Sunday, 24 March 2013

Rolling Stones...Terus 'Bergolek'...



Pepatah Inggeris ada mengatakan:  "A Rolling Stone Gathers No Moss".  Ia bermaksud orang yang sentiasa bergerak atau berubah, serta bersikap tidak peduli dan tidak mahu bertanggungjawab.  Ia juga bermaksud orang yang sentiasa bergerak kerana tidak pernah ketandusan idea baru atau kreativiti, dan "moss" (lumut) itu ibarat sesuatu yanng bersifat statik dan menyekat perubahan.

Jika diamati, kedua-dua maksud pepatah itu sangat tepat untuk menggambarkan The Rolling Stones dan perjuangan mereka dalam industri muzik yang sudahpun menjangkau 50 tahun.


Walaupun permulaan The Stones tidaklah semudah batu bergolek, band yang ditubuhkan pada tahun 1962 ini masih mampu bertahan dan baru saja meraikan ulang tahun jubli emas mereka pada tahun lepas.  Meskipun sudah berusia, Mick Jagger (70), Keith Richards (70), Ronnie Wood (66) dan Charlie Watts (72) masih kelihatan mantap sepanjang siri konsert ulang tahun mereka pada November dan Disember lalu.


The Stones dikatakan band terkaya di dunia kerana beberapa sebab:  mereka mempunyai 29 album studio yang kebanyakannya pernah berada di tangga pertama carta muzik paling hit dan laris, mempunyai berdozen-dozen lagu hit dan DVD terlaris dalam sejarah, serta paling berjaya dalam konsert-konsert mereka.  Walaupun setiap tour mereka tidak pernah sunyi dari publisiti negatif, konsert-konsert band ini biasanya meraih keuntungan beratus-ratus juta dollar.  Mereka berani muncul dengan album baru dan bersaing dalam pasaran kontemporari.  Menariknya, jualan album mereka sentiasa laris dengan purata jualan antara lima ke enam juta unit seluruh dunia.


Selepas 50 tahu memperjuangkan muzik dan apa yang mereka percaya, The Stones masih komited dan belum ketandusan idea.  Dan paling nyata, mereka belum menunjukkan tanda ingin berhenti. "Ia masih terlalu awal untuk bercakap tentang legasi The Stones," kata Keith.  "Apa yang kami buat sebenarnya masih belum selesai.  Lagipun ada satu lagi yang belum kami capai, iaitu untuk tahu sampai bila kami boleh bertahan," katanya lagi.


Kisah Logo Bibir dan Lidah


Imej ikonik, bibir dan lidah terjelir, sememangnya sinonim dengan The Rolling Stones.  Tidak puas hati dengan logo yang disediakan oleh syarikat rakaman, Mick Jagger telah mengupah John Pasche, seoarang pelajar senireka grafik dari Brighton College of Art, London untuk mencipta logo lain yang lebih sesuai dengan upah sebanyak 50 pound.  Band ini membayar 200 pound lagi kerana sangat berpuas hati dengan hasil kerja John.  Menurut John:  "Saya mahu berikan mereka sesuatu yang anti-authority, tapi rasanya idea tu automatik datang selepas saya bertemu Mick Jagger buat kali pertama di pejabat mereka.  Siapa yang boleh terlepas pandang bibir Mick yang tebal dan saiz mulutnya yang besar itu".

Sumber:  Majalah ROTTW (V 184, 2013)
Foto     :  http://www.starpulse.com
 

No comments:

Post a Comment