Wednesday, 14 August 2013

BBPM2103 - Pengurusan Pemasaran I

Unsur Pemasaran Dalam Organisasi
(Semester Mei 2013)




1.0  pengenalan
Pengurusan pemasaran merupakan gabungan dua disiplin yang utama, iaitu pengurusan dan pemasaran.  Menurut Stoner et. al (dalam Zahari Mohamad et. al, 2011), pengurusan merupakan satu proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan terhadap tugas dan tanggungjawab ahli-ahli dalam organisasi dan penggunaan semua sumber yang dimiliki untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.  Manakala pemasaran menurut Kotler (dalam Zahari Mohamad et. al, 2011) merupakan satu proses perancangan dan pelaksanaan konsepsi, perletakan harga, promosi dan pengedaran idea, barangan dan perkhidmatan untuk menghasilkan pertukaran yang dapat memuaskan individu dan memenuhi matlamat organisasi.
Campuran pemasaran (marketing mix) merujuk kepada unsur strategi utama yang perlu direka bentuk dan diurus oleh pemasar bagi menghasilkan proses pertukaran nilai yang memaksimumkan kepuasan pengguna.  Berdasarkan unsur-unsur di dalam campuran pemasaran,  pemasar boleh melakukan aktiviti-aktiviti pemasaran untuk mempengaruhi permintaan terhadap produknya.  Campuran pemasaran dibentuk oleh empat unsur iaitu produk, perletakan harga, pengagihan dan promosi atau lebih dikenali sebagai 4P.  Produk merupakan tawaran pemasar untuk dilihat (peragaan), dicuba dan digunakan untuk tujuan peribadi, isi rumah, pengeluaran atau jual semula.  Terdapat dua kategori utama dalam produk iaitu, produk ketara (tangible) dan tidak ketara (intangible).  Produk ketara dikenali sebagai ’barangan’ manakala produk tidak ketara dikenali sebagai ’perkhidmatan’. 
Perletakan harga merujuk kepada pengurusan harga akhir yang dipilih oleh pemasar.  Keputusan tentang perletakan harga lazimnya dipengaruhi oleh tiga perkara utama iaitu, kos, pengguna dan pesaing.  Produk yang telah siap dan dipadankan dengan tingkat harga perlu disalurkan ke pasaran menerusi sistem yang dikenali sebagai saluran pengagihan untuk memudahkan produk diperoleh oleh pengguna.  Terdapat dua keputusan penting dalam saluran pengagihan iaitu keputusan tentang bentuk saluran dan pengurusan saluran.  Promosi merupakan satu lagi unsur yang penting dalam campuran pemasaran.  Unsur ini digunakan untuk memberitahu, menyuruh dan mengingatkan pengguna tentang kewujudan sesuatu produk.  Kaedah-kaedah promosi seperti pengiklanan, promosi jualan, jualan perorangan, perhubungan awam dan publisiti atau lebih dikenali sebagai campuran promosi, perlu diurus bagi memastikan kejayaan menyeluruh untuk mempengaruhi pengguna. 

2.0  Samsung 
Samsung pada awal penubuhannya pada tahun 1938 hanyalah sebuah kedai runcit yang diusahakan oleh Lee Byung-chul.  Ibu pejabat Samsung dipindahkan ke Seoul pada tahun 1947 apabila perniagaan Lee bertambah maju.  Apabila perang Korea meletus, Lee terpaksa meninggalkan perniagaannya.  Lee tidak pernah berputus asa dan apabila perang Korea tamat, beliau membuka kilang penapisan gula dan kilang bulu.  Pada tahun 1960-an, Lee agak bernasib baik kerana Presiden Korea telah melaksanakan polisi untuk melindungi firma-firma perniagaan seperti Samsung.  Syarikat asing tidak dibenarkan menjual barang-barang elektronik di Korea.  Langkah ini telah memberikan Samsung kelebihan dalam perniagaan barang-barang elektronik kerana tidak ada pesaing selama 18 tahun semasa era pemerintahan Presiden Park Chung-hee.

