Tuesday, 9 April 2013

CBCT2203 - Konsep Asas Teknologi Maklumat

Koridor Raya Multimedia (MSC)




1.0  pengenalan

Malaysia bercita-cita untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.  Untuk mencapai wawasan ini, kerajaan mestilah berupaya untuk menjamin kadar pertumbuhan purata sekurang-kurangnya sebanyak 7 peratus sehingga menjelang tahun 2020.  Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata pada sektor perkilangan tetapi ia mestilah juga membangunkan enjin pertumbuhan kedua.  Oleh itu kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk menjadikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi sebagai dinamo atau penggerak pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi. 


Sebagai langkah pertama, kerajaan Malaysia telah melancarkan satu rancangan besar untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang pertama di dunia.  Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Coridor (MSC) ialah zon kerajaan yang direka khas sebagai satu usaha Malaysia untuk melangkah ke era maklumat dan pengetahuan.  MSC merupakan tonggak dan strategi pembangunan bagi mencapai wawasan 2020.  MSC telah ditubuhkan pada 29 Ogos 1995 dan dilancarkan pada tahun 1996 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke empat, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.  Fasa Pertama MSC meliputi koridor seluas 750 km persegi yang merangkumi pusat bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. 
Koridor Raya Multimedia atau MSC dibina bagi merangsang proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), membina dan menyebar maklumat serta produk berunsurkan teknologi maklumat.  Kawasan ini menempatkan aktiviti teras MSC yang dikenali sebagai Aplikasi Perdana.  Tujuh aplikasi utama koridor multimedia ialah Kerajaan Elektronik, Teleperubatan, Sekolah Bestari, Sistem Kad Pintar Pelbagai Guna, Jaringan Perkilangan Seluruh Dunia, Pusat Pemasaran Tanpa Sempadan dan Pusat Penyelidikan (R&D).  Kerajaan tidak mahu menghadkan MSC kepada Malaysia sahaja tetapi merancang untuk memperluaskannya ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Utara.  MSC menawarkan potensi pelaburan yang amat besar kepada pelabur dengan menawarkan beberapa kemudahan seperti pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan berteknologi tinggi.  Secara ringkasnya, MSC ini akan menyatukan persekitaran bersepadu yang terdiri daripada segala unsur yang diperlukan untuk mewujudkan iklim multimedia global yang sempurna.
   
2.0  Peranan dan Sumbangan Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam Pembangunan Masyarakat Berasaskan Pengetahuan di Malaysia
Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) mempunyai peranan dan sumbangan yang besar terhadap pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dalam negara kita.  Peranan dan sumbangan tersebut akan dibincangkan di bawah.

2.1  Sekolah Bestari
Koridor Raya Multimedia (MSC) memainkan peranan penting dalam membangunkan sebuah masyarakat yang berasaskan ilmu pengetahuan.  Peranan tersebut boleh dilihat dalam bidang pendidikan dan dilaksanakan dalam salah satu daripada  tujuh aplikasi utama koridor multimedia iaitu Sekolah Bestari.  Sekolah Bestari merupakan institusi pendidikan yang tersusun secara sistematik yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran, serta pengurusan sekolah menggunakan aplikasi jaringan teknologi maklumat.  Sekolah Bestari ialah sebuah institusi yang mempunyai pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa mencabar minda dan memberi ruang kepada pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.  
            Menurut Wan Mohd Zahid (dalam Omar Zakaria, 2008) menyatakan bahawa Sekolah Bestari diwujudkan dengan ciri-ciri berbeza berbanding sekolah sedia ada.  Antara ciri-ciri tersebut ialah, Sekolah Bestari dihubungkan dengan jaring kawasan tempatan (LAN) yang membolehkan perkongsian maklumat supaya dapat menggalakkan kerjasama antara pelajar dan guru untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.  Sekolah ini juga dihubung melalui jaring kawasan luas (WAN) yang menyediakan sumber-sumber secara atas talian untuk membolehkan guru dan pelajar mendapat maklumat dari rumah.  Sekolah Bestari disesuaikan mengikut kehendak guru, pelajar dan pentadbir dengan menyediakan pelbagai perisian aplikasi.  Dalam institusi ini, guru berperanan sebagai fasilitator yang bertanggungjawab menyediakan situasi yang menggalakkan pembelajaran terarah kendiri secara berdikari.  Pentadbir dalam sekolah ini berfungsi sebagai pengurus berkesan.
            Corak pembelajaran dalam Sekolah Bestari dijangka mampu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidangnya, memegang teguh dan melaksanakan nilai-nilai murni dan akan sentiasa menyumbangkan idea.  Kesemua usaha ini akan dapat melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang bepengetahuan dan bermaklumat serta mampu menyumbang kepada kemakmuran negara.  Sekolah masa kini dan Sekolah Bestari mempunyai perbezaan yang jelas, khasnya dari segi gaya pembelajaran pelajar-pelajarnya.  Di sekolah masa kini, gaya pembelajaran adalah lebih berasaskan kepada guru yang memberi tumpuan kepada hafalan dan pengetahuan.  Sementara di Sekolah Bestari, gaya pembelajarannya adalah berasaskan pelajar yang diberi kebebasan untuk meneroka bidang pengetahuan berbantukan teknologi yang menumpukan kepada carian maklumat, mencabar minda, kreativiti, penyayang dan berliterasi teknologi.

