Thursday, 6 September 2012

Samad Said, Maria Chin Tampil Beri Keterangan



Sumber:  http://www.facebook.com/asamadsaid


KUALA LUMPUR: Datuk A Samad Said dan Maria Chin Abdullah, dua daripada lima individu yang dipercayai penganjur Himpunan Janji Demokrasi pada 30 Ogos lalu, selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, sebentar tadi.


Kedua-dua individu terbabit tiba jam 3 petang tadi dan memberi keterangan polis selama kira-kira 40 minit. Ia dipercayai bagi membantu siasatan kes perhimpunan yang diadakan pada sebelah malam menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia ke-55 di Dataran Merdeka, bulan lalu. 


JANJI DEMOKRASI

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang mencanda
panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning
diri kita yang sejati
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti, menjeritkan:
Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: "Janji Demokrasi!"
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!

Pak Samad
28 Ogos 2012

Selain dua individu terbabit, tiga lagi yang dilaporkan ialah Mat Sabu, Hishamuddin Rais dan Tian Chua, turut menerima notis 111 Kanun Acara Jenayah untuk hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment