Monday, 7 January 2013

BBPP1103 - Prinsip Pengurusan (OUM)

Assignment September 2012
(Persekitaran Membuat Keputusan) 
1.0  pengenalan
Masyarakat hari ini adalah masyarakat berorganisasi, yakni masyarakat yang tersusun dan berperaturan.  Manusia dilahirkan di dalam organisasi, menerima pelajaran di dalam organisasi dan kebanyakan daripada masa dihabiskan di dalam organisasi seperti di rumah, pejabat, syarikat, persatuan dan sebagainya.  Oleh kerana masyarakat moden pada hari ini lebih mengutamakan rasionalisasi, keberkesanan dan prestasi, maka peranan organisasi semakin kritikal dan mencabar.  Salah satu peranan yang dilakukan oleh organisasi ialah dengan mengkordinasikan kegiatan manusia di dalam organisasi dengan sumber yang ada supaya dapat diolah melalui kepimpinan atau pengurusan yang berkesan dan berkebolehan. 


Salah satu tugas penting pengurus dalam melaksanakan fungsi pengurusan ialah pembuatan keputusan.  Pengurus berhadapan dengan pelbagai situasi pada setiap hari yang memerlukan keputusan dibuat.  Keputusan adalah satu pilihan daripada pelbagai alternatif set tindakan untuk berhadapan dengan masalah.  Masalah pula adalah perbezaan antara situasi sebenar dengan situasi yang dikehendaki.  Jika situasi sebenar adalah sama dengan situasi yang dikehendaki, maka organisasi tidak menghadapi masalah.  Masalah utama para pengurus ialah ketidakcekapan prestasi pekerja, unit, jabatan, bahagian dan organisasi.  Masalah ini terjadi apabila prestasi sebenar tidak sama ataupun kurang dengan prestasi yang dikehendaki. 
Menurut Abu Mansor et. al (dalam Shahrol Aman Ahmad et. al, 2007) sesuatu keputusan yang baik bukan sahaja dipengaruhi oleh pengalaman, kecekapan dan kemahiran pembuat keputusan, tetapi juga kecukupan dan kesahihan maklumat yang diperoleh berkenaan persekitaran perniagaan.  Menurut Thomas J. Atchison (dalam Ahmad Atory Hussain, 1985), pembuatan keputusan (decision making) didefinisikan sebagai semua pemikiran dan tindakan yang membawa kepada satu pilihan, termasuk pemilihan itu sendiri.  Dengan lain perkataan, pembuatan keputusan merujuk kepada satu aktiviti  atau proses memilih satu penyelesaian (solution) daripada beberapa alternatif yang ada.  Menurut Daft & Hiatt (dalam Jaafar Muhammad et. al, 2007) terdapat tiga keadaan atau persekitaran yang mempengaruhi pembuatan keputusan iaitu pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian, pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian dan pembuatan keputusan dalam keadaan risiko.

2.0  Persekitaran Membuat Keputusan
Keputusan yang dibuat oleh pengurus adalah melibatkan masa depan sesebuah organisasi, dan ini adalah sesuatu yang amat sukar diramal.  Keputusan merupakan kesimpulan terbaik yang diperoleh setelah mengenalpasti pelbagai alternatif.  Williams (2000) menyatakan, keputusan yang bijak adalah keputusan yang dibuat melalui proses khusus.  Ia diasaskan pada nilai dan persepsi pembuat keputusan serta melibatkan alternatif yang dipertimbangkan secara teliti dan berasaskan pilihan di sepanjang penilaian semula secara berkala berkenaan dengan keputusan yang diambil serta mengambil kira kesan yang berlaku.  Selain itu kebanyakkan keputusan melibatkan beberapa konflik ataupun rasa tidak puas hati.  Bahagian yang dianggap sukar dalam membuat keputusan ialah mendapatkan penyelesaian yang positif serta dapat diimbangi dengan risiko yang mungkin timbul.  Pada amnya, para pengurus membuat keputusan berdasarkan kepada informasi-informasi yang terdapat pada masa kini dan ianya dilakukan dalam tiga persekitaran iaitu:

3.0  Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Kepastian
Dalam persekitaran pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian ini, maklumat adalah mencukupi untuk setiap alternatif.  Ini bermaksud maklumat tersebut adalah lengkap dan boleh dipercayai.  Pengurus mengetahui kepentingan setiap alternatif serta memahami dan menjangka hasil terakhir setiap alternatif.  Keadaan ini adalah ideal  dalam menyelesaikan masalah dengan cabaran utama pengurusan adalah mengkaji setiap alternatif dan memilih penyelesaian terbaik.  Walaupun beberapa masalah akan timbul, ia boleh dihadapi dan ditangani agar ketidaktentuan dapat dikurangkan. Seseorang pengurus perlu berfikiran rasional dalam pembuatan keputusan dengan mengambil kira fakta, hujah-hujah dan sebab-sebab yang munasabah, praktikal dan sistematik dalam memilih alternatif yang terbaik. 
Oleh itu, seseorang pengurus perlu menilai keputusan yang akan dibuat dengan mengambil kira proses-proses dalam pembuatan keputusan.  Proses pertama dalam pembuatan keputusan ialah mendefinisikan masalah dengan mengenal pasti masalah, faktor penyebab dan cara untuk menyelesaikannya.  Proses kedua ialah mengenal pasti kriteria keputusan dengan mengetahui ciri-ciri keputusan yang akan diambil untuk memilih keputusan yang lebih rasional dan relevan.  Proses seterusnya ialah memberi pemberat kepada setiap kriteria bertujuan untuk membuat perbandingan secara relatif kepada setiap kriteria secara langsung antara satu dengan yang lain.  Proses keempat ialah menjana alternatif penyelesaian yang telah dipilih.  Dalam proses kelima, setiap alternatif akan dinilai dengan membandingkannya dengan setiap kriteria keputusan bagi menentukan setakat mana alternatif-alternatif tersebut dapat memenuhi kriteria keputusan yang telah ditetapkan.  Proses terakhir ialah mengambil keputusan yang optimum iaitu dengan memilih alternatif keputusan yang terbaik.

3.1   Contoh Pertama
Pengurusan yang cemerlang dalam sesebuah organisasi boleh diukur melalui aspek kecekapan, keberkesanan, produktiviti dan kualiti produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah organisasi.  Semua perkara tersebut adalah berdasarkan kepada keputusan yang telah dibuat.   Seperti yang kita ketahui, dalam persekitaran pembuatan keputusan dalam keadaan kepastian, pengurus memikirkan sesuatu masalah berdasarkan tahap kepastian dan risikonya.  Ini bermaksud, seseorang pengurus itu telah menjangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan serta memiliki maklumat yang meyakinkan dan boleh dipercayai mengenai sesuatu perkara.  Contoh yang paling mudah ialah, seorang pengurus di dalam sebuah syarikat ingin melaburkan sejumlah wang milik syarikat ke dalam sebuah bank.  Pengurus tersebut sudah tentu telah mengetahui jumlah pulangan dan keuntungan yang bakal diterima oleh syarikatnya dalam jangka masa tertentu.  Ini kerana beliau telah dimaklumkan dengan jelas oleh pihak pengurusan bank mengenai kadar faedah dan polisi yang telah ditawar dan ditetapkan oleh pihak bank.

3.2  Contoh Kedua
Seorang pengurus di sebuah syarikat perumahan telah membuat keputusan untuk membeli sebidang tanah untuk projek perumahan kos sederhana syarikatnya.  Pihak pengurusan telah berbincang dan telah mengambil kata sepakat untuk membeli tanah tersebut.  Dalam hal ini, pengurus telah mengenalpasti terlebih dahulu tentang apa yang bakal dihadapinya dalam menguruskan projek di tempat pembinaan dengan mengenalpasti segala tugas-tugas dan tanggungjawab yang harus dipikulnya.  Pengurus amat yakin bahawa syarikatnya akan berupaya untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti globalisasi, perubahan yang cepat, tekanan terhadap kualiti dan kecekapan serta isu etika dan tanggungjawab sosial.  Perkara asas kepada pembelian tanah tersebut ialah perkara yang melibatkan kos.  Pengurus berpendapat, lokasi tanah tersebut adalah strategik dan harga tanah yang ditawarkan oleh pemilik tanah juga munasabah.   Oleh itu, pengurus telah bertindak dengan menilai kos di dalam setiap peringkat pembinaan projek perumahan tersebut.   Hasil daripada penilaiannya, beliau yakin pelaburan syarikatnya dalam pembelian tanah itu mampu untuk menjana keuntungan yang berlipat ganda. Berdasarkan peningkatan kadar harga rumah, pengurus berpendapat rumah kos sederhana adalah relevan, sesuai, bersifat mampu milik dan mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