2.2  Pusat Pemasaran Tanpa Sempadaan
Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dibina oleh kerajaan mampu menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan yang terbaik untuk para pelabur.  MSC dapat dihubungkan dengan semua negara dunia melalui telekomunikasi yang canggih dan mutakhir.  Undang-undang dan polisi yang fleksibel dan bertaraf dunia, infrastruktur yang baik dan kemahiran rakyat dalam menguasai teknologi serta pelbagai bahasa mampu menjadikan Koridor Raya Multimedia sebagai pusat pemasaran tanpa sempadan bertaraf dunia.  MSC boleh menjadi pentas syarikat-syarikat bertaraf dunia menyediakan perkhidmatan pelanggan dan sokongan teknikal.
Salah satu daripada objektif pemasaran tanpa sempadan ialah menyokong pemindahan pengetahuan tentang pemasaran dan pengurusan perniagaan kepada rakyat Malaysia.  Objektif ini secara langsung telah membantu membangunkan sebuah masyarakat yang yang berasaskan pengetahuan di Malaysia.  Ini kerana, kemasukan syarikat asing yang melabur dalam projek MSC telah memberi 1001 manfaat kepada rakyat Malaysia terutama sekali kepada golongan pelajar. Selain melabur dalam bidang berkaitan teknologi, perkhidmatan, penyelidikan dan sebagainya, syarikat tersebut juga tidak lupa dalam pembangunan modal insan. Hal ini dapat dilihat melalui penyediaan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran di IPT dalam dan luar negara. Pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa tersebut secara tidak langsung mendapat peluang untuk bekerja dalam syarikat-syarikat tersebut. Antara syarikat berstatus MSC yang menyediakan geran biasiswa kepada golongan pelajar ialah Petronas, Intel Corperation, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Telekom Malaysia (TM) dan lain-lain
            Melalui biasiswa yang disediakan oleh syarikat-syarikat tersebut, golongan pelajar turut sama mendapat pendedahan awal sebelum memasuki alam pekejaan. Hal ini kerana, pelajar-pelajar tersebut akan melakukan Latihan Industri atau praktikal di bawah pengawasan syarikat tersebut. Pelajar-pelajar juga akan didedahkan dalam suasana alam pekerjaan yang sebenar. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan soft skill untuk menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar dengan menggalakkan pelajar untuk terlibat sama dalam projek dan program yang dilaksanakan. Hal ini secara tidak langsung dapat menjamin tempat yang selesa untuk pelajar berkhidmat dengan syarikat-syarikat tersebut apabila tamat belajar nanti.

