Wednesday, 11 June 2014

BBPM2203 - PENGURUSAN PEMASARAN II

LAPORAN PEMBANGUNAN PRODUK BARU


1.0  pendahuluan
Pengurussan pemasaran merupakan gabungan dua disiplin yang utama, iaitu pengurusan dan pemasaran.  Menurut Stoner et. al (dalam Zahari Mohamad et. al, 2011), pengurusan merupakan satu proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan  dan pengalaman terhadap tugas dan dan tanggungjawab ahli-ahli dalam organisasi dan penggunaan semua sumber yang dimiliki untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.  Manakala pemasaran menurut Kotler (dalam Zahari Mohamad et. al, 2011)  merupakan satu proses perancangan dan pelaksanaan konsepsi, perletakan harga, promosi dan pengedaran idea, barangan dan perkhidmatan untuk menghasilkan pertukaran yang dapat memuaskan individu dan memenuhi matlamat organisasi.

Laporan pembangunan produk baru ini bertujuan melihat keadaan pasaran bagi sebuah produk terbaru untuk sebuah syarikat pengeluar telefon mudah alih yang terkemuka di dunia.  Produk baru ini merujuk kepada pengenalan telefon pintar yang lebih relevan dalam pasaran dunia.  Syarikat kaji selidik antarabangsa, iaitu Nielson menyatakan pemilikan dan penggunaan telefon pintar dalam kalangan rakyat Malaysia dijangka akan berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang.  Kajian yang dijalankan menunjukkan kadar peningkatan telefon pintar di Malaysia adalah 27% pada suku pertama 2012.  36% daripada pemilik telefon pintar di Malaysia terdiri daripada individu yang berumur 25 hingga 34 tahun.  58% daripada pengguna telefon bimbit di Malaysia merancang untuk membeli telefon baru yang lebih baik dalam masa 6 bulan akan datang.  Apa yang menarik daripada kajian tersebut ialah, 79% daripada mereka mengidamkan telefon pintar.
  
Laporan pemasaran mengenai pembangunan telefon pintar ini merujuk kepada pengeluar telefon mudah alih yang terkemuka di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa, iaitu Nokia.  Laporan ini akan membincangkan mengenai enam peringkat dalam pembangunan produk baru telefon pintar.  Enam peringkat tersebut ialah penghasilan idea, penapisan idea, analisis perniagaan, pembangunan prototaip, ujian pemasaran dan yang terakhir diperdagangkan.  Keperluan kepada laporan pemasaran ini adalah penting bagi menentukan kejayaan yang bakal dikecapi oleh syarikat dalam usaha membangunkan produk baru iaitu telefon pintar bagi pasaran semasa dan pada tahun-tahun akan datang.

2.0  Pengenalan Syarikat
”Kepuasan Pelanggan, Rasa Hormat, Pencapaian dan Pembaharuan” merupakan slogan dan nilai-nilai yang diguna dan diterapkan oleh Syarikat Nokia di dalam setiap produk dan perkhidmatan yang dihasilkannya.  Pada awal penubuhannya pada tahun 1865 di Finland, Syarikat Nokia hanyalah sebuah kilang pulpa yang ditubuhkan oleh Knut Fredrik Idestam, seorang Sweden – Finland.  Sebelum nama Nokia diguna pakai, nama asal syarikat ini ialah Bengkel Getah Finland (Finish Rubber Works).  Penubuhan seksyen elektronik dalam Bahagian Kabelnya pada dekad 1960-an merupakan satu titik permulaan kepada kecemerlangan dan penjenamaan semula Nokia.  Pada dekad 1970-an, Nokia mengembangkan operasi syarikatnya dalam industri telekomunikasi dengan memperkenalkan Nokia DX 200 iaitu sejenis suis digit untuk ibu sawat telefon.