3.3  Contoh Ketiga
Contoh seterusnya ialah langkah yang diambil untuk meningkatkan produktiviti dalam sebuah syarikat memproses daging arnab.  Pengurus dalam syarikat itu telah membuat keputusan bersama dengan lembaga pengurusan dengan memutuskan untuk menukar operasi syarikat kepada operasi yang dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti produk kilang.  Langkah yang diputuskan oleh pihak pengurusan ialah menukar kaedah manual kepada kaedah yang lebih moden iaitu menggunakan mesin sepenuhnya dalam operasi mereka kecuali dalam proses penyembelihan. Ini bermaksud, kerja-kerja seperti pembersihan daging arnab, pembungkusan dan pelabelan adalah dikendalikan sepenuhnya oleh mesin-mesin yang dikawal oleh beberapa orang operator.  Sebelum keputusan tersebut dibuat, pengurus telah membuat kajian dan mengumpul informasi berkaitan dengan penggunaan mesin dalam operasi syarikatnya.  Kajian mendapati langkah menggunakan mesin dalam operasi syarikat mampu menjana keuntungan yang tinggi kerana ia mampu meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa, mengurangkan kos dan juga mampu mengekalkan kualiti daging arnab.  Penggunaan mesin juga membantu syarikat untuk memenuhi permintaan terhadap daging arnab, sama ada permintaan dalam pasaran tempatan mahupun luar negara.

3.4  Contoh Keempat
Contoh keempat ialah keputusan seorang pengurus di sebuah syarikat hartanah untuk menambah aset syarikat.  Pengurus tersebut membuat keputusan dengan membeli sebidang tanah di sebuah kawasan tanah tinggi.  Beliau berpendapat tanah di kawasan tersebut sesuai dikomersialkan sebagai tempat peranginan.  Keputusan yang telah diambil adalah berdasarkan perbincangan dalam organisasi dengan mengambil kira beberapa kriteria dalam pemilihan alternatif yang terbaik.  Pengurus dapat menjangka mengenai keuntungan yang bakal diperoleh syarikat pada masa hadapan berdasarkan kajian dan penilaian yang telah dibuat.  Berdasarkan peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan keamanan negara, pengurus berasa amat yakin projek peranginan syarikatnya mampu untuk menarik pelancong domestik dan luar negara.  Keadaan cuaca dan iklim serta khazanah alam di kawasan tersebut juga menjadi daya penarik kepada para pelancong untuk mengunjunginya.

4.0  Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Risiko
Dalam persekitaran pembuatan keputusan dalam keadaan risiko, pengurus mengalami kekurangan maklumat setiap alternatif, kepentingan setiap alternatif tetapi pengurus mempunyai beberapa kebarangkalian kejayaan setiap alternatif.  Setiap perniagaan mempunyai risiko masing-masing tetapi risiko boleh dihadapi dengan inovasi yang berterusan.  Risiko boleh ditakrifkan sebagai kemungkinan adanya sesuatu yang tidak menguntungkan akan berlaku pada masa hadapan.

4.1  Contoh Pertama
Contoh kepada persekitaran ini ialah situasi di sebuah syarikat jualan langsung.  Penyata kewangan di syarikat itu menunjukkan berlakunya peningkatan jualan pada setiap bulan.  Oleh itu pengurus mengandaikan syarikat akan mendapat keuntungan bersih pada tahun ini setelah rugi pada tahun lepas.  Tanpa mendapat maklumat lain seperti kos operasi, perubahan cita rasa pengguna dan faedah pinjaman, pengurus telah mengandaikan syarikat akan mendapat keuntungan berdasarkan arah aliran jualan beberapa bulan yang lalu.  Maka pengurus mengatakan kebarangkalian syarikat akan mendapat untung adalah 60% dan kebarangkalian syarikat akan rugi seperti tahun lepas adalah 40%.  Dengan itu pengurus telah membuat keputusan dalam keadaan risiko iaitu tidak diketahui sama ada syarikat tersebut benar-benar akan untung atau sebaliknya.  