2.3  Cyberjaya dan Putrajaya
Projek mega IT Malaysia, iaitu projek Koridor Raya Multimedia (MSC), telah dicipta sebagai versi lokal Silicon Valey, lalu diberi jolokan ’Silicon Valley’ Malaysia.  Silicon Valley” merupakan sebuah kawasan yang terletak di sebuah lembah gurun yang gersang di California.  Kawasan ini sinonim dengan ledakan IT di Amerika Syarikat yang kemudiannya merebak ke seluruh dunia.  Di kawasan inilah wujudnya insan-insan besar dalam dunia IT seperti mendiang Steve Job dan Bill Gates.  Mereka memerah otak mengeksploit kepintaran serta kreativiti mereka untuk mencipta pelbagai bentuk hardware dan software yang akhirnya membolehkan komputer dikomersilkan. 
Kawasan ini menjadi salah satu pemangkin kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan di Malaysia.  Pembinaan MSC adalah sesuatu yang dirancang dan bukannya berlaku secara evousi seperti Silicon Valley di Amerika.  Antaranya ialah, keluasan fizikal MSC sudah ditentukan iaitu 750 km persegi.  Sebahagian  kawasan ini dikenali sebagai Cyberjaya,  telah dipecahkan kepada kotak-kotak kecil tanah yang setiap daripadanya boleh dibeli atau disewa oleh syarikat-syarikat IT untuk mengembangkan usaha teknologi masing-masing dengan sokongan infrastruktur kerajaan Malaysia.  Cyberjaya terletak kira-kira 50 km di selatan Kuala Lumpur, iaitu bersebelahan dengan Putrajaya.  Bandar ini merupakan tulang belakang kepada MSC dan dibangunkan sebagai bandar pintar mengikut konsep lembah silikon di Amerika.   Hasil keuntungan daripada produknya yang dipasarkan secara global adalah bebas cukai.
Di dalam kawasan MSC terdapat dua zon penting dan tidak terdapat di Silicon Valley asal, iaitu sebuah zon pusat bandar pentadbiran kerajaan yang dinamakan sebagai Putrajaya dan sebuah zon pengangkutan udara bertaraf antarabangsa iaitu Kuala Lumpur International Airport (KLIA).  Kedua-dua zon ini bertindak sebagai pelengkap tadbir yang cukup sesuai untuk menggalakkan perkembangan pantas dalam zon IT di MSC.  Pusat pentadbiran Putrajaya dan kawasan perniagaan serta perumahan di sekitarnya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan IT yang terkini dan canggih. Ini bermaksud pentadbiran di Putrajaya adalah berasaskan budaya paperless, manakala untuk tujuan akses dan penyebaran makumat dalam kalangan warga kota dan kawasan perumahan, sistem wireless turut diwujudkan.  Keseluruhan usaha ini melibatkan sektor awam, swasta serta komuniti secara serentak dan dikenali sebagai kerajaan elektronik.
Kerajaan elektronik dapat meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan memberikan kesan yang positif kepada rakyat.  Hubungan antara agensi kerajaan dijalankan secara elektronik dan multimedia.  Melalui hubungan ini, komputer yang menggunakan jaringan di kementerian atau jabatan dapat berhubung antara satu sama lain.  Dengan ini, perkara yang memerlukan penyelesaian bersama dapat dilakukan dengan cepat.  Dokumen, maklumat dan pangkalan data dapat dikongsi bersama antara kementerian dengan kementerian atau dengan jabatan.  Sidang video digunakan bagi memudahkan proses mengadakan mesyuarat di pebagai lokasi.  Kesemua yang dibincangkan ini bertujuan untuk menghasilkan pentadbiran yang cekap dan berwibawa di samping meningkatkan mutu perkhidmatan awam.  Objektif kerajaan elektronik yang digariskan ialah menyediakan perkhidmatan awam yang berkualiti dan cekap, membentuk jaringan komunikasi yang cepat dan cekap antara jabatan, budaya tanpa kertas, menjimatkan kos dan meningkatkan keselamatan data.   
               
2.4  Pusat Penyelidikan (R&D)
Pusat penyelidikan dan pembangunan adalah aspek yang cukup penting dalam membangunkan sesebuah negara.  Dengan kerjasama syarikat-syarikat besar tempatan dan luar negara serta universiti tempatan dan luar negara, Malaysia dijangka akan  menjadi salah satu pusat penyelidikan multimedia bertaraf antarabangsa.  Penubuhan Universiti Multimedia yang terletak di kawasan Koridor Raya Multimedia berupaya untuk  menjadi pemangkin kepada pembinaan sebuah masyarakat penyelidik dan berpengetahuan di negara kita.  Secara keseluruhannya, objektif pusat penyelidikan dalam aplikasi multimedia ialah mewujudkan kelompok penyelidikan multimedia bertaraf dunia.  Pusat penyelidikan dan pembangunan di koridor multimedia juga berharap dapat bekerjasama dengan universiti tempatan bagi menghasilkan produk multimedia.  Selain daripada itu pusat ini juga bertujuan untuk mewujudkan persaingan sumber manusia melalui penyelidikan.