Pada tahun 1982, suis DX 200 Nokia menjadi suis telefon digit yang pertama digunakan di dunia.  Pada tahun 1972, Nokia telah menerima satu tempahan yang menjadi pemangkin kepada kejayaan syarikat, iaitu permintaan daripada angkatan pertahanan Finland untuk radio lapangan mereka.  Pada dekad 1970-an, Nokia memulakan perkembangan telefon bimbit untuk piawai rangkaian NMT yang memulakan siarannya pada dekad 1980-an.  Penyertaan Nokia dalam perkembangan Sistem Sejagat untuk Komunikasi Mudah Alih (GSM) memberikan pengalaman yang amat bernilai terhadap syarikat ini.  GSM ialah piawai digit yang telah menguasai dunia telefoni mudah alih pada dekad 1980-an dan 1990-an, dengan lebih kurang dua billion pelanggan telefon bimbit (80% daripada seluruh pelanggan di dunia) di lebih 200 negara pada pertengahan 2006.

Telefon bimbit pertama yang membolehkan sambungan internet dan surat-e tanpa wayar adalah versi Nokia 9000 Communicator.  Telefon bimbit yang mempunyai fungsi PDA tersebut dipasarkan pada tahun 1996, dan versi ini telah mencipta kategori baru telefon mahal yang dikenali sebagai telefon pintar.  Syarikat Nokia juga pernah mencatatkan beberapa kejayaan istimewa.  Salah satu daripadanya ialah Nokia 1100, versi telefon bimbit bersifat mampu milik keluaran syarikat ini telah mencatat rekod sebagai telefon bimbit terlaris dalam pasaran dunia (Majalah Ering, bilangan 27, Julai 2007).  Jualan sedunianya telah melebihi 200 juta unit dalam masa 5 tahun dan ini juga merupakan rekod terbaru bagi produk elektronik.  Nokia merupakan pengeluar telefon bimbit terbesar, dengan menguasai 40% bahagian pasaran dunia pada tahun 2008.  Pengeluar telefon bimbit utama yang lain pada tahun tersebut ialah Samsung (14%), Motorola (14%), Sony Ericsson (9%) dan LG (7%) ( http://ms.wikipedia.org/wiki/Telefon_bimbit).

3.0 Enam Peringkat Dalam Pembangunan Produk Baru
Setelah mendominasi pasaran telefon bimbit terbesar di dunia, akhirnya kedudukan Nokia diambil alih oleh Syarikat Samsung, menurut firma penyelidikan, Gartner (www.utusan.com.my).   Hasil penyelidikan daripada firma tersebut, Samsung Berjaya menjual 86.6 juta telefon bimbitnya mengatasi Nokia yang hanya mencatatkan jualan sebanyak 83 juta unit dan Apple melalui jualan 33 juta unit iPhone keluarannya.  Kejayaan Samsung mengatasi Nokia ini disumbangkan oleh jualan telefon bimbit pintarnya dengan menyumbang 43.9% kepada jualan keseluruhan Samsung. 
 
Laporan pihak IDC (www.idc.com)  juga mendapati pada suku pertama 2013 sahaja pihak Samsung telah mengeluarkan lebih 115 juta unit telefon bimbit, dan ini telah menjadikan Samsung masih kekal pendahulu dalam industri ini.  Pada tempat kedua ialah Nokia dengan 61.9 juta unit, Apple 37.4 juta dan pada tempat keempat ialah LG dengan 15.4 juta unit.  Sekiranya ingin terus relevan, produktif dan berdaya saing dalam industri pemasaran telefon bimbit, Nokia perlu memberi perhatian yang serius ke atas pengeluaran telefon pintarnya.  Tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak syarikat ialah menjalani enam peringkat dalam pembangunan produk baru iaitu mencipta sebuah telefon pintar yang mampu menarik semua golongan pengguna gajet tersebut.
 
3.1 Penghasilan Idea
Setiap produk yang dihasilkan berasal daripada satu idea.  Penghasilan idea ialah satu proses mencari idea sebanyak yang mungkin.  Idea yang pelbagai dapat menghasilkan satu produk baru yang lebih kreatif, inovasi dan menarik.  Idea boleh diperolehi daripada sumber dalaman atau sumber luaran syarikat.  Lazimnya, idea diperolehi dari sumber syarikat itu sendiri iaitu idea daripada kalangan pekerja.  Idea yang diperolehi dari sumber luaran syarikat biasanya diceduk daripada pesaing, pelanggan, pengedar atau pembekal.  Syarikat Nokia boleh ‘meniru’ idea daripada pendahulu dalam penjualan telefon pintar ini iaitu Samsung.  Salah satu kelebihan telefon pintar produk Samsung ialah kerana sistem operasi (OS) yang digunakan iaitu Android.  Peningkatan jualan telefon pintar yang menjadi trend masa kini secara tidak langsung memperlihatkan platform Android menjadi pilihan kepada pengeluar dan juga pengguna telefon pintar.  