4.2  Contoh Kedua
Contoh seterusnya ialah keputusan seorang pengurus di dalam sebuah syarikat untuk melaburkan wang syarikat dengan pembelian bon korporat.  Beliau percaya pelaburan bon menawarkan alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh syarikat dalam usaha untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka.  Ini kerana bon melibatkan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan pelaburan saham.  Pengurus tersebut berpendapat, bon menawarkan pulangan dalam bentuk faedah tetap secara berkala dan pembayaran balik jumlah pokok yang dipinjamkan apabila sampainya tarikh matang.  Bon merupakan instrumen yang sesuai sebagai punca kewangan syarikat kerana ia mengekalkan wang pokok dan mendapatkan pulangan keuntungan yang konsisten. 
Walau bagaimanapun, keputusan pengurus tersebut telah meletakkan syarikat dalam keadaan yang berisiko untuk rugi kerana harga bon dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti inflasi, kadar faedah, tarikh matang dan kualiti kredit.  Pembelian bon korporat tidak menjamin kepada keuntungan syarikat pada masa hadapan.  Dalam keadaan ekonomi yang berkembang pesat, inflasi secara lazimnya turut naik.  Kenaikan ini lambat laun akan menyebabkan kenaikan kadar faedah dan menyebabkan nilai bon yang dimiliki jatuh.  Pulangan daripada bon-bon korporat selalunya lebih tinggi jika dibandingkan dengan bon kerajaan disebabkan risiko lebih tinggi yang perlu ditanggung oleh pembeli bon korporat berbanding pembeli bon kerajaan.  Tetapi sekiranya berlaku kemelut kewangan seperti inflasi dan sebagainya, syarikat yang membeli bon korporat akan berhadapan dengan risiko tidak menerima pembayaran kupon dan wang pokok.

4.3  Contoh Ketiga
Contoh seterusnya dalam pembuatan keputusan dalam keadaan risiko ialah keputusan yang diambil oleh seorang pengurus untuk melaburkan wang syarikat mereka ke dalam pelaburan berstruktur iaitu pelaburan dua-matawang. Pengurus berpendapat keputusannya itu adalah satu alternatif untuk menjana wang syarikat bagi mendapatkan keuntungan.  Pengurus meyakinkan pihak pengurusan bahawa pelaburan berstruktur adalah sejenis pelaburan yang boleh memberi pulangan yang lebih tinggi berbanding dengan cara pelaburan  lain, seperti deposit tetap.  Pengurus telah membuat keputusan dalam keadaan risiko kerana tidak ada jaminan yang meyakinkan sama ada syarikat tersebut benar-benar akan untung atau sebaliknya.  Pelaburan berstuktur boleh digunakan untuk memperoleh pendapatan atau meningkatkan pelaburan.  Walau bagaimanapun, seperti pelaburan lain, masih terdapat risiko yang boleh mempengaruhi kewangan syarikat.  Ini kerana pulangan pelaburan berstuktur adalah berbeza-beza dan lazimnya tidak terjamin dan hanya bergantung kepada prestasi aset asas sepanjang tempoh pelaburan.  Syarikat tersebut boleh mengalami kerugian sekiranya prestasi aset berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh pengurus.  Pulangan pelaburan juga boleh terjejas berikutan pergerakan dalam tukaran asing.

4.4  Contoh Keempat
Contoh seterusnya dalam pembuatan keputusan dalam keadaan risiko ialah keputusan seorang pengurus bersama-sama dengan ahli lembaga pengurusan sebuah syarikat melabur dalam pelaburan berorientasikan pasaran.  Pengurus tersebut berjaya meyakinkan ahli-ahli lembaga bahawa pelaburan berorientasikan pasaran adalah strategi pelaburan yang paling popular dalam kalangan pelabur.  Strategi ini dikenali sebagai ’pelaburan momentum’, kerana ia berdasarkan pola carta harga ataupun minat pembelian sesuatu saham mengikut arah aliran pasaran.  Para pelabur dalam kategori ini akan membeli saham apabila pasaran naik dan akan menjual semula saham-saham tersebut apabila pasaran saham mula turun.  Oleh itu, syarikat yang diterajui oleh pengurus tersebut akan memberikan fokus terhadap saham-saham yang paling banyak mendapat tumpuan dalam pasaran.
            Situasi tersebut menunjukkan bahawa pengurus telah membuat keputusan dalam keadaan risiko iaitu tidak ada kepastian yang benar-benar meyakinkan sama ada syarikat tersebut benar-benar akan untung atau sebaliknya.  Ini kerana strategi berorientasikan pasaran dianggap pelaburan yang paling berisiko kerana sekiranya sesuatu masalah timbul walaupun kecil akan mendorong kepada penjualan saham secara besar-besaran.  Keadaan seperti ini akan menyebabkan harga saham tersebut akan terus merudum.  Oleh itu, syarikat mungkin akan mengalami risiko untuk rugi besar sekiranya menjual saham pada harga yang rendah ataupun terpaksa terus memegang saham yang mempunyai asas yang lemah kerana gagal dijual ketika harga saham tersebut menjunam.

5.0  Pembuatan Keputusan Dalam Keadaan Ketidakpastian
Pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian terjadi apabila maklumat adalah terlalu kurang dan pengurusan amat sukar melihat kebarangkalian kejayaan setiap alternatif.  Dalam situasi ini pembuat keputusan tidak mempunyai sebarang maklumat untuk membantunya membuat keputusan.  Persekitaran ini paling sukar dihadapi oleh sesebuah organisasi.  Memandangkan kesukaran yang dihadapi, pengurus hendaklah bergantung kepada kreativiti, keunikan kaedah dan alternatif yang inovatif. 

5.1  Contoh Pertama
Contoh situasi ini ialah dalam industri yang banyak mengalami inovasi dan perkembangan produk baru seperti industri perisian komputer, pesaing-pesaing sentiasa cuba meramalkan bentuk produk perisian pada masa hadapan.  Situasi ini boleh dilihat di dalam sebuah syarikat yang menjual perisian anti virus komputer.  Seperti yang kita ketahui, perisian anti virus membantu pengguna mengenal pasti dan seterusnya menghapuskan virus serong seperti worm dan trojan daripada komputer.  Oleh kerana hampir pada setiap hari, virus komputer baru diperkenalkan di internet maka seseorang pengurus yang ingin memperkenalkan produk baru keluaran syarikatnya ke dalam pasaran akan terpaksa membuat keputusan dalam keadaan ketidakpastian.  Oleh kerana hampir setiap masa virus baru muncul di internet dan kemampuan perisian tersebut belum teruji sepenuhnya, maka respon pengguna terhadap produk baru ini sukar untuk diramal.  Pihak pengurusan tidak pasti sama ada pengguna akan mencuba produk baru ini atau sebaliknya.  Oleh kerana reaksi pengguna sukar diramal, maka kesan setiap alternatif keputusan yang akan dibuat juga tidak dapat dijangka.  Langkah atau alternatif keputusan yang mungkin boleh diambil oleh pengurus ialah memperkenalkan harga promosi iaitu dengan menurunkan harga produk tersebut.
 
5.2  Contoh Kedua
Contoh kedua ialah dalam industri perkakasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).  Dewasa ini ultrabook merupakan gajet TMK yang semakin popular sejak diperkenalkan pada tahun 2011.  Terdapat beberapa kriteria yang dikeluarkan oleh syarikat semikonduktor Intel untuk menepati ciri-ciri sebuah ultrabook.  Antara kriteria sebuah ultrabook ialah ketebalannya tidak melebihi 2.5 sentimeter, jangka hayat bateri yang panjang, kecekapannya berfungsi dengan pantas dan boleh bertindak serta merta. Sejak diperkenalkan dalam pasaran, beberapa syarikat pengeluar komputer telah berlumba-lumba untuk menghasilkan dan mempromosikan ultrabook mereka ke dalam pasaran. 
Para pengurus dalam syarikat-syarikat tersebut pasti mengalami situasi pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian terutama mengenai bentuk produk yang sepatutnya mereka keluarkan ke dalam pasaran pada masa hadapan.  Ini kerana kejayaan sesebuah produk bergantung kepada pengguna dan respon mereka adalah sesuatu yang sukar diramal oleh pengeluar.  Jika dahulu para pengguna terpaksa membeli dan menyesuaikan diri dengan mengikuti perkembangan syarikat pengeluar, tetapi kini pihak pengeluar terpaksa mengkaji dan menilai trend dan kehendak pasaran pula.  Oleh itu pembuat keputusan terpaksa menggunakan pengalaman serta pertimbangan sendiri dalam membuat keputusan.  Alternatif keputusan yang mungkin boleh dibuat dalam situasi ini ialah memperkenalkan produk yang lebih inovasi dan mempunyai keistimewaan tersendiri umpamanya ultrabook yang berskrin sesentuh, bersifat boleh ubah menjadi gajet tablet dan sebagainya. 

5.3  Contoh Ketiga
Contoh seterusnya menggambarkan pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian.  Seorang pengurus bersama lembaga pengurusan di sebuah syarikat pembuat perabot berasaskan kayu telah bersepakat dan mengambil keputusan untuk memperkenalkan satu produk baru ke pasaran.  Produk tersebut ialah barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada kristal.  Walau bagaimanapun, syarikat tersebut tidak dapat meramalkan respon pengguna terhadap produk baru tersebut kerana perhiasan kristal merupakan sesuatu yang baru kepada penduduk-penduduk di kawasan tersebut.  Syarikat tersebut merupakan syarikat yang pertama menjual barangan kristal di kawasan tersebut kerana tiada peniaga yang menjualnya sebelum ini. Oleh itu, tidak ada data dan maklumat pada masa lalu yang boleh dijadikan panduan untuk meramal kehendak pengguna.  Kesan setiap alternatif keputusan yang akan dibuat juga tidak dapat dijangka.  Dalam kes ini alternatif keputusan yang mungkin diambil kira ialah daripada segi perletakan harga.  Syarikat mungkin boleh meletakkan harga yang lebih rendah terhadap produk tersebut berbanding dengan harga produk tersebut di tempat-tempat lain.  Oleh kerana ketiadaan maklumat untuk dijadikan panduan, maka sebarang keputusan yang akan diambil lazimnya bergantung kepada pertimbangan pengurus itu sendiri.

5.4  Contoh Keempat
Contoh keempat dalam menggambarkan pembuatan keputusan dalam keadaan ketidakpastian ialah situasi di sebuah syarikat kecantikan yang ingin mengeluarkan produk sulungnya.  Pengurus di syarikat tersebut telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk yang dipercayai mampu untuk mengurangkan berat badan dan dikhaskan kepada golongan lelaki dan wanita.  Pengurus dan lembaga pengurusan menghadapi masalah untuk meramal respon pengguna kerana terlalu banyak produk kecantikan di dalam pasaran, tambahan pula ini merupakan produk sulung mereka.  Mereka hanya bersandar kepada kenyataan bahawa produk untuk mengurangkan berat badan memang diminati oleh golongan remaja dan dewasa, sama ada lelaki atau wanita yang mengalami berat badan berlebihan.  Oleh itu alternatif keputusan yang boleh diambil oleh syarikat tersebut ialah menggunakan strategi pemasaran yang berkesan dan bijak dengan mengadakan promosi-promosi dan tawaran-tawaran yang menarik.