3.0  Kejayaan Koridor Raya Multimedia (MSC)
Semenjak dilancarkan pada tahun 1996, Koridor Raya Multimedia (MSC) telah membuahkan hasil dan kejayaan yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia.  Berdasarkan kepada kerja keras daripada rakyat Malaysia serta galakan daripada kerajaan, Koridor Raya Multimedia (MSC) telah menampakkan kejayaan.  Kejayaan syarikat-syarikat seperti IRIS Technologies, XYBASE dan REDTone (VMS Technology) serta Perbadanan Komputer Nasional Berhad seharunya dilihat sebagai titik permulaan penggemblingan tenaga ke arah kecemerlangan.  XYBASE Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat tempatan yang ditubuhkan oleh Suhaimee Abu Hassan bersama rakan-rakannya, dan kini telah diiktiraf sebagai syarikat penyepadu sistem lapangan terbang utama dunia. 
Menurut Suhaimee, sehingga kini XYBASE telah melibatkan diri di 13 lapangan terbang
di seluruh dunia sama ada melalui projek besar atau kecil.  Antara lapangan terbang tersebut ialah Istanbul, Turki, Korea Selatan, Sydney, Maldive, Dubai, London, Taiwan, Indonesia dan KLIA (Utusan, 29 Ogos 2001).
Pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) menandakan permulaan inisiatif ke arah pembangunan K-ekonomi.  Sebagai usaha untuk menggalakkan pembangunan syarikat ICT bertaraf dunia, pelbagai insentif telah disediakan bagi menarik syarikat-syarikat ICT ke MSC.  Sehingga September 2000, 563 syarikat telah diberikan taraf MSC, termasuk 48 syarikat bertaraf dunia, melebihi sasaran sebanyak 500 syarikat dan mendahului jadual yang ditetapkan pada tahun 2003.  Sehingga kini, syarikat-syarikat tersebut telah melabur RM6 bilion sementara eksport mereka telah meningkat lebih enam kai ganda daripada USD19 juta pada 1997 kepada USD127 juta pada 2000 dan dianggarkan meningkat lagi kepada USD260 juta pada tahun ini.  Selain itu, syarikat-syarikat ini juga telah membelanjakan 26% daripada keseluruhan perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).  Dari segi menjana pekerjaan, seramai 11, 911 pekerja telah diambil bekerja.  Daripada jumlah tersebut, 82.6% atau 9,842 merupakan pekerja-pengetahuan (K-workers) pada tahun 2000.  Jumlah ini dijangka meningkat kepada 14,438 dalam tahun 2001 di mana 12,169 adalah K-workers.
            Di Malaysia, dianggarkan kira-kira 200 buah syarikat berada di bawah industri kandungan multimedia kreatif MSC Malaysia termasuk yang terlibat dalam bidang animasi (Bernama, 8 Disember 2009).  Kesemua syarikat ini sangat memerlukan bantuan dan sokongan, terutamanya daripada kerajaan kerana sektor animasi di Malaysia masih belum kukuh seperti di Amerika Syarikat dan Jepun yang boleh beroperasi sendiri tanpa sokongan kerajaan.  Oleh itu penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bertujuan untuk memajukan bidang teknologi maklumat dan multimedia termasuk multimedia kreatif sememangnya sangat signifikan.  Peranan yang dimainkan oleh MSC mampu menjadi platform kepada industri animasi untuk meluaskan pemasaran produk mereka termasuk memasuki pasaran global.  Kejayaan animasi ”Upin dan Ipin” merupakan contoh terbaik yang boleh dilihat hasil inisiatif dan sokongan yang diberikan oleh MSC.  Animasi ini telah menjadi satu fenomena yang bukan sahaja di Malaysia, malahan di luar negara seperti Indonesia, Turki, Brunei dan Thailand.  Filem Geng:  Pengembaraan Bermula sahaja berjaya meraih kutipan RM6.3 juta hasil tayangan di pawagam (Maimunah, 2009) dan ini telah membawa satu fenomena baharu dalam industri animasi tempatan. 
Kejayaan tokoh IT seperti Shahril Ibrahim yang mencipta nama dalam bidang animasi komputer dan kesan khas di Hollywood seharusnya menjadi pembakar semangat untuk mengorak kejayaan.  Shahril Ibrahim merupakan seorang pakar komputer, animasi dan kesan khas.  Pengalamannya terlibat dalam industri hiburan dunia dengan menjadi antara penyumbang tenaga untuk sistem kesan khas bagi filem-filem terkenal Hollywood seperti Species, Outbreak, Drop Zone, Waterworld dan Air Force One membuktikan tiada yang mustahil bagi anak tempatan untuk berjaya.  Shahril juga pernah berkhidmat di agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA dan terlibat dalam projek STARS.  Anak tempatan yang menetap di Amerika Syarikat ini tidak melupakan negara dari sanubarinya, dan beliau kini sedang membangunkan konsep pembangunan Sosial Multimedia iaitu penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di negara ini.  Beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Media Super Collider iaitu antara syarikat terawal terlibat dengan projek Koridor Raya Multimedia (Utusan, 29 Ogos 2001).

3.1  Cadangan Untuk Penambahbaik Koridor Raya Multimedia (MSC)
Usaha-usaha Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk menyediakan landasan dan persekitaran yang diperlukan untuk meningkatkan pembangunan industri ICT perlu dipergiatkan lagi.  Penggunaan ICT perlu diperkembangkan seluasnya dalam perdagangan, industri, pendidikan, kesihatan serta dalam semua aspek kehidupan.  Keutamaan perlu diberikan kepada usaha peluasan infrastruktur di kawasan luar bandar dan terpencil bagi meluaskan kebolehcapaian infrastruktur komunikasi. 
Oleh itu peruntukan tambahan perlu disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan akses kepada infrastruktur ICT dari segi perkhidmatan telefon asas, telefon awam berbayar dan internet terutamanya di kawasan luar liputan.  Peruntukan ini membolehkan sebahagian besar daerah serta sekolah, klinik dan perpustakaan di luar bandar dilengkapi dengan akses kepada talian tetap, telefon awam berbayar dan internet. Dalam usaha untuk mempercepatkan peluasan infrastruktur dan meningkatkan kadar penembusan ICT kepada masyarakat awam termasuk di kawasan luar bandar dan kawasan luar liputan, pihak swasta perlu digalakkan untuk memanfaatkan penggunaan teknologi wayar dan tanpa wayar bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara.
Bagi memastikan setiap warga Malaysia berkongsi manfaat daripada ekonomi berasaskan pengetahuan, beberapa usaha perlu diambil untuk mengurangkan jurang digital dalam masyarakat.  Antara strategi yang boleh diambil ialah pelaksanaan pelan infrastruktur untuk akses menyeluruh serta menyediakan perkhidmatan dan produk ICT yang bersifat mampu milik.  Bagi tujuan tersebut, beberapa inisiatif perlu diambil termasuk menubuhkan telecentre di kawasan luar liputan, semakan semula tarif langganan telefon dan internet serta menggalakkan pemilikan komputer peribadi (PC).  Di samping itu, bagi menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan dan kemudahan ICT, usaha juga perlu diambil untuk membangunkan kandungan dan aplikasi dalam talian yang khusus.  Antara langkah yang boleh diambil untuk merapatkan jurang digital di kalangan komuniti luar bandar ialah menubuhkan Pusat Internet Desa, Medan Info Desa, Pusat Akses Komuniti, Kelas Literasi Komputer dan sebagainya.  Penubuhan pusat-pusat akses dan kelas komputer dapat membantu meningkatkan pendidikan komputer dan mengupayakan komuniti luar bandar mendapat akses dan menggunakan maklumat bagi mengembangkan taraf sosial dan ekonomi mereka.
Sungguhpun usaha gigih telah dijalankan namun masih terdapat kekurangan personel berkaitan ICT dalam bidang khusus.  Ini menunjukkan ketidaksepadanan antara penawaran dengan permintaan bagi set kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri.  Oleh itu, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja ICT berkemahiran tinggi seperti pereka dan juruanalisis sistem komputer, pengatur cara komputer dan juruteknik sokongan komputer, kerajaan perlu menimbangkan untuk menambahkan pengambilan pelajar dalam bidang-bidang tersebut.  Pelbagai program perlu dilaksanakan bagi menggalakkan IPT serta institusi latihan lain bekerjasama dengan industri bagi memastikan kesesuaian kemahiran yang diperoleh relevan dan boleh dipasarkan.  Selain daripada latihan khusus di institusi, pihak industri juga perlu menyediakan latihan peningkatan kemahiran dalam perkhidmatan dan latihan di peringkat tinggi dalam perkhidmatan secara berterusan yang menyumbangkan kepada peningkatan pengetahuan ICT serta tahap kemahiran tenaga kerja.