Sistem operasi Android mempunyai beberapa kelebihan, antaranya ialah ‘ringan’, mesra pengguna, dan kaya dengan aplikasi.  Aplikasi-aplikasi tersebut boleh dimuat turun secara percuma daripada ‘Playstore’.  Nokia menggunakan Symbian sebagai sistem operasinya.  Symbian mempunyai beberapa kekurangan yang tidak disenangi oleh pengguna.  Salah satu sebab utama sistem operasi ini tidak digemari ialah, Symbian merupakan sebuah sistem terbuka dan mudah diceroboh oleh virus yang boleh memudaratkan data dalam sesebuah telefon pintar.  Symbian juga agak ‘berat’ dan ia memerlukan kad memori yang besar untuk memasang aplikasi yang banyak pada sesebuah telefon bimbit pintar.  Nokia perlu menggantikan sistem operasi telefon pintarnya untuk menawan semula hati para peminatnya.  Langkah Syarikat Nokia memperkenalkan Lumia 800 pada penghujung tahun 2011 yang menggunakan sistem operasi Windows 7 merupakan satu langkah yang bijak.

3.2 Penapisan Idea
Setelah menjana pelbagai idea, proses seterusnya yang perlu dilakukan oleh Syarikat Nokia ialah menyaring idea-idea untuk memperoleh idea pembangunan produk yang lebih berkualiti.  Syarikat perlu menapis idea-idea yang telah dihasilkan untuk memastikan ia praktikal dan mendapat sambutan daripada pengguna apabila dilaksanakan. Antara kriteria asas yang digunakan untuk menilai idea-idea baru berkenaan ialah peluang pasaran, kos pelaburan, kemahiran pengeluaran dan pemasaran dan juga faktor-faktor lain.  Dalam perkara ini Nokia boleh mengikut jejak langkah Syarikat Samsung dalam usaha untuk ‘menawan’ pasaran telefon pintar.  Samsung berusaha untuk menarik semua golongan pengguna, sama ada daripada golongan yang berpendapatan tinggi, sederhana dan juga rendah.  Syarikat tersebut telah mengeluarkan beberapa versi telefon pintar yang bersifat mampu milik dengan harga yang berpatutan dan boleh dimiliki oleh setiap golongan pengguna.  Nokia telah melancarkan telefon pintarnya yang menggunakan sistem operasi Windows Phone 7 yang dikenali sebagai Nokia Lumia 800.  Telefon tersebut merupakan telefon pintar Nokia yang pertama menggunakan Windows Phone 7.  Kemunculan Nokia Lumia tersebut serba sedikit memberi saingan kepada pengeluar telefon pintar lain yang menggunakan sistem operasi seperti Android dan iOS. Harga pengenalan untuk Nokia Lumia 800 ketika diperkenalkan di Malaysia ialah RM1650.00.  Melihat kepada harga tersebut, nilainya bukanlah sesuatu yang mampu dibayar oleh semua golongan pengguna.  Oleh itu, Nokia memperkenalkan Nokia Lumia 620 iaitu sebuah telefon pintar Windows Phone 8 yang mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah khususnya remaja.  Harga untuk telefon pintar ini ialah RM799.00.