3.0  Samsung dan Unsur Campuran Pemasaran
Persaingan dalam pasaran telefon pintar begitu sengit pada hari ini.  Di Malaysia, jenama telefon pintar yang mendominasi pasaran ialah produk-produk yang dikeluarkan oleh Samsung, Apple dan BlackBerry yang sarat dengan ciri-ciri pintar, malah dianggap mampu menggantikan fungsi komputer riba. 

3.1  Produk
Produk boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang ditawarkan kepada pasaran untuk perhatian, pemilikan atau penggunaan yang dapat memuaskan sesuatu keperluan atau kehendak.  Produk boleh bersifat ketara seperti sebuah telefon pintar atau tidak ketara seperti perkhidmatan atau idea seperti kitar semula atau kombinasi ketiga-tiga elemen itu.  Pembungkusan, stail, warna, pilihan dan saiz adalah antara ciri rupa produk.  Bagi sifat tidak ketara seperti perkhidmatan, imej penjual, reputasi pengeluar dan cara pengguna percaya tentang pandangan orang lain, memainkan peranan yang penting dalam ciri rupa produk.  

Samsung Galaxy S4

Produk boleh diklasifikasikan sama ada produk perniagaan atau produk pengguna, bergantung kepada niat pembeli.  Perbezaan antara kedua-dua jenis ialah tujuan penggunaan.  Sekiranya produk dibeli untuk kegunaan perniagaan, produk itu ialah produk perniagaan.  Sekiranya produk dibeli untuk memuaskan keperluan peribadi pengguna, ia merupakan produk pengguna.  Ahli pemasaran perlu tahu bagaimana untuk mengklasifikasikan produk kerana produk perniagaan dan produk pengguna dipasarkan dengan cara yang berbeza.  Produk ini dipasarkan kepada pasaran sasar yang berlainan dan menggunakan strategi pengagihan, promosi dan penentuan harga yang berbeza.  Terdapat pelbagai cara untuk mengkategorikan produk pengguna.  Walau bagaimanapun, cara yang paling popular adalah dengan membahagikan produk-produk ini ke dalam empat jenis iaitu produk mudah beli, produk membeli-belah, produk istimewa dan produk tak dicari.
Kejayaan mana-mana perniagaan atau produk pengguna bergantung kepada kemampuan pasaran sasar membezakan satu produk daripada produk yang lain.  Penjenamaan ialah satu alat utama yang digunakan oleh ahli pemasaran untuk membezakan produk mereka daripada produk yang ditawarkan oleh pesaing.  Samsung mendapat faedah yang besar hasil daripada penjenamaan semula telefon pintarnya.  Hampir kesemua telefon pintarnya dikenali dengan nama Samsung Galaxy, satu jenama yang menjadi idaman semua peminat telefon pintar di seluruh dunia.  Penjenamaan Samsung Galaxy adalah satu proses mengkomunikasikan kualiti produk dengan menggabungkan beberapa simbol tertentu yang terdiri daripada nama, lambang, dan rekabentuk.  Kombinasi semua simbol ini menjadikan produk telefon bimbit Samsung berbeza daripada produk-produk lain.  Dengan wujudnya jenama Samsung Galaxy, para pengguna yang berminat dengan produk ini akan mencarinya dengan hanya mengingati namanya. 
Penjenamaan semula telefon pintar Samsung kepada Samsung Galaxy menampakkan hasil yang memberangsangkan apabila dua produk telefon pintar Samsung mencatatkan jualan paling laris di pasaran.  Produk-produk tersebut ialah Samsung Galaxy S4 dan Samsung Galaxy S3. Samsung Electronics mengumumkan telefon pintar terbaru keluarannya, Galaxy S4 menjadi peranti paling laris dalam sejarah produknya apabila terjual melebihi 10 juta unit dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan (www.bharian.com.my, 14 Jun 2013).  Model terdahulu iaitu Samsung Galaxy S3 mengambil masa 50 hari untuk mencatatkan jumlah jualan berkenaan.  Samsung sehingga kini dipercayai sudah menjual kira-kira 60 juta unit telefon pintar popular Galaxy S3 sejak diperkenalkan kepada umum pada bulan Mei 2012.  Samsung Galaxy S4 sehingga kini sudah dijual di lebih 60 buah negara dan Samsung merancang meluaskan lagi jualannya menerusi kerjasama dengan 327 syarikat telekomunikasi di 155 buah negara menjelang bulan Julai 2013.  Penganalisis menjangkakan Samsung akan terus merekodkan jualan hebat menerusi S4 sekali gus mengukuhkan lagi prestasi mantap model Galaxy sejak diperkenalkan dalam pasaran peranti pintar mewah pada 2010.

3.2  Perletakan Harga
Perletakan harga adalah unsur kedua dalam campuran pemasaran selepas produk.  Perletakan harga ialah proses menentukan apa yang bakal organisasi terima sebagai balasan kepada faedah yang dinikmati oleh pengguna kerana penggunaan atau pemilikan sesuatu produk.  Harga pula secara mudah dapat ditakrif sebagai nilai dalam bentuk wang yang dikenakan ke atas produk yang ditawarkan oleh pemasar.  Harga ditentukan setelah produk tersedia untuk dipasarkan.  Secara umumnya, perletakan harga dibuat untuk mencapai keuntungan maksimum.  Ini adalah objektif yang ditetapkan oleh hampir kesemua pemasar.  Mereka akan membuat anggaran kuantiti permintaan dan juga kos yang akan terlibat dalam menghasilkan produk atau perkhidmatan berdasarkan pelbagai peringkat harga.  Selepas itu, harga yang akan dapat memberikan keuntungan maksimum kepada organisasi akan dipilih sebagai harga produk. 
Terdapat beberapa taktik perletakan harga iaitu pembarisan harga (price lining), harga psikologi, harga diskaun, harga keluaran optimum (optimal-product pricing), harga keluaran tertawan (captive-product pricing) dan harga pukal (bundle pricing).  Organisasi besar seperti Samsung boleh memilih taktik pembarisan harga sebagai taktik perletakan harga bagi produknya.  Taktik ini bermaksud menetapkan beberapa peringkat harga yang terhad bagi kategori keluaran tertentu.  Pada masa sekarang, organisasi-organisasi pengeluar telefon pintar (smart phone) seperti Nokia, Sony, Apple, Samsung dan sebagainya sedang berlumba-lumba untuk menakuki pasaran.  Organisasi-organisasi ini bersaing sesama sendiri untuk menghasilkan produk yang canggih untuk menawan hati para pengguna.  Dalam perlumbaan ini, Samsung boleh memasar dan melariskan produk telefon pintarnya dengan mengeluarkan versi yang sesuai untuk setiap golongan pengguna.  Hampir semua produk Samsung menggunakan platform Android sebagai sistem operasi untuk telefon pintarnya. Platform Android dibangunkan oleh Google dan sentiasa menerima pembaharuan dari segi firmware yang bermula dengan Android versi 1.5 (Cupcake) dan terkini 4.2 (Jelly Bean) (Majalah PC, Januari 2013).
            Perletakan harga untuk setiap versi telefon pintar yang dikeluarkan oleh Samsung adalah berdasarkan kepada versi Android dan beberapa spesifikasi utama yang ditonjolkan oleh setiap telefon pintar tersebut.  Samsung meletakkan harga RM1999 untuk telefon pintar popularnya iaitu Samsung Galaxy Note II N7100 dan ini sesuai untuk golongan eksekutif dan berpendapatan tinggi (Majalah PC, Jun 2013).  Versi ini menggunakan Android 4.1 (Jelly Bean) sebagai sistem operasinya dan turut menyokong kemas kini Android 4.2.  Salah satu keistimewaan telefon pintar ini ialah kewujudan S-pennya yang berupaya menjadi pen tulis pada permukaan telefon tanpa menggunakan keypad.  Samsung turut memperkenalkan Samsung Galaxy Ace Plus untuk menarik minat golongan yang berpendapatan sederhana.  Nilai untuk telefon pintar ini ialah RM699.  Walaupun telefon ini bersandarkan platform Android 2.3 (Gingerbread), ia tetap menampilkan ciri-ciri lengkap sebagai sebuah telefon pintar.  Telefon ini dilengkapi dengan paparan skrin yang sederhana besar iaitu 3.65 inci, pemprosesan yang lebih pantas iaitu 1 GHz dan memori dalaman bersaiz 3GB.  Samsung turut memperkenalkan versi telefon pintar yang sesuai untuk golongan pelajar dan berpendapatan rendah iaitu Samsung Galaxy Y S5360 dengan nilai pasaran RM399.  Sistem operasi untuk telefon ini ialah Android 2.3 (Gingerbread).  Versi ini tidak secanggih  Samsung Galaxy Ace Plus dan Samsung Galaxy Note II N7100 tetapi ia masih mampu untuk melayari internet.
            Berdasarkan kepada contoh-contoh di atas, kita dapati harga telefon pintar berubah mengikut versi Android, ciri-ciri dan juga kualitinya.  Harga yang ditetapkan oleh Samsung untuk setiap versi produknya itu mestilah ditanggap oleh pengguna sesuai dengan faedah yang bakal mereka nikmati setelah menggunakan telefon pintar tersebut.  Sekiranya harga yang ditawarkan cuma berbeza sedikit, pengguna mungkin membeli telefon bimbit yang lebih canggih tetapi sekiranya perbezaannya besar, maka mereka cenderung untuk memilih telefon pintar yang sesuai dengan kemampuan kewangan mereka.

3.3  Promosi
Promosi ialah satu bentuk usaha pemasar mengkomunikasikan maklumat tentang produknya kepada para pengguna.  Oleh kerana ia adalah satu proses komunikasi, promosi melibatkan elemen-elemen komunikasi seperti penghantar dan penerima.  Usaha promosi dilakukan melalui campuran promosi yang terdiri daripada pengiklanan, promosi jualan, jualan persendirian dan publisiti.  Promosi adalah elemen yang penting kepada pemasar.  Ia membantu pemasar mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.  Ia dapat dicapai melalui penyaluran maklumat tentang pemasar dan produknya kepada pengguna.  Maklumat dari promosi akan menyedarkan pengguna tentang kewujudan produk di pasaran, berpengetahuan tentang produk yang ditawarkan, memujuk pengguna supaya menggemari produk dan seterusnya membeli produk tersebut. 
Promosi juga digunakan untuk menambah nilai kepada produk.  Nilai ditambah amat perlu terutamanya bagi sesuatu produk yang mempunyai harga yang rendah, supaya ianya nampak ekslusif dan mampu menarik perhatian pengguna.  Contohnya, dalam pengiklanan telefon pintar Samsung Galaxy Y (Young), Samsung boleh memberi penekanan kepada gaya hidup remaja masa kini yang dinamis dan ceria.  Telefon Samsung Galaxy Y merupakan antara telefon pintar yang paling murah dalam pasaran.  Telefon pintar ini disasarkan kepada pengguna remaja dan pengguna awal peranti pintar.  Iklan untuk mempromosikan telefon ini boleh menggambarkan golongan muda yang boleh berhubung walau di mana sahaja mereka berada.  Ia juga dilengkapi dengan sistem operasi Android terkini dengan aplikasi menarik seperti muzik dan video, muat turun yang lebih pantas, sambungan Wi-Fi, akses aplikasi berasaskan web dan mobile internet dengan lebih mudah untuk generasi baru yang selalu bergerak dan mementingkan hiburan. Walaupun harga Samsung Galaxy Y adalah murah, namun kreativiti pengiklan dapat mewujudkan nilai-nilai sampingan dari produk tersebut.  Akhirnya, telefon pintar Samsung yang diperkenalkan dengan harga bersifat ’mampu milik’ akan dilihat sebagai sesuatu yang berharga dan ini adalah penambahan nilai pada keluaran tersebut.
            Pemasar seperti Samsung boleh menggunakan pengiklanan sebagai salah satu bentuk promosi untuk memperkenal dan melariskan produknya dalam pasaran.  Pengiklanan boleh ditakrifkan sebagai sebarang bentuk persembahan maklumat yang terkawal dan bukan secara peribadi, mengenai keluaran yang ditaja oleh organisasi tertentu untuk memberitahu dan meyakinkan sasaran pasaran (Darinah, 1988).  Secara ringkasnya, pengiklanan adalah satu bentuk komunikasi yang bebas daripada unsur-unsur peribadi dan dibayar oleh pihak tertentu untuk menyebarkan maklumat berkaitan produk.  Iklan boleh disalurkan kepada pengguna melalui beberapa media. Media pengiklanan adalah pengantara atau alat yang akan digunakan untuk mengiklan produk.  Dalam pasaran terdapat pelbagai bentuk media pengiklanan yang merangkumi media cetak dan media elektronik seperti majalah, televisyen, pengiklanan luar, internet, pengiklanan maya dan sebagainya.
            Majalah boleh dikelaskan kepada pelbagai peringkat seperti majalah pengguna am, majalah mengikut jantina, majalah sukan, majalah perdagangan dan majalah hiburan.  Majalah mempunyai jangkahayat yang lebih panjang berbanding suratkhabar.  Majalah mengizinkan pengiklannya mempromosikan produk terus kepada audien sasarannya mengikut kategori yang dipilih.  Contohnya, untuk mengiklankan telefon pintar, Samsung boleh memilih majalah Ering dan majalah PC.  Kedua-dua majalah ini memberikan informasi terkini mengenai telefon bimbit dan komputer yang berada dalam pasaran.  Iklan dalam majalah juga lebih menarik kerana majalah dicetak menggunakan kertas yang bermutu tinggi.  Oleh kerana majalah mempunyai jangka hayat yang panjang, pendedahan iklan kepada pembaca adalah lebih lama dan meluas sehingga membolehkan iklan tersebut kekal dalam fikiran pembaca.
             Samsung juga boleh memilih televisyen sebagai media untuk mengiklankan produk telefon pintarnya.  Televisyen adalah satu media pengiklanan yang dapat menarik minat dan perhatian pengguna melalui penglihatan dan pendengaran.  Gabungan warna, pergerakan dan bunyi-bunyian menjadikan iklan di televisyen lebih menarik daripada iklan dalam media cetak.  Ia juga mempunyai liputan yang meluas di mana hampir kesemua isirumah kini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah set televisyen.  Selain itu pengiklan boleh memilih masa siaran yang sesuai dengan pasaran sasaran.  Sebagai contoh, Samsung boleh memilih waktu perdana untuk mengiklankan produk terbarunya, iaitu pada pukul 8.00 malam ke atas.  Waktu perdana adalah masa yang paling sesuai untuk mengiklankan produk kerana pada masa ini hampir kesemua golongan penonton akan berada di hadapan televisyen.  Selain daripada televisyen, Samsung boleh menggunakan khidmat pengiklanan luar.  Media yang dimaksudkan adalah seperti iklan-iklan di dinding bangunan, badan bas, teksi, papan iklan manual atau elektronik dan juga sepanduk yang digantung pada tiang-tiang lampu, diterbangkan oleh pesawat kecil atau berbentuk belon besar.  Pengiklanan sebegini dikatakan tidak terlalu mahal dan dapat menarik perhatian pengguna.  Semasa iklan dipaparkan, tidak terdapat iklan pesaing bersamanya.  Ini memudahkan pengguna mengingati produk yang diiklankan.
            Internet adalah antara media pengiklanan terbaru yang berada di pasaran.  Iklan dipaparkan di komputer melalui talian telekomunikasi.  Samsung merupakan antara organisasi besar yang menggunakan internet sebagai salah satu media pengiklanan produknya.  Melalui internet, pengiklan bukan sahaja mengiklankan produk tetapi ia membenarkan pengguna membuat pesanan secara talian terus melalui laman sesawang yang disediakan.  Penggunaan internet sememangnya baik kerana pengiklan boleh mengubahsuai  kandungan mesej iklan pada bila-bila masa apabila dirasakan perlu berbuat demikian.  Pengiklan juga boleh mengetahui bilangan audien yang telah melayari laman sesawang mereka.  Laman sesawang boleh dibina sendiri oleh pengiklan dan ia hanya melibatkan kos yang kecil.
        Selain daripada internet, Samsung juga boleh memilih pengiklanan maya untuk mempromosikan produknya kepada pengguna.  Pengiklanan maya menggunakan implan digital sesuatu jenama seperti Samsung dan disiarkan bersama-sama rancangan lain.  Samsung boleh melibatkan organisasinya dalam penajaan sesuatu temasya sukan, contohnya Sukan Sea di Asia Tenggara.  Pengguna di negara-negara Asia Tenggara dapat melihat  pengiklanan maya di kaca televisyen semasa Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Sea.  Semasa siaran langsung tersebut sedang ditayangkan, pengguna dapat melihat imej yang tertera produk terkini Samsung bersama penaja-penaja rasmi sukan Sea yang lain di kaca televisyen.  Pengiklanan maya ini tidak mengganggu rancangan yang sedang disiarkan kerana ia menjadi sebahagian daripada rancangan itu.  Ini bermakna, kadar tumpuan penonton terhadap iklan yang disiarkan adalah sama seperti kadar tumpuan mereka terhadap rancangan yang ditonton.

3.4  Pengagihan
Pengagihan merupakan campuran pemasaran yang terakhir.  Pengagihan merujuk kepada aktiviti organisasi mengagihkan produk kepada pengguna sasaran melalui penggunaan saluran agihan.  Melalui usaha pengagihan, pengguna tidak perlu bertemu dengan setiap pengeluar untuk mendapatkan produk yang diperlukan.  Mereka sebaliknya boleh membeli produk daripada peruncit atau pemborong yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. 
Saluran agihan adalah jaringan tugas yang menunjukkan keadaan organisasi yang saling bergantungan dalam aktiviti mengagihkan produk daripada pengeluar kepada pengguna akhir.  Orang tengah adalah individu atau firma yang membantu mengedarkan produk yang dihasilkan oleh pengeluar.  Agen adalah orang tengah yang bebas dan mewakili banyak pengeluar dan menjual produk kepada pemborong dan peruncit.  Pemborong adalah orang tengah yang membeli produk peniaga lain dalam kuantiti yang besar dan memecahkannya dalam kuantiti yang kecil untuk dijual kepada pengguna atau peruncit.  Peruncit pula adalah orang tengah yang membeli produk dalam kuantiti yang kecil dan menjual produk terus kepada pengguna akhir.
            Terdapat beberapa strategi pengagihan yang boleh dipilih oleh organisasi besar seperti Samsung dalam mengedar dan memasarkan produknya.  Salah satu daripadanya ialah menggunakan khidmat peruncit seperti peruncitan tanpa kedai.  Peruncitan tanpa kedai bermaksud peruncit yang menjual produk tanpa menubuhkan premis perniagaan yang boleh dikunjungi oleh pengguna ketika hendak membeli produk.  Antara contoh peruncitan tanpa kedai termasuklah pemasaran pesanan melalui pos (mail-order marketing), tele-pemasaran (telemarketing), pemasaran elektronik (electronic marketing) dan sebagainya.  Pemasaran melalui pos merupakan salah satu strategi pemasaran yang popular di Malaysia.  Pemasar hanya mengirimkan brosur atau katalog kepada pengguna individu yang telah dikenalpasti melalui hasil penyelidikan.  Samsung juga boleh mengiklankan di dalam akhbar dengan menyertakan borang pesanan khas yang memerlukan pengguna untuk mengeposkan borang pesanan tersebut untuk membeli produk yang diiklankan.
Tele-pemasaran juga sesuai untuk mengagihkan produk Samsung.  Tele-pemasaran merujuk kepada organisasi yang menjual produk melalui panggilan telefon yang dibuat oleh pembeli.  Pembeli akan memesan terus kepada penjual melalui panggilan telefon setelah melihat atau mendengar pengiklanan di televisyen.  Contohnya, Direct Response Televisyen (DRTV) yang aktif di Malaysia mengiklankan produk dalam dalam slot khas di rangkaian televisyen tempatan.  Pengguna yang berminat terhadap produk akan terus membuat panggilan telefon untuk pesanan.  Pemasaran yang tidak kurang pentingnya pada zaman ini ialah pemasaran elektronik.  Pemasaran ini melibatkan organisasi yang menggunakan kemudahan internet untuk mengiklankan produknya seperti Samsung.  Pengguna yang tertarik dengan produk akan membuat pesanan secara talian terus dengan melengkapkan makumat mengenai butir diri yang diperlukan. 

KESIMPULAN
Persaingan sengit dalam pasaran telefon pintar jelas dilihat daripada kes saman Apple terhadap Samsung yang dituduhnya meniru produk Apple iPhone dan iPad.  Mahkamah San Jose, California memerintahkan syarikat Korea Selatan itu membayar pampasan sebanyak AS$1.05 billion (RM3.15 billion) pada 24 Ogos 2012 (www.utusan.com.my).  Juri-juri telah memutuskan bahawa Samsung telah melanggar paten produk Apple untuk produk iPhone dan iPad pada fungsi ’rubber-banding’, fungsi ’tap-to-zoom’, ’graphic user interface’ dan reka bentuk beberapa produk Apple.  Pencabulan ini telah dilakukan pada beberapa produk Samsung yang telah memasuki pasaran.
            Apple yang diasaskan oleh mendiang Steve Jobs turut menuntut agar lapan produk Samsung diharamkan daripada dijual di Amerika Syarikat dan perbicaraannya dijadual pada 6 Disember 2013.  Pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh para penganalisis industri berhubung kemenangan Apple tersebut.  Presiden Creative Strategies Corp., Tim Bajerin dalam majalah TIME mengaitkan tindakan perundangan Apple itu dengan kemarahan Steve Jobs terhadap Google berhubung rekaan perisian Android yang didakwa diciplak daripada Apple.  Menyaman Google mungkin lebih sukar, maka Apple memilih untuk menyaman pemegang lesen Android berprofil tinggi, iaitu Samsung.           Pakar paten, Thomas Frey dari Institut DaVinci di Louisville, Colorado berpendapat para pengguna telefon pintar tidak akan peduli sangat perihal kes saman tersebut.  Ini terbukti dengan laporan IDC (www.idc.com) yang mendapati Samsung terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran telefon pintar.
            Laporan pihak IDC mengatakan pada suku pertama 2013 sahaja pihak Samsung telah mengeluarkan lebih 115 juta unit telefon mudah-alih, dan ini telah menjadikan Samsung masih kekal pendahulu dalam industri ini.  Pada tempat kedua adalah Nokia dengan 61.9 juta unit, Apple 37.4 juta dan pada tempat keempat adalah LG dengan 15.4 juta unit.  Walaupun kalah dalam kes saman tersebut, Samsung masih terus unggul dan produktif dalam meluaskan pasaran produknya.  Survival perniagaan Samsung yang cemerlang ini adalah bertitik tolak daripada keupayaan dan kecekapannya mengurus setiap unsur dalam campuran pemasaran.  Untuk menghasilkan tawaran yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak pengguna telefon pintar, Samsung telah mengurus semua unsur iaitu produk, perletakan harga, pengagihan dan promosi dalam campuran pemasaran secara seimbang.

3, 104 patah perkataan

RUJUKAN

Darinah Ahmad.  (1988).  Pengiklanan dan Promosi Jualan.  Petaling Jaya:  Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Zahari Mohamad et.al.  (2011).  Marketing Management I.  Selangor Darul Ehsan: 
OUM.
Zafir Mohd Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun.  (2003).  Asas Pemasaran.  Kuala
Lumpur:  Leeds Publications.
Zaharah Bakar.  (2003).  Asas Pemasaran.  Kuala Lumpur:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. 
Bhd.
Platform Android Jadi Pilihan.  Majalah ERing.  Januari 2013.
Smart Guide.  Majalah Ering.  Jun 2013.
www.usahawan.com/sejarah/kisah-bagaimana-25-jenama-terkenal-antarabangsa-
bermula.html (Diakses pada 10 Jun 2013)
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120902/re_10/Implikasi-Apple-lawan-
Samsung (Diakses pada 12 Jun 2013)
http://www.idc.com/getdoc.jsp?containerId=prUS24085413  (Diakses pada 12 Jun 2013)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Samsungjuallebih10jutaGalaxyS4/Article/ 
(Diakses pada 14 Jun 2013)

2 comments: