Monday, 25 March 2013

5 Sebab Anda Masih Mahu Laptop

Alasan yang boleh mendorong anda memilih laptop standard, 
berbanding ultrabook yang bergaya.



Sedar atau tidak, ultrabook sudah berada di pasaran Malaysia lebih setahun lalu.  Munculnya banyak model dan jenama baru dengan sistem operasi (OS) Windows 8 pastinya mengujakan peminat laptop jenis nipis dan ringan ini.  Namun tidak semua orang mengutamakan gaya yang ditawarkan ultrabook kerana ada faktor lain yang lebih utama.  Justeru itu, ada yang lebih gemar memilih laptop standard untuk memenuhi keperluan pengkomputeran mereka.  Jika anda seperti mereka, lima faktor berikut boleh dijadikan alasan untuk memilih laptop standard berbanding ultrabook.


Ultrabook

1.  Grafik Lebih Berkuasa
Seperti yang kita maklum, kebanyakan ultrabook di pasaran hari ini dilengkapi grafik daripada Intel.  Sebelum ini, Intel HD Graphic 3000 digunakan dan kini Intel HD Graphic 4000 lebih baik prestasinya.  Ini berbeza dengan laptop standard yang ada kerana mempunyai lebih banyak pilihan.  Selain grafik daripada Intel, grafik daripada Nvidia dan AMD turut melengkapi banyak model atau jenama laptop standard di pasaran.  Grafik khas ini biasanya menawarkan prestasi yang lebih berkuasa.  Ini sesuai jika laptop tersebut ingin digunakan bagi permainan (games) dan kerja-kerja grafik.

2.  Storannya Lebih Besar
Selalunya, ultrabook akan dilengkapi solid state drive (SSD) sebagai storannya.  Melainkan, model lebih murah yang menggunakan pemacu cakera keras (HDD) jenis standard atau hibrid.  Selalunya, laptop standard pula menggunakan HDD.  Ini memberikan anda peluang untuk memiliki storan yang lebih besar, paling kurang 500GB.  Malah harganya lebih murah berbanding SSD yang lebih rendah muatannya.  Ruang yang lebih besar ini sesuai bagi menyimpan lebih banyak fail.  Selain itu, dua atau lebih "partition" sesuai dibina bagi menempatkan sistem operasi (OS) yang berbeza.

3.  Memiliki Banyak Port


Ada juga pengguna yang mengeluh, kerana rata-rata ultrabook cuma menyediakan beberapa port asas.  Antaranya, port USB 2.0 / 3.0 dan HDMI.  Jika ada sekalipun, jumlahnya agak terhad atau menggunakan port saiz mini.  Berbeza dengan laptop standard yang menawarkan port asas yang lain antaranya port LAN (RJ-45) dan VGA.  Selain itu, saiz semua port adalah standard; bukannya mini.  Bagi menggunakan port bersaiz mini pada ultrabook, anda memerlukan kabel jenis mini juga.  Malah, adaptor diperlukan untuk mendapatkan kembali port asas yang 'hilang' pada ultrabook.

4.  Peluang Menaik Taraf
Ultrabook yang nipis dan ringan jelas nampak bergaya selain mudah dibawa ke mana-mana.  Tetapi reka bentuk yang amat kompak ini hampir menafikan peluang anda menaik taraf peranti dalamannya terutama sekali memori (RAM) dan storannya.  Bayangkan jika modul memorinya sudah dipateri.  Ini berbeza dengan sebuah laptop standard yang lazimnya ada dua slot memori.  Jadi RAM laptop standard boleh dinaik taraf melabihi 4GB; ini kapasiti maksimum majoriti ultrabook.  Selain berpeluang menambah saiz storan laptop standard, anda juga boleh menukar jenisnya; dari HDD kepada SSD.

5.  Senang Diselamatkan
Tahukah anda, ultrabook sebenarnya lebih sukar untuk dibaik pulih jika peranti dalamannya rosak.  Ini adalah kerana reka bentuknya yang kompak.  Sedangkan ruang yang menempatkan RAM atau HDD pada sebuah laptop standard lebih mudah dibuka dengan sebilah pemutar skru.  Jadi sesiapa sahaja terasuk anda, boleh menggantikan kedua-dua peranti ini jika rosak atau bermasalah.  Asalkan ada sedikit pengetahuan untuk melakukannya.  Maknanya, kos untuk membaik pulih sebuah laptop standard bukan sahaja lebih rendah malah prosesnya lebih cepat dan mudah dilakukan.

Sumber:  Majalah PC (Mac 2013)

No comments:

Post a Comment