3.3 Analisis Perniagaan
Sekiranya pengujian konsep mendapat reaksi yang positif daripada pengguna, ia akan dinilai pada peringkat yang seterusnya, iaitu peringkat analisis perniagaan.  Pada peringkat ini, syarikat akan menganalisis saiz pasaran, persaingan, kos yang dijangkakan, jumlah jualan dan faktor-faktor persekitaran lain yang mempengaruhi jualan produk.  Syarikat Microsoft dengan bangganya telah mengumumkan rekod jualan telefon pintar Windows Phone di seluruh dunia bagi suku ke-4 tahun lalu.  Menurut IDC (dalam Majalah Ering, bilangan 106, Februari 2014), Windows Phone telah mengukuhkan kedudukannya di tempat ketiga dalam sistem operasi telefon pintar dan merupakan platform mudah alih yang paling pantas berkembang dengan peningkatan sebanyak 156% untuk tempoh setahun.  Bahkan, telefon pintar Windows Phone juga telah berjaya berada di kedudukan kedua bagi kategori sistem operasi di 14 buah negara, dan mencatatkan lebih banyak pengedaran berbanding iPhone di 24 buah negara pada suku ke-3 tahun lepas.  Kejayaan ini berjaya dicapai dengan portfolio yang semakin berkembang melalui pelancaran peranti seperti Nokia Lumia 928, Lumia 1020, Lumia 1520, Lumia 520 dan Lumia625.  Statistik ini menunjukkan bahawa semenjak Nokia melancarkan Windows Phonenya yang pertama, syarikat ini telah berada pada landasan yang betul untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai pengeluar telefon mudah alih terbesar di dunia.

3.4  Pembangunan Prototaip
Pada peringkat pembangunan prototaip, konsep produk akan diberikan bentuk fizikal.  Ia akan diberi rupa bentuk, bungkusan, jenama dan juga ciri rupa.  Lazimnya pembangunan prototaip dilakukan dalam makmal penyelidikan dan pembangunan syarikat.  Ia akan diuji dari segi keupayaan, daya tahan dan kemampuannya melaksanakan faedah yang dicadangkan.  Untuk memantapkan lagi penjualan telefon pintar Nokia, syarikat ini bercadang untuk mengeluarkan satu lagi versi telefon pintar dengan menggunakan sistem operasi Android 4.4 (KitKat).  Nokia telah membangunkan satu prototaip untuk menguji kemampuan telefon tersebut dan diberi nama Nokia Normandy (Majalah Ering, bilangan 106, Februari 2014).  Telefon pintar Nokia Normandy dipercayai bakal meneruskan penggunaan reka bentuk ikonik dari siri Lumia dan tampil dalam pelbagai warna yang berbeza.  Walau bagaimanapun, ketirisan maklumat di internet telah  berlaku ke atas prototaip ini apabila @everleaks telah mendedahkan gambar awal telefon pintar Normandy.  Melalui gambar yang didedahkan, jelas dapat dilihat bahawa antaramuka yang digunakan telah menerima sentuhan mirip seperti siri Lumia, terutamanya pada lockscreen dan juga aplikasi Viber serta Skype.  Selain itu, ia juga dipercayai bakal menyokong fungsi Sual SIM.  Sekiranya prototaip ini tidak tiris di Internet, ia bakal menjadi satu telefon pintar yang boleh memberikan impak besar terhadap jumlah penjualan telefon pintar Nokia.  Selepas ketirisan tersebut berlaku, Nokia sekali lagi membangunkan sebuah lagi prototaip telefon pintar yang menggunakan sistem operasi yang sama untuk dipasarkan dalam pasaran dunia.

3.5  Ujian Pemasaran
Selepas prototaip dibangunkan, ia akan diuji di beberapa kawasan pasaran dengan menggunakan kumpulan pelanggan yang tertentu.  Tujuan ujian pemasaran adalah untuk mengenal pasti reaksi sebenar pengguna terhadap produk baru syarikat.  Maklumat yang diperoleh daripada ujian pemasaran dapat membantu syarikat mengenal pasti strategi pemasaran yang sesuai dan juga untuk mengetahui potensi produk berkenaan apabila dipasarkan di pasaran.  Kaedah ujian pemasaran yang boleh dibuat oleh syarikat Nokia ialah kaedah Pengujian Pasaran (Test Markets).  Menerusi kaedah ini, syarikat akan memilih satu ataupun beberapa kawasan sebagai tempat ujian.  Produk terbaru keluaran syarikat akan diedarkan dan dipasarkan di kawasan-kawasan berkenaan dan usaha-usaha seperti program promosi, pengedaran produk ke kedai-kedai terpilih dan menjalankan strategi harga seperti yang dirancang.pengujian Pasaran merupakan satu ujian yang paling berkesan untuk mengetahui reaksi sebenar pengguna.  Namun, ujian ini memerlukan kos yang tinggi dan memberi peluang kepada pesaing untuk meniru produk dan program pemasaran yang dijalankan oleh syarikat.  Pihak syarikat Nokia telah bersedia untuk menerima pelbagai risiko yang mungkin timbul daripada kaedah pemasaran tersebut.  Syarikat Nokia disokong oleh syarikat Microsoft, iaitu syarikat yang dikatakan telah membeli unit perniagaan dan juga portfolio paten Nokia.  Sebenarnya Microsoft hanya membeli lesen untuk menggunakan jenama Nokia pada peranti mudah alih untuk tempoh 10 tahun (Majalah Ering, bilangan 104, Disember 2013).  Microsoft dan Nokia mempunyai nilai dan visi yang sama terhadap kualiti produk yang dihasilkan.  Disebabkan oleh itulah kerjasama antara Nokia Lumia dan Windows Phone sangat berjaya kerana Nokia dan Microsoft sentiasa menilai kualiti perkakasan dan pengalaman pengguna sebelum menghasilkan sesebuah produk.

3.6  Diperdagangkan
Proses terakhir dalam pembangunan produk baru ialah diperdagangkan.  Sekiranya syarikat membuat keputusan untuk memperkenalkan produk terbarunya kepada pasaran, ia perlu menentukan beberapa perkara penting.  Antaranya ialah masa pelancaran, tempat produk akan diperkenalkan dan juga persediaan-persediaan lain.  Pada peringkat ini, syarikat Nokia akan melancarkan produk terbarunya iaitu telefon pintar yang terkini dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dan pengguna.  Syarikat Nokia pada mulanya akan berhadapan dengan kos yang tinggi kerana pada peringkat ini, syarikat akan menguruskan segala kemudahan pembuatan pada skala yang penuh iaitu membuat pesanan bahan-bahan dan peralatan untuk pengeluaran produk, memulakan pengeluaran, mengumpul inventori, menghantar produk ke pusat pengedaran dan melatih pasukan jualan.  Syarikat
Nokia juga dijangka akan membelanjakan berjuta-juta ringgit ke atas pengiklanan, jualan promosi produk baru pada tahun pertama pengeluaran demi memperkenalkan telefon pintar baru ini kepada pasaran.  Akhirnya, Nokia akur dengan kehendak pasaran apabila melancarkan tiga model telefon pintarnya yang menggunakan Android sebagai sistem operasinya.  

Ketiga-tiga model telefon ini dikenali dengan nama Nokia X dan dilancarkan di Barcelona.  Harga yang disyorkan ketika pelancaran ialah RM400 bagi Nokia X , RM450 bagi Nokia X+ dan RM500 bagi Nokia XL.  Melihat kepada harganya yang bersifat mampu milik, adalah tidak menghairankan sekiranya ketiga-tiga siri telefon pintar Nokia X ini mampu untuk bersaing dalam pasaran.  Pemilihan sistem operasi Android oleh syaarikat Nokia ini mungkin bersandarkan pada ramalan dan analisis yang dibuat oleh  IHS.  Badan ini meramalkan bahawa pengedaran telefon pintar Android secara kumulatifnya bakal mencecah 1 bilion pada tahun 2013 (Majalah Ering, bilangan 90, Oktober 2012).  Pengedaran global tahunan peranti Android akan meningkat kepada 451 juta unit pada 2013, iaitu meningkat daripada 357 juta unit pada tahun 2012.  Peningkatan pengedaran tahunan ini secara tidak langsung akan mencapai angka 1 bilion unit menjelang akhir tahun 2013 secara kumulatif. 

