimanapun, keberkesanannya dalam menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum masih memerlukan penambahbaikan.

1.3.4  Merealisasikan Wawasan 2020
Wawasan 2020 merupakan cetusan idea mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.  Matlamat utama wawasan 2020 ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju pada tahun 2020.  Bagi merealisasikan Wawasan 2020, antara cabaran yang perlu diatasi ialah perpaduan kaum di mana bidang pendidikan menjadi peneraju utama.  Dalam bidang pendidikan, sistem persekolahan yang sempurna menjadi pendekatan yang digunakan untuk membantu mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.  Tema perpaduan dalam sistem pendidikan amat dititikberatkan terutama di peringkat sekolah kerana hanya melalui perpaduan matlamat mencapai Wawasan 2020 dapat direalisasikan. 
            Walau bagaimanapun, situasi masyarakat dan negara sekarang menimbulkan persoalan tentang persediaan untuk menghadapinya.  Misalnya, hubungan masyarakat Malaysia kini masih perlu ditingkatkan lagi kerana masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan masyarakat.  Sistem persekolahan sepatutnya menjadi medium penggerak kepada masyarakat agar mereka dapat disatukan menerusi peluang pendidikan.  Namun, masih wujud masalah dalam menentukan sistem persekolahan kerana ada sesetengah pihak mahu mengekalkan sistem persekolahan yang sedia ada, manakala sesetengah pihak yang lain berkehendakkan sebaliknya.  Beberapa masalah dalam sistem pendidikan yang bermatlamatkan perpaduan negara ialah isu berbangkit hak bumiputera dan bukan bumuputera, jurang pencapaian pendidikan orang Melayu dan bukan Melayu melalui pekerjaan dan pendapatan, masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu, hubungan renggang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, terutama selepas waktu sekolah; dan kurangnya pengetahuan dan tidak memahami dengan mendalam mengenai budaya, amalan, dan adat resam sesuatu kaum.

1.4  Cadangan Untuk Meningkatkan Pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara
Kerajaan memainkan peranan utama dalam mencorak masyarakat.  Peranan tersebut boleh dilaksanakan melalui:

1.4.1 Sekolah Satu Aliran
Salah satu faktor yang mengekang perpaduan kaum di Malaysia ialah wujudnya sekolah pelbagai aliran berasaskan tiga kaum utama di Malaysia iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.  Oleh itu, untuk menjayakan proses perpaduan kaum di Malaysia, sekolah pelbagai aliran tersebut perlu digantikan dengan satu sistem persekolahan yang mempunyai hanya satu aliran.  Tokoh akademik, Professor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pernah menyarankan agar kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi mempastikan perpaduan kaum tercapai.    Negara Malaysia sudah merdeka selama 55 tahun, oleh itu sistem pendidikan yang berasaskan kaum ini perlu dirombak semula demi untuk perpaduan negara.
Konsep sekolah 1 aliran ialah, semua pelajar akan ditempatkan di sekolah yang sama dan menggunakan bahasa pengantar yang sama.  Sekolah satu aliran penting untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan amat bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.  Pelajar-pelajar boleh bergaul secara meluas antara mereka dan secara tidak langsung mereka boleh memahami budaya kaum lain dan memupuk semangat saling faham-memahami.  Jika perkara ini dipraktikkan, maka masalah semangat perkauman akan terhakis dengan sendirinya melalui pergaulan antara pelajar berbilang kaum.  Kewujudan sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar juga memberi jaminan, tidak akan menggugat bahasa ibunda lain seperti yang dibimbangi selama ini.

1.4.2  Dasar Kerajaan
Dasar-dasar awam merupakan medium yang digunakan untuk mempastikan sistem pentadbiran kerajaan berjalan dengan sempurna.  Melalui dasar-dasar dan strategik yang diperkenalkan oleh kerajaan, perubahan demi perubahan telah kelihatan, malah menjadi agenda utama negara untuk membangunkan masyarakat (INTAN Malaysia, 1994).  Dasar awam boleh didefinisikan sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan, sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu (Jan-Erik Lane, 2000).
            Melalui dasar pendidikan, kerajaan boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dengan:
i.    Menggalakkan semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan
sekolah jenis kebangsaan Tamil bergabung untuk menganjurkan program bersama yang melibatkan penyertaan semua murid dan guru.
ii.   Pengisian pelajaran di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan
sekolah jenis kebangsaan Tamil diselaraskan semula dengan menggunakan isi
kandungan yang sama dengan menambah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai
mata pelajaran wajib.
iii.  Satu sistem persekolahan boleh dijalankan dengan menggabungkan elemen-
elemen kebudayaan, pemakanan dan adat resam yang terdapat dalam sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
iv.  Pengisian kurikulum dan ko-kurikulum perlu relevan dengan keperluan
masyarakat kini yang menekankan nilai-nilai jati diri, mempunyai sifat patriotisme dan bertoleransi
v.   Menyerapkan idea-idea gagasan 1 Malaysia dalam semua mata pelajaran di
Sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