 KESIMPULAN
Sebagai pemimpin dalam sesebuah unit atau jabatan, pembuatan keputusan memerlukan kemahiran khusus di mana setiap pengurus hendaklah bersedia membuat keputusan yang baik dan efektif untuk sesebuah organisasi.  Pembuatan keputusan menjadi lebih kritikal apabila organisasi berhadapan dengan beberapa masalah.  Masalah perlu dihadapi oleh seseorang pengurus dengan tenang dan berusaha menggunakan pemikiran saintifik dan intuitif yang dimiliki.
Semasa menghadapi masalah, seseorang pengurus perlu mengetahui jenis masalah yang wujud, kesilapan biasa dalam mentakrif masalah, peranan persekitaran dalam menyelesaikan masalah dan bagaimana menganalisis alternatif.  Memilih penyelesaian yang dikehendaki adalah sesuatu yang sukar tetapi mesti dilakukan di mana pengurus hendaklah memahami sesuatu keputusan yang hendak dilakukan, bagaimana membuat keputusan yang berkesan dan siapa yang patut membuat keputusan.  Perlaksanaan keputusan yang dipilih akan menjadi lebih mudah jika melibatkan pelbagai pihak di dalam organisasi. Terdapat beberapa gaya dalam pembuatan keputusan iaitu, gaya terarah, gaya analitikal, gaya konsepsi dan gaya kelakuan. 
Pengurus perlu mempunyai kefahaman mengenai kelebihan dan kekurangan setiap gaya kerana pengetahuan tersebut boleh  diaplikasikan untuk menangani pelbagai situasi yang timbul.  Beberapa perkara seperti bias psikologi, tekanan masa dan realiti sosial di dalam sesebuah organisasi menyumbang kepada keputusan tidak berkesan.  Adalah menjadi tanggungjawab seseorang pengurus untuk membuat keputusan terbaik dan berkesan walaupun berhadapan dengan masalah ini.  Oleh itu, beberapa pendekatan dapat digunakan untuk mengembangkan kemahiran pembuatan keputusan iaitu penggunaan kreativiti, sistem sokongan keputusan berkomputer dan pemikiran pelbagai dimensi.  Pengurus yang cekap dan berkesan adalah mereka yang berani berhadapan dan bijak menyelesaikan masalah serta menggunakan kekuatan peribadinya apabila berhadapan dengan konflik ketika membuat keputusan.  Pengurus yang efektif juga biasanya sentiasa belajar bagaimana untuk meningkatkan kemahiran pembuatan keputusan.

3017 patah perkataan
RUJUKAN

Ab.  Aziz Yusof.  (2000).  Pengurus dan Gelagat Organisasi di Abad ke 21.  Selangor
Darul Ehsan:  Prentice Hall.

Abdul Manaf Bohari.  (2005).  Sistem Sokongan Keputusan.  Selangor:  Prentice Hall.

Ahmad Atory Hussain.  (1985).  Prinsip Pengurusan di Sektor Awam dan Swasta
Universiti Kebangsaan malaysia:  UPA Press Sdn. Bhd.

Aizzat Mohd. Nasurdin et. al.  (2006).  Pengantar Pengurusan.  Kual Lumpur:  Maziza
Sdn. Bhd.

Jaafar Muhammad et. al. (2007).  Pengantar Pengurusan.  Kuala Lumpur:  Leeds
Publications.

Shahrol Aman Ahmad et. al.  (2007).  Prinsip Pengurusan.  Selangor Darul Ehsan: 
OUM.

Stephen P. Robbins.  (2000).  Gelagat Organisasi.  Selangor Darul Ehsan:  Prentice Hall.

Williams, C.  (2000).  Management.  Ohio:  South-Western Publishing.

http://www.bankinginfo.com.my  (Diakses pada 16 November 2012)

http://www.kosmo.com.my (Diakses 14 November 2012)

http://www.min.com.my (Diakses 16 November 2012)


8 comments:

  1. steven pelajar OUM Sabah2 July 2013 at 12:07

    tq,amat membantu

    ReplyDelete
    Replies
    1. T'kasih jg sbb mengunjungi blog ini...

      Delete
  2. terima kasih..maklumat sangat2 berguna!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas kunjungan dlm blog ini...

      Delete
  3. nak tanya, macam mana nak cari 3 artikel atau majalah berkaitan dengan soalan seperti diatas ya? ketiga tiga artikel pula nakkan 2500-3000 patah perkataan. :( Saya dapat soalan assignment seperti tuan hamba juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf, t'lalu lewat reply & tdk dpt membantu. Wlu apa pun, terima kasih kerana sudi singgah.

      Delete