Monday, 20 August 2012

Seksyen 114A

Datuk Seri Dr Rais Yatim (Sumber - Wikipedia)



KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tidak ada sebab untuk rakyat takut dengan peruntukan Sekyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dilaksanakan berdasarkan anggapan fakta dan bukannya anggapan bersalah. 

Beliau berkata, mana-mana pihak yang dituduh mengikut peruntukan Seksyen 114A mempunyai hak untuk menangkis dakwaan itu di mahkamah. "Dan terserah kepada mahkamah akhirnya untuk memberikan justifikasi apa yang perlu dilakukan (putuskan)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan iklan teksi bertujuan mempromosi Hari Kemerdekaan dan budi bahasa di sini, hari ini.

Beliau mengulas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya Jemaah Menteri berbincang mengenai peruntukan seksyen itu yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk pengamal media dan ahli politik.

Rais berkata, dalam perbincangan semalam, Kabinet memutuskan bahawa pewartaan undang-undang itu adalah wajar kerana sudah melalui proses penggubalan yang sepatutnya. – BERNAMA (Info – Berita Harian Online, 20/08/2012)

Apakah tujuan asal pindaan ini diperkenalkan?

Tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.

Bagi pihak berkuasa, proses menjejaki dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyiaran atau penyebaran bahan berunsur hasutan di internet merupakan sesuatu yang sukar. Individu tersebut dengan mudah mengambil kesempatan menyembunyikan identiti mereka di internet kerana kesukaran pihak berkuasa mengawal internet yang luas dan terbuka. Penyembunyian identiti juga menggalakkan rakyat menyatakan pendapat tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak. Selain itu, oleh sebab maklumat mudah berpindah dari satu pihak ke pihak yang lain, pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk mengesan individu asal yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tersebut.

Apakah kekurangan yang ada pada Seksyen 114A?

Pindaan ini jelas mengandaikan kesalahan terletak pada individu yang identitinya diguna pakai dalam penyiaran atau penyebaran maklumat berbentuk hasutan tanpa mengambil kira faktor seperti kecurian identiti dan penggodaman komputer. Kesalahan juga terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut disiarkan oleh pihak lain.

Pelaksanaan pindaan baru ini boleh mengakibatkan pihak yang tidak terlibat menjadi mangsa. Pindaan ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan seseorang tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan.

Selain itu, undang-undang yang diperkenalkan ini tidak akan dapat memerangi jenayah siber dengan berkesan kerana pindaan ini secara tidak langsung melindungi penjenayah siber dengan meletakkan kesalahan ke atas mangsa mereka yang komputer atau akaun Facebook dan Twitternya digodam.

Sumber: http//www.klubbkidd.com



Apakah implikasi pindaan ini terhadap individu?

Pelaksanaan Seksyen 114 A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan penghosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.


No comments:

Post a Comment