1.4.3  Menguatkuasakan Penggunaan Bahasa Melayu
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dan digunakakan dalam konteks formal dan tidak formal berupaya mengurangkan sikap perkauman dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.  Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan perlu dikuatkuasakan selaras dengan Perlembagaan Perkara 152, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996. Peristiwa seperti program PPSMI pada tahun 2003 diharap tidak akan berulang lagi dalam sistem pendidikan negara. Tanpa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, negara ini tentu berdepan dengan pelbagai perkara negatif seperti salah faham, prasangka kaum, ketegangan dan krisis.  
Kestabilan sosial dan politik tentu sukar dicapai tanpa bahasa kebangsaan kerana tidak terdapat satu bahasa yang bertindak sebagai tali pengikat jiwa dalam kalangan rakyat.  Keamanan, persefahaman dan perpaduan yang dikecapi pada hari ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, dan salah satu daripadanya disumbangkan oleh kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu berupaya menjadi bahasa ilmu yang sentiasa relevan dengan peredaran masa dan seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.  Bahasa Melayu akan tetap berperanan sebagai wahana komunikasi yang mutlak untuk masyarakat majmuk tanpa mengira taraf sosial dan latar belakang penuturnya.  Bahasa ini bukan sekadar alat komunikasi tetapi medium pengikat sosial merentasi dinding kaum, geografi dan status penduduk.  Pendirian kerajaan untuk terus memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

KESIMPULAN
Perkembangan pendidikan di Malaysia telah mengalami banyak perubahan, terutama sejak zaman penjajahan Inggeris sehinggalah sekarang.  Penggubalan dan penambahbaikan dasar-dasar kerajaan perlu seiring dengan perkembangan dan keperluan masyarakat.  Perubahan dalam sektor pendidikan menjadi intipati penting dalam mengukuhkan tahap perpaduan nasional kerana pendidikan menjadi peneraju utama dalam pembentukan masyarakat.
            Aspek-aspek murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sesebuah masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam setiap diri ahli masyarakat.  Namun, walaupun banyak perubahan yang telah dilakukan, kelemahan-kelemahan masih lagi wujud dan perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan untuk ditangani.  Kelemahan-kelemahan yang wujud umpama barah yang akan merebak menjadi semakin besar dan boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.  Oleh itu, masalah-masalah yang berkaitan dengan isu-isu perkauman perlu diselesaikan segera, bukan dibiarkan senyap begitu sahaja.
            Bagi mencapai matlamat perpaduan negara yang kukuh dan jitu, seluruh anggota masyarakat perlu berganding bahu, seiring dengan usaha murni kerajaan melalui dasar-dasar dan perancangan baru.  Kualiti pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi teras kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan seterusnya dapat merealisasikan Wawasan 2020.

3,403 patah perkataan
RUJUKAN
Abu Bakar Nordin.  (1994).  Reformasi Pendidikan dalam Menghadapi Cabaran 2020
Kuala Lumpur:  Penerbit Fajar Bakti Sdn.  Bhd.

Atan Long.  (1984).  Pendidik dan Pendidikan.  Kuala Lumpur:  Penerbit Fajar Bakti
Sdn.  Bhd.

Awang Had Salleh.  (1980).  Pendidikan ke Arah Perpaduan:  Sebuah Perspektif
Sejarah.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr Mohammed Yusoff Ismail et.al. (2011).  Masyarakat dan Tamadun.  Selangor
Darul Ehsan:  OUM.

Dr Zahyah Hanafi. (2010).  Pengenalan Sosiologi.  Selangor Darul Ehsan:  OUM.

Hjh Noresah Baharom et al.  (1994).  Kamus Dewan.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa
dan Pustaka, edisi ketiga.

INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara) Malaysia.  (1994).  Dasar-dasar Pembangunan
Malaysia.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan INTAN Malaysia.

Jan-Erik Lane.  (2000).  The Public Sector:  Concept, Models, and Approaches.  London: 
SAGE Publisher, third edition.

KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia).  (2003).  Sukatan Pelajaran Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah:  Pendidikan Moral.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa Dan Pustaka.

KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia).  (2010a).  Sekolah Wawasan di Malaysia:  
           Konsep,     Cabaran dan Pellaksanaan.  Putra Jaya:  KPM




No comments:

Post a Comment