KESIMPULAN
Produk baru penting kepada setiap perniagaan.  Tanpa produk baru, syarikat akan ketinggalan dan gagal bersaing dengan syarikat-syarikat lain.  Penawaran produk baru mestilah dijalankan secara berterusan untuk memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang sentiasa berubah-ubah.  Idea untuk membangunkan produk baru lazimnya datang daripada pekerja syarikat, pengguna, pesaing, pembekal, dan penyelidikan.  Keputusan untuk menawarkan produk baru mestilah dilaksanakan secara teliti dan bijak kerana proses pembangunan produk baru melibatkan jumlah wang dan masa yang banyak.  Kemunculan produk terbaru yang dikeluarkan oleh Nokia, iaitu siri Nokia X bakal mencetuskan fenomena baru dalam kalangan pengguna telefon pintar.  Kemunculan Nokia X adalah tepat pada masanya kerana spesifikasinya yang amat relevan dengan citarasa dan kehendak pasaran semasa.
 
Pasaran telefon pintar mampu milik di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 20% pada tahun ini (www.sinarharian.com).  Ketua Pemasaran Pan Asia Nokia, Gary Chan berkata, syarikat pengeluar telefon bimbit itu akan memanfaatkan penggunaan internet yang tinggi di negara ini untuk pemasaran telefon pintar mampu miliknya.  Pada masa ini, penembusan pasaran telefon pintar di Malaysia adalah sebanyak 145 %.  Boleh dikatakan setiap pengguna mempunyai sekurang-kurangnya dua telefon pintar.  Syarikat Nokia di Malaysia akan mengambil peluang untuk menyediakan telefon pintar mampu milik kepada pengguna di negara ini.  Menurut Chan lagi, lebih 99% pengguna telefon pintar di Malaysia mengakses internet setiap hari dan jumlah ini jauh melebihi negara berpenddapatan tinggi seperti Hong Kong dan Singapura.
 
Nokia X merupakan sebahagian daripada siri telefon pintar mampu milik Nokia X yang terdiri daripada Nokia X,  nokia X+ dan Nokia XL yang menggunakan sistem operasi Android.  Penggunaan sistem Android membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi Nokia dan Android secara percuma.  Nokia X didatangkan dalam empat variasi warna iaitu hijau terang, merah terang, hitam dan putih serta dilengkapi kamera 3 – megapiksel bersama memori dalaman 4GB.   
2565  patah perkataan

RUJUKAN

Aizzat Mohd. Nasurdin et. al.  (2006).  Pengantar Pengurusan.  Kual Lumpur:  Maziza
Sdn. Bhd.
Jaafar Muhammad et. al. (2007).  Pengantar Pengurusan.  Kuala Lumpur:  Leeds
Publications. 
Shahrol Aman Ahmad et. al.  (2007).  Prinsip Pengurusan.  Selangor Darul Ehsan: 
OUM. 
Zahari Mohamad et. al.  (2011).  Marketing Management I.  Selangor Darul Ehsan:   
OUM 
Zahari Mohamad et. al.  (2013).  Marketing Management II.  Selangor Darul Ehsan:  
OUM
Majalah Ering, bilangan 27, Julai 2007
Majalah Ering, bilangan 104, Disember 2013
Majalah Ering, bilangan 106, Februari 2014
http://www.idc.com/getdoc.jsp?containerld=prUS24085413 (Diakses pada 05 Mac 2014)
http://www.nielsen.com/my.html  (Diakses pada 01 Mac 2014)
www.sinarharian.com (Diakses pada 03 Mac 2014)
http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120518/ek_05/Jualan-telefon-bimbit-
Samsung-atasi-Nokia (Diakses pada 05 Mac 2014)
http://ms.wikipedia.org/wiki/Nokia  (Diakses pada 02 Mac 2014)
http://ms.wikipedia.org/wiki/Telefon_bimbit (Diakses pada 05 Mac 2014)
www.sinarharian.com  (Diakses pada 05 Mac 2014)
 


4 comments:

  1. assalam...awak nak tye ade x contoh assignment sbsf 1103 sem nie atau ade x contoh ....coz x brape paham laa camne nak wat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf, lambat reply. Sorry, tiada...wlu apa pun, t'kasih kerana sudi 'singgah' dlm blog ni.

      Delete
  2. i love u AkuC.gis...awak banyak membantu saya dalam menyiapkan assignment...saya tak plagiat tapi dari assignment awak beri saya idea..terima kasih sangat2..

    ReplyDelete