 KESIMPULAN
Sejak wujudnya Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri keempat Malaysia, Tun Dr Mahatir Mohamad, banyak manfaat yang diperoleh oleh negara kita.  Ia adalah sebuah rancangan kerajaan ke arah kecanggihan teknologi maklumat, yang juga bertujuan untuk menarik syarikat-syarikat dengan pengecualian cukai kerajaan sementara serta kemudahan-kemudahan lain seperti internet yang berkelajuan tinggi dan lokasinya yang berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa (KLIA).  Dengan adanya projek ini, ia akan melancarkan lagi teknologi dalam pekerjaan dan wujudnya projek ini akan mengurangkan pengangguran dalam negara.  Projek ini juga akan memudahkan pelabur asing masuk ke dalam negara dan akan menjana teknologi yang lebih maju dan membuka peluang pekerjaan di negara kita.
            MSC yang dibangunkan untuk kemajuan teknologi ini akan merancakkan bidang pekerjaan dengan menjadikan teknologi di pejabat lebih cekap dan maju.  Syarikat dapat memasarkan atau memperkenalkan produk dengan lebih cekap disebabkan teknologi internet.  Produk sesebuah syarikat dapat dipasarkan lebih cekap dan ini akan memudahkan pemasaran di tahap global.  Selain itu, dengan adanya teknologi yang dibangunkan kerajaan ini akan mempercepatkan sesebuah industri kecil dan sederhana (IKS) memperkenalkan produk mereka untuk merentasi sempadan dan negara.  kerajaan membangunkan projek ini adalah untuk menjadikan Malaysia setaraf dengan negara maju dan tidak mahu ketinggalan dari segi kemajuan teknologi.
Setelah hampir 17 tahun diaplikasikan, Koridor Raya Multimedia (MSC) telah mencapai satu tahap yang boleh dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.  Malaysia telah berjaya meningkatkan kandungan maklumat dan pengetahuan dalam semua sektor ekonomi serta berusaha memastikan semua kumpulan masyarakat termasuk komuniti luar bandar mendapat manfaat daripada ICT.  Dalam menuju ke arah masyarakat berasaskan pengetahuan, Malaysia akan mengambil faedah daripada persekitaran rangkaian seiring dengan peluasan MSC yang seterusnya termasuk pembangunan bandar siber dan pusat siber yang dikenal pasti sesuai.  Usaha tersebut bertujuan mengukuhkan lagi ICT sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjanaan kekayaan dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab destinasi multimedia global yang berdaya saing.

2, 859 patah perkataan


RUJUKAN


Hashim Makaruddin & Mokhtar Ahmad.  (2003).  Globalisasi, Perkongsian Pintar
           dan Kerajaan.  Kuala Lumpur:  Percetakan Cergas (M) Sdn Bhd.

Maimunah Alias(2009). Geng Cetus Fenomena Luar Biasa.  Sinema Malaysia. 4 September.
            http://www.sinemamalaysia.com.my/main/article/GENG_Cetus_Fenomena_Luar_
            Biasa_2767

Omar Zakaria et. al.  (2008).  Teknologi Makumat dalam Pendidikan.  Selangor Darul  
Ehsan:  OUM.

Deraf Pertama Dasar Industri Kreatif Siap Jun Tahun Depan. (2009). Bernama.com.8 
Disember. http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=460961

http://www.ukm.my/penerbit/sari22-05.pdf   (Diakses pada 10 Mac 2013)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Cyberjaya (Diakses pada 10 Mac 2013)

http://jpmm.um.edu.my/filebank/articles/2722/JPMM2010_No2_FadliAbdullah&Md
SidinAhmadIshak.pdf  (Diakses pada 10 Mac 2013)

http://www.treasury.gov.my/pdf/ekonomi/le/0102/Bab1.pdf (Diakses pada 09 Mac 2013)

http://www.tajino.net/profile/interviews/utusan_290801.htm (Diakses 10 Mac 2013)






No comments:

Post